Baru-baru ini hampir 2.4 juta rakyat Singapura telah mengundi – membuat satu keputusan penting demi masa depan negara.
Untuk saya sendiri, ini mungkin kali ketiga dalam hidup saya mengundi – oleh kerana hidup bertahun-tahun di rantauan sebelum ini.
Saya anggap mengundi suatu kewajipan besar kita pada negara yang tercinta.
Sementara saya juga sibuk membuat liputan dalam Pilihan Raya Umum (GE2025) bersama-sama teman sekerja, saya dapat peluang mengenali mereka yang berkhidmat di balik tabir dan juga suara-suara mereka yang inginkan lebih daripada itu.
Pada 8 Mei yang lalu, saya membawa anak sulung saya ke bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk mengangkat Sumpah Setia (Oath of Allegience) sebagai warga Singapura.
Anak saya yang baru menyambut hari lahirnya yang ke-21 dilahirkan di luar negara dan kerana bapanya adalah orang asing, beliau dibenarkan memegang dua kerakyatan.
Namun begitu, pada tahun ini, beliau perlu membuat keputusan memilih menjadi warganegara Singapura sepenuhnya kerana undang-undang Singapura tidak membenarkan sesiapa memegang dua kerakyatan.
Hal ini mudah untuk kami – tidak perlu fikir panjang untuk memilih Singapura sebagai negara untuk tumpah bakti.
Sejak kami pulang ke Singapura pada 2018, kami dapat rasakan kemudahan menjadi rakyat Singapura dalam banyak hal, termasuk persekolahan, bantuan kewangan (bagi persekolahannya) dan faedah lain seperti keselamatan dan dapat melancong ke kebanyakan negara kerana pasport Singapura dianggap paling berkuasa di dunia.
Saya pernah menginap di Jerman ketika Islamofobia sedang memuncak (pada awal 2003).
Wanita berhijab (tudung) dipandang serong dan selalu menjadi bahan kritikan penduduk Jerman yang berfikiran ‘terbuka’ dan menganggap mereka yang bertudung ‘kuno’, ‘dipaksa’, dan tidak mempunyai hak.
Saya juga pernah tinggal di Riyadh, Arab Saudi, ketika wanita masih belum dibenarkan memandu (sekitar 2008), dan keluar rumah pun dianggap ‘tidak selamat’ bagi wanita.
Waktu itu, wanita hanya boleh kelihatan di luar rumah memakai jubah hitam yang longgar dan tidak ada corak sebaik-baiknya.
Saya juga pilih untuk berniqab untuk elak dikenali sebagai ‘orang Asia’ kerana wanita Asia dianggap golongan ‘pembantu’ dan sering diherdik dan dimarahi seperti ‘hamba’.
Ya, jurang kelas dan isu perkauman adalah antara isu berat yang tidak sering diperkatakan tentang negara Islam itu.
Saya juga sering berulang-alik ke Mesir, di mana kehidupan negara dunia ketiga membuat saya terkesan dan menghargai tanah tumpah darah sendiri.
Kebanyakan orang Mesir hidup dalam serba kemiskinan dan rata-rata, perumahan untuk rakyat biasa merupakan rumah yang didirikan sendiri dengan tanah liat dan batu-bata dan mengikut kemampuan masing-masing.
Seseorang hanya perlu lalu di lebuh raya dan buka mata untuk memerhatikan rumah ‘pangsa’ yang dibina separuh jalan, dan rapat-rapat.
Ini membuat saya fikirkan tentang keselamatan penduduk sekiranya ada musibah seperti kebakaran.
Tinjauan menunjukkan 27.9 peratus atau lebih 30 juta penduduknya hidup dalam kemiskinan.
Jika berjalan-jalan di Mesir, anda pasti akan melihat ramai yang hidup di gelandangan dan kanak-kanak kecil terbiar meminta sedekah, seolah-olah mereka hamba kawalan sindiket haram.
Menurut statistik pada 2020 oleh Pusat Kebangsaan Penyelidikan Sosial dan Jenayah (Mesir), jumlah pengemis telah melebihi setengah juta orang, majoritinya terdiri daripada kanak-kanak, termasuk kira-kira 15,000 di ibu kota Kahirah saja.
Perlu difahamkan, taraf ‘kemiskinan’ di Mesir, jauh lebih beza daripada apa yang kita fahamkan di Singapura.
Hak asasi manusia seperti persekolahan dan akses kepada perubatan dan rawatan adalah satu kemudahan yang kita ambil ringan.
Jadi perlukah anak saya berfikir lama untuk memilih kewarganegaraan Singapura?
Jawapannya terang buatnya yang kini sudah hampir tujuh tahun bermastautin di Singapura dan dapat menilai sendiri apa ertinya menjadi rakyat Singapura.
Ini mungkin hadiah Hari Jadi yang paling berharga untuknya, dan hadiah Hari Ibu bagi saya – mengetahui masa depan anak saya terjamin di sini.
Kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri – untuk kami, ternyata, hujan emas di negeri sendiri dan itu sangat kami syukuri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg