Subuh
5:28
Syuruk
6:51
Zuhur
12:53
Asar
4:16
Maghrib
6:54
Isyak
8:07
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Wacana0

Inginkan zuriat, tapi tak kesampaian...

Ada pasangan yang berusaha dapat anak melalui kaedah IVF dan IUI, namun kurang sedar kejayaaan kelahiran daripada teknik ini kurang 50 peratus
Jul 29, 2019 | 05:30 AM

Kadar kesuburan keseluruhan Singapura merosot, sambil usia median ibu yang melahirkan anak pertama meningkat. Biarpun begitu, tinjauan yang dikeluarkan I Love Children (ILC) baru-baru ini menunjukkan bahawa warga Singapura sebenarnya tetap mahukan anak. Namun, sesetengah mendapat bantuan perubatan pada usia yang agak lambat apabila menghadapi kesukaran untuk hamil. Dalam pada itu, kesedaran mengenai kesihatan kesuburan masih berkurangan. Wartawan NUR HUMAIRA SAJAT (nhumaira@sph.com.sg) mengupas topik ketidaksuburan dan menyorot kisah pasangan yang mengatasi cabaran kesuburan dalam proses mereka menimang cahaya mata.

KADAR kesuburan keseluruhan di Singapura terus merosot walaupun kadar perkahwinan kekal stabil, menurut Jabatan Statistik Singapura.

Malah, jumlah bayi yang lahir di Singapura adalah yang terendah dalam tempoh lapan tahun.

Menurut Laporan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2018, 39,039 kelahiran didaftar tahun lalu, jatuh 1.5 peratus berbanding 2017.

Biarpun perangkaan menunjukkan sedemikian, ini tidak bermakna warga Singapura tidak mahukan anak.

Kebanyakan mahukan anak dalam tiga tahun pertama perkahwinan meskipun berkahwin pada usia lebih lanjut.

Menurut tinjauan yang dijalankan pertubuhan kebajikan sukarela, I Love Children (ILC), tahun ini ke atas 1,000 responden berusia antara 21 dengan 39 tahun, mereka mendapati hampir 69 peratus responden inginkan anak dalam tiga tahun pertama perkahwinan mereka.

Sekitar 77 peratus pasangan yang baru berkahwin merancang mendapat anak dalam tiga tahun pertama.

Namun, lebih daripada 50 peratus responden mengenali seseorang yang menghadapi kesukaran mendapatkan anak pertama atau kedua.

Antara cabaran utama menurut ILC, adalah tekanan pekerjaan dan masa kerja yang lama yang menyebabkan pasangan hilang nafsu ingin menjalinkan hubungan intim bersama pasangan.

Dalam pada itu, di kalangan responden yang cuba mendapat anak pertama dan kedua pula, hampir 40 peratus menghadapi kesukaran mendapat anak.

Menurut Pakar Sakit Puan Klinik Wanita Thomson, Dr Tan Kai Lit, usia yang semakin meningkat merupakan antara faktor yang menyumbang kepada tahap kesuburan yang rendah.

Usia median ibu yang melahirkan buat kali pertama adalah 30.6 tahun tahun lalu, berbanding 29.7 tahun pada 2009.

Dr Tan berkongsi bahawa usia semakin meningkat membawa kepada tahap kesuburan yang semakin berkurangan.

Beliau turut berkata bahawa mengenal pasti masalah kesuburan lebih awal, seperti menjalani pemeriksaan kesihatan kesuburan, dapat membantu.

"Jika terdapat sebarang isu untuk mendapatkan anak, anda dapat mengetahuinya lebih awal, dan menerima nasihat yang sesuai sama ada anda memerlukan perubatan, pembedahan, atau teknik lain," jelasnya di sidang media yang diadakan di Perpustakaan Awam Sengkang bulan lalu sempena pelancaran Kempen Ketahui Kesejahteraan Kesuburan Anda oleh ILC.

ILC berkongsi bahawa kebanyakan pasangan yang berjumpa dengan doktor bagi isu kesihatan kesuburan berusia 35 tahun ke atas, dan usia ini "terlalu lambat" kerana dapat menjejas kandungan secara semula jadi serta rawatan kesuburan.

Dalam pada itu, hanya 27 peratus responden mengetahui bahawa kadar kejayaan kelahiran daripada Teknologi Membantu Kehamilan (ART) seperti Persenyawaan In Vitro (IVF) dan Permanian Intrauterin (IUI) adalah kurang daripada 50 peratus.

Kadar ini turut berkurangan semakin usia lanjut.

ILC telah menjalankan empat sesi kumpulan fokus bersama 10 doktor dan 20 peserta, yang mendapati tahap kesedaran yang rendah mengenai kesihatan kesuburan.

Ada yang mendapati mereka subur asalkan mereka cergas dari segi fizikal, dan ada tidak tahu berapa banyak kali suami dan isteri perlu bersetubuh untuk mendapatkan anak.

Namun, seseorang itu boleh didapati tidak subur biarpun beliau sihat dari segi fizikal, dan pasangan disyorkan untuk bersetubuh dua hingga tiga kali seminggu untuk mendapatkan anak.

ILC turut menepis mitos lain, misalnya, isu kesuburan hanya datang daripada isteri.

Sebenarnya, masalah kesuburan boleh wujud dalam lelaki juga, dan menjalani pemeriksaan kesihatan memerlukan persetujuan kedua-dua suami dan isteri.

Dari segi pemeriksaan kesihatan kesuburan, 40 peratus responden berkata mereka akan mempertimbangkan pemeriksaan kesihatan, manakala 42 peratus merasakan pemeriksaan begitu adalah mahal.

Harga bagi pemeriksaan ini di hospital dan klinik privet adalah antara $450 dengan $1,200.


APA ITU IVF?

Persenyawaan In Vitro (IVF) adalah rawatan kesuburan terkenal, asalnya dikenali sebagai "bayi tabung uji". Prosedur rawatan ini memerlukan telur disenyawakan dengan sperma di dalam makmal untuk menghasilkan embrio. Kemudian, embrio akan dimasukkan ke dalam rahim. IVF boleh dijalankan dengan mendapat telur daripada isteri dan sperma daripada suami. Berikut merupakan fakta yang anda perlu tahu sebelum menjalani IVF.

JENIS TEKNOLOGI MEMBANTU KEHAMILAN (ART)

1. Persenyawaan In Vitro (IVF)

2. Suntikan Sperma Tunggal ke Dalam Telur (ICSI)

3. Permanian Intrauterin (IUI)

Apa itu IVF?

IVF melibatkan persenyawaan telur dan sperma. Dengan pemilihan semula jadi, telur biasanya akan membenarkan hanya satu sperma masuk dan ini biasanya membawa kepada proses persenyawaan di makmal. Setelah persenyawaan, embrio dibenarkan berkembang buat tempoh masa sekejap sebelum ia dimasukkan ke rahim. Kehamilan yang berjaya boleh disahkan sekitar dua minggu kemudian.

Siapa yang boleh menjalani IVF?

IVF ditawarkan jika anda atau pasangan mengalami masalah seperti ini: endometriosis, kecacatan (disorder) sperma, gangguan ovulasi, saluran telur (fallopian tube), masalah imunologi dan masalah ketidaksuburan lain yang tidak dapat dijelaskan.

Apa itu ICSI?

Ia melibatkan suntikan satu sperma ke dalam setiap telur untuk mengizinkan persenyawaan berlaku dalam makmal.

Siapa yang boleh menjalani ICSI?

ICSI disarankan jika suami mempunyai mutu sperma rendah atau jika anda mempunyai masalah dengan persenyawaan sebelum ini. Jika ini adalah kitaran pertama ICSI anda, ia juga boleh digabungkan dengan IVF biasa.

Apa itu IUI?

Satu kaedah di mana benih suami yang telah bersihkan/diproses disuntik ke dalam rahim waktu isteri sedang subur.

Siapa yang boleh menjalani IUI?

Benih suami kurang, lemah atau bermasalah, mandul tanpa sebab-sebab yang diketahui, isteri menghidap penyakit endometriosis tetapi saluran fallopian tidak tersumbat, suami lemah tenaga batin, tidak boleh menyetubuhi isteri.


"Jika terdapat sebarang isu untuk mendapatkan anak, anda dapat mengetahuinya lebih awal, dan menerima nasihat yang sesuai sama ada anda memerlukan perubatan, pembedahan, atau teknik lain."
- Dr Tan Kai Lit, Pakar Sakit Puan Pusat Wanita Thomson, jelasnya di sidang media yang diadakan di Perpustakaan Awam Sengkang bulan lalu sempena pelancaran Kempen Ketahui Kesejahteraan Kesuburan Anda oleh ILC.

INFOGRAFIK: PROSES IVF

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian