Subuh
5:30
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09

Jadi 'mata' dan 'telinga' jiran, kesan mangsa dera

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Wacana
37
0

Jadi 'mata' dan 'telinga' jiran, kesan mangsa dera

Orang Melayu terkenal dengan kemesraan dan pertalian kekeluargaannya. Nilai ini haruslah diluaskan kepada jiran tetangga.
May 08, 2022 | 05:30 AM

WABAK Covid-19 yang membelenggu selama dua tahun - antara lain menyebabkan kebimbangan atau kehilangan pekerjaan; dan keluarga terkurung di rumah - dilihat sebagai antara faktor peningkatan mendadak kes penderaan terhadap kanak-kanak.

Pandangan ini dikongsi bersama Cik Shahrany Hassan, pengerusi Casa Raudha dan juga pengasas dan pengarah The Whitehatters; dan aktivis masyarakat, Cik Saleemah Ismail, yang juga pengarah eksekutif New Life Stories.

Mereka berkata terdapat juga faktor-faktor lain yang mungkin menyebabkan peningkatan kes penderaan itu.

"Wabak ini telah mengetengahkan peri pentingnya sokongan masyarakat atau sokongan sosial.

"Keadaan terpaksa mengasingkan diri dan interaksi yang berkurang bermakna anak-anak kita kurang mendapat akses kepada sokongan di luar keluarga terdekat atau tempat tinggal. Dengan kurangnya 'mata' membantu untuk menjaga atau mengawasi kanak-kanak, banyak yang boleh terlepas perhatian kita," kata Cik Shahrany.

Pandemik juga menyebabkan rasa kecewa dan marah meningkat. Pelbagai peraturan sekatan menimbulkan tekanan kepada banyak keluarga dalam situasi yang terdedah, kata Cik Saleemah.

"Pandemik yang belum pernah berlaku sebelum ini meningkatkan kebimbangan dan ketakutan dalam isi rumah yang sudah berada dalam situasi terdedah. Sebahagian pencari nafkah keluarga dalam sektor runcit atau pelayanan menghadapi masalah hilang pekerjaan atau semakin takut kehilangan pekerjaan," ujarnya.

Mereka memberikan pandangan berkaitan laporan mengenai 2,141 kes yang disiasat Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS) tahun lepas - meningkat 63 peratus berbanding 1,313 kes tahun sebelumnya.

Terdapat peningkatan mendadak dalam jumlah kes penderaan kanak-kanak yang disiasat pihak berwenang tahun lepas.

Ini menyusuli peningkatan pada 2020 dengan jumlah kes tertinggi dalam sedekad, menurut data Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Kes pengabaian berjumlah 910 merupakan komponen terbesar penyiasatan tahun lepas dan menyaksikan peningkatan tinggi dari 2020 - lebih dua kali ganda daripada 375 kes tahun itu. Kes pengabaian merangkumi kes kanak-kanak kurang diawasi atau mengalami penderaan emosi atau pengabaian perubatan.

Mengulas lanjut, Cik Saleemah menyebut beberapa faktor lain.

Arahan diam di rumah semasa pandemik meletakkan banyak keluarga, termasuk keluarga berbilang generasi, terkurung di ruang kecil. Ini meningkatkan ketegangan dan konflik.

"Kanak-kanak yang tidak bersalah sering menjadi mangsa orang dewasa yang melepaskan rasa kecewa dan marah mereka terhadap anak-anak ini.

"Dalam isi rumah berbilang generasi juga, risiko kanak-kanak didera oleh ahli keluarga besar mereka meningkat," kata Cik Saleemah.

Dia menyebut beberapa faktor lain:

  • Kesedaran meningkat: Lebih banyak sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak memberikan keutamaan mendidik pelajar mereka mengenai penderaan dan sentuhan yang tidak wajar.
  • Akses lebih mudah kepada kaunselor sekolah, pekerja sosial dari agensi sosial seperti New Life Stories. Pelbagai saluran membolehkan bantuan mudah diperolehi bagi mereka yang memerlukannya.
  • Laporan kes penderaan kanak-kanak biasanya mengambil sedikit masa, lantas mungkin ada kes tertunggak dari tahun sebelumnya - penderaan mungkin sudah berlaku tetapi kanak-kanak mengambil masa untuk memberitahu atau melaporkannya.

"Semasa tahun pertama pandemik, terutamanya semasa tempoh Pemutus Litar, pekerja sosial dan kaunselor mungkin tidak mempunyai akses kepada keluarga," ujarnya.

Setakat ini tidak ada data mengenai penderaan dalam keluarga Melayu-Islam.

Cik Shahrany berkata kes penderaan kanak-kanak tidak terhad kepada mana-mana kaum atau demografi tertentu.

"Hal ini boleh dikaitkan dengan pelbagai sebab, antaranya berkaitan keganasan antara generasi, menghadapi tekanan kewangan akibat kehilangan pekerjaan semasa wabak, masalah kesihatan mental, dan/atau malah kekurangan kemahiran keibubapaan dan sokongan," ujarnya.

TANGANI KES

Cik Shahrany menekankan peri perlunya masyarakat turut membantu menanganinya.

"Jangan hanya menyalahkan tetapi lihat cara kita, sebagai individu, boleh tampil untuk menyokong - sama ada melaporkan tentang kes penderaan kanak-kanak yang disyaki, membantu dalam campur tangan awal - bantu bimbing keluarga mendapatkan bantuan dari agensi perkhidmatan sosial, tawarkan diri untuk membantu menjaga anak-anak, mengirim makanan, berkongsi nombor talian bantuan, menjaga satu sama lain, bersikap baik. Jangan meremehkan isyarat mudah ini. Orang Melayu terkenal dengan kemesraan dan pertalian kekeluargaan - luaskan ini kepada jiran kita," kata beliau.

Dengan nada yang sama, Cik Saleemah menekankan perlunya menjadi jiran yang lebih baik.

Katanya, kebanyakan kes penderaan berlaku secara tertutup, tetapi kita boleh memainkan peranan sebagai masyarakat dengan menjadi jiran yang lebih baik.

"Beri perhatian terhadap jiran anda dan lihat tanda-tanda penderaan. Awasi keadaan, dan campur tangan, jika memungkinkan. Jika anda syak kes penderaan sedang berlaku, hubungi talian bantuan yang sesuai," katanya.

Cik Saleemah memberikan contoh program mesra masyarakat yang diusahakannya untuk mendekati jiran dan menjadi yang lebih baik, dengan melawat keluarga mereka setiap minggu, memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka untuk mengenal pasti sebarang tanda yang membimbangkan.

"Mereka menjadi 'mata' dan 'telinga' kita di dalam rumah. Dengan cara ini, ahli terapi dan pekerja sosial kami boleh bertindak untuk menangani isu ini dengan segera," katanya.

Menurutnya lagi, ahli terapi New Life Stories mengunjungi rumah keluarga yang hidup dalam situasi yang terdedah.

"Kami tidak menunggu mereka datang kepada kami. Dengan cara ini kami dapat menangani keadaan lebih awal sebelum ia menjadi lebih teruk.

"Kami juga mengesyorkan rumah sewa yang lebih baik bagi keluarga dalam situasi yang terdedah. Misalnya, perlu ada sekurang-kurangnya satu bilik tidur yang berasingan walaupun bagi rumah sewa," kata Cik Saleemah.

Berkongsi mengenai usaha Casa Raudha yang mengendali rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak yang didera sejak 2008, Cik Shahrany berkata pihaknya juga membantu ramai wanita bangkit semula apabila mereka meninggalkan rumah perlindungan itu.

"Kami bukan sahaja menyediakan tempat tinggal dan makanan semasa mereka bersama kami, penghuni juga mempunyai akses kepada kaunseling, nasihat undang-undang dan kursus peningkatan diri," kata Cik Shahrany.

Menurutnya, Casa Raudha telah menubuhkan dua divisyen baharu; Jangkauan Masyarakat untuk melibatkan dan mendidik masyarakat mengenai keganasan rumah tangga termasuk penderaan kanak-kanak; tanda-tanda, gejala dan cara mendapatkan bantuan; serta Divisyen Pemulihan untuk menyarankan cara membantu orang yang menyebabkan kemudaratan berhenti daripada melakukan tindakan ganas, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun psikologi.

"Datang ke tempat perlindungan untuk melarikan diri daripada keganasan tidak bermakna kita menggalakkan perceraian. Malah, sebilangan besar bekas penghuni akhirnya pulang ke rumah dan pasangan mereka, dan harus akui hal ini," katanya.

Maka itu, perlu ada kerjasama dengan pasangan untuk memastikan sebarang bentuk penderaan tidak berulang. Adalah penting untuk terus memberi sokongan.

"Memutuskan kitaran keganasan antara pasangan akan juga memutuskan kitaran keganasan seperti yang dialami atau dilihat anak-anak," katanya lagi.


"Jangan hanya menyalahkan tetapi lihat cara kita, sebagai individu, boleh tampil untuk menyokong - sama ada melaporkan tentang kes penderaan kanak-kanak yang disyaki, membantu dalam campur tangan awal... Jangan meremehkan isyarat mudah ini."
- Cik Shahrany Hassan, pengerusi Casa Raudha dan juga pengasas dan Pengarah The Whitehatters.

"Beri perhatian terhadap jiran anda dan lihat tanda-tanda penderaan. Awasi keadaan, dan campur tangan, jika memungkinkan. Jika anda syak kes penderaan sedang berlaku, hubungi talian bantuan yang sesuai."
- Aktivis masyarakat, Cik Saleemah Ismail, yang juga pengarah eksekutif New Life Stories.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3