Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kaitan jangkitan kayap, lepuh sejuk dengan Alzheimer

May 5, 2025 | 3:21 PM
Kajian menunjukkan bahawa individu yang menghidap kayap hanya mempunyai sedikit peningkatan risiko untuk menghidap demensia, manakala mereka yang menerima vaksin kayap didapati kurang berkemungkinan menghidap demensia.
Kajian menunjukkan bahawa individu yang menghidap kayap hanya mempunyai sedikit peningkatan risiko untuk menghidap demensia, manakala mereka yang menerima vaksin kayap didapati kurang berkemungkinan menghidap demensia. - Foto STOCK.ADOBE.COM

Virus yang menyebabkan lepuh sejuk atau cold sore, jenis 1 – lazimnya dijangkiti semasa kanak-kanak – biasanya akan kekal dalam saraf penghidapnya dalam keadaan tidak aktif.

Virus tersebut dikenali sebagai herpes simplex menyebabkan terjadinya lepuh-lepuh berair kecil pada kulit, terutamanya di bibir.

Dari masa ke masa, keadaan seperti tekanan, penyakit atau kecederaan boleh mencetuskan kemunculan semula lepuh sejuk ini dalam sesetengah individu. 

Terdapat kemungkinan virus sama ini turut memainkan peranan penting dalam penyakit Alzheimer, yang jauh lebih serius.

Lebih 30 tahun lalu, saya dan rakan-rakan penyelidik membuat satu penemuan yang mengejutkan. 

Kami mendapati virus lepuh sejuk ini boleh wujud dalam otak warga emas.

Ini adalah petunjuk jelas bahawa sesuatu virus boleh hidup secara senyap di dalam otak – organ yang sebelum ini dianggap bebas daripada kuman, dilindungi oleh lapisan membran yang dikenali sebagai rintangan darah-otak, atau blood-brain barrier (BBB).

Kemudian kami menemui sesuatu yang lebih mengejutkan. 

Individu yang mempunyai satu variasi genetik tertentu, APOE-e4 – yang meningkatkan risiko menghidap penyakit Alzheimer – dan turut dijangkiti virus lepuh sejuk ini, mempunyai risiko berganda untuk mendapat penyakit Alzheimer.

Bagi meneliti perkara ini dengan lebih lanjut, kami mengkaji sel otak yang telah dijangkiti virus berkenaan. 

Sel tersebut menghasilkan protein tidak normal – iaitu amiloid dan tau, yang juga ditemui dalam otak individu yang menghidap Alzheimer.

Kami percaya virus ini boleh kekal dalam keadaan tidak aktif di dalam tubuh penghidapnya selama bertahun, mungkin juga berdekad lama. 

Apabila usia seseorang meningkat dan sistem imun semakin lemah, virus tersebut boleh memasuki otak dan menjadi aktif semula di sana. 

Apabila ini berlaku, ia akan merosakkan sel otak dan mencetuskan keradangan. 

Jika virus ini diaktifkan berulang kali, ia secara beransur boleh menyebabkan kerosakan yang akhirnya membawa kepada Alzheimer dalam kalangan sesetengah individu.

Kami kemudian menemui DNA virus tersebut di dalam gumpalan protein melekit yang lazimnya ditemui dalam otak pesakit Alzheimer. 

Kami turut mendapati rawatan antivirus berhasil mengurangkan kerosakan pada sel otak dalam makmal, sekali gus menunjukkan bahawa mungkin suatu hari, ubat-ubatan dapat digunakan untuk memperlahankan atau bahkan, mencegah penyakit tersebut. 

Kajian populasi berskala besar oleh penyelidik lain juga mendapati bahawa jangkitan teruk – khususnya akibat virus lepuh sejuk – merupakan petunjuk kuat kepada penyakit Alzheimer dan rawatan antivirus tertentu dapat mengurangkan risiko tersebut.

Penyelidikan kami tidak terhenti di situ. Kami tertanya sama ada virus lain yang turut kekal tidak aktif dalam tubuh – seperti virus yang menyebabkan cacar air (chickenpox) dan kayap (shingles), boleh memberi kesan yang sama.

Apabila kami meneliti rekod kesihatan ratusan ribu individu di Britain, kami menemukan sesuatu yang menarik. 

Mereka yang pernah menghidap kayap hanya menunjukkan sedikit peningkatan risiko untuk mengalami demensia. 

Mereka yang telah menerima vaksin kayap pula didapati besar kemungkinan tidak akan menghidap demensia.

Satu kajian baru yang diketuai Universiti Stanford turut menghasilkan dapatan serupa.

Dapatan ini menyokong usul kami sejak sekian lama, bahawa mencegah jangkitan biasa boleh mengurangkan risiko penyakit Alzheimer. 

Kajian oleh penyelidik lain turut menunjukkan bahawa jangkitan sememangnya satu faktor risiko dan beberapa jenis vaksin lain juga boleh memberi perlindungan terhadap Alzheimer.

Kami kemudian meneliti bagaimana faktor risiko Alzheimer, seperti jangkitan dan kecederaan kepala, boleh mengaktifkan semula virus yang tersembunyi di dalam otak.

Menggunakan model tiga dimensi (3D) otak dengan jangkitan herpes yang tidak aktif, kami mendapati apabila jangkitan lain diperkenalkan atau kecederaan otak disimulasikan, ia mengaktifkan semula virus lepuh sejuk itu dan menyebabkan kerosakan serupa dengan kerosakan yang dilihat pada otak pesakit Alzheimer. 

Namun, apabila kami menggunakan rawatan untuk mengurangkan keradangan, virus itu kekal tidak aktif dan tiada kerosakan berlaku.

Semua dapatan ini mencadangkan bahawa virus yang menyebabkan lepuh sejuk mungkin adalah salah satu penyumbang utama kepada penyakit Alzheimer, terutama bagi individu dengan faktor risiko genetik tertentu. 

Ia juga membuka peluang kepada pembangunan kaedah baru untuk mencegah penyakit ini, seperti vaksin atau rawatan antivirus yang menghalang virus daripada menjadi aktif semula dan merosakkan otak.

Kajian yang bermula untuk memahami kaitan antara lepuh sejuk dengan Alzheimer, kini berkembang menjadi satu dapatan perubatan yang mungkin membantu kita memahami dan akhirnya mengurangkan risiko salah satu penyakit yang paling ditakuti zaman ini.

Penulis ialah Profesor Emeritus dalam bidang neurobiologi molekul di Universiti Manchester dan zamil profesor pelawat di Universiti Oxford. Artikel ini kali pertama diterbitkan di platform berita, The Conversation.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg