Kepelbagaian, keharmonian sumber kekuatan S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kepelbagaian, keharmonian sumber kekuatan S’pura

Feb 22, 2026 | 5:30 AM

Kepelbagaian, keharmonian sumber kekuatan S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lidah pengarang
Lidah pengarang -

Pertembungan musim perayaan Tahun Baru Cina dan Ramadan pada 2026 ini menjadi peringatan tulus tentang keunikan serta keindahan fabrik masyarakat berbilang budaya di Singapura.

Tidak banyak negara berpeluang mengecapi suasana sambutan serentak seperti ini, namun Singapura berdiri sebagai antara segelintir nusa yang bertuah dapat meraikannya dalam suasana penuh keriangan dan kedamaian.

Keharmonian ini bukanlah satu kebetulan atau natijah daripada nasib semata-mata, sebaliknya ia merupakan hasil usaha gigih yang disemai dan dipupuk selama berdekad-dekad melalui kesabaran, persefahaman, serta semangat saling menghormati.

Malah, jambatan kepercayaan yang terbina antara pelbagai lapisan masyarakat di sini bukan sekadar dipelihara, malah sentiasa dibaja agar tetap segar dan utuh mendepani zaman.

Dalam amanat Tahun Baru Cina, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan bahawa keharmonian antara budaya, tradisi, dan kepercayaan tidak akan terjamin dengan sendirinya.

Sebaliknya, ia menuntut pembaharuan secara aktif setiap masa; nilai-nilai murni ini perlu terus dijunjung dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Bahkan, setiap generasi memikul tanggungjawab besar untuk memperkukuh keutuhan Singapura melalui interaksi berteras kepercayaan teguh dan adab yang berhemah.

Tuntasnya, keharmonian masa kini tidak wajar dipandang enteng kerana sebarang ancaman luar jangka mampu menggugat fabrik sosial negara.

Justeru, ruang perkongsian bersama perlu terus diperluas dan disuburkan dengan nilai perpaduan yang ampuh tanpa mengira batasan kaum, bahasa, mahupun agama.

Dari perspektif daya ketahanan nasional pula, kepelbagaian latar belakang rakyat sebenarnya merupakan aset strategik dan sumber kekuatan yang memberikan kita daya saing di peringkat sejagat.

Dalam dunia yang kian terpolarisasi dan dihantui konflik global yang mampu memecahbelahkan sesebuah negara, Singapura menjadi bukti sahih masyarakat yang rencam bukan sahaja mampu hidup berdampingan, malah boleh berkembang maju bersama.

Justeru, rakyat Singapura harus tetap bersatu hati dan mengelakkan perpecahan apabila berdepan isu sensitif yang kompleks.

Sikap empati perlu diutamakan berbanding permusuhan demi mengelakkan polarisasi yang mampu merobek fabrik sosial kita.

Lantaran itu, kita perlu sentiasa mencari titik pertemuan dan mewujudkan wadah perbincangan yang terbuka.

Tanggungjawab ini bersifat kolektif demi kebaikan bersama; ia bukan sekadar tugas pemerintah, masyarakat sivil, atau satu-satu pihak sahaja.

Malah, mengenali satu sama lain seharusnya merupakan langkah asas.

Namun, dialog yang tulus seiring saluran komunikasi yang telus menjadi kunci utama dalam memperkukuh persefahaman.

Ia merupakan titian yang menyatupadukan kepelbagaian serta memperteguh ukhuwah sesama kita

Hakikatnya, keamanan dan keharmonian yang lestari bukanlah suatu kebetulan, melainkan natijah daripada iltizam bersama seluruh warga.

Justeru, setiap individu dan segenap lapisan masyarakat memikul peranan sakral yang tidak boleh dikesampingkan dalam membenteng keutuhan harmoni ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg