Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PENULIS TAMU

Keusahawanan sebagai wadah sumbang semula kepada masyarakat

Mar 06, 2022 | 05:30 AM



DI SINGAPURA, kita mengiktiraf kepentingan keusahawanan sebagai satu cara untuk mencipta pekerjaan dan kemakmuran, serta meningkatkan daya tahan ekonomi dengan cara mempelbagaikan landskap korporat.



Oleh itu, pemerintah telah berusaha untuk memastikan persekitaran perniagaan dan rangka kerja kawal selia adalah properusahaan.



Hasil daripada usaha ini, Singapura mempunyai kedudukan unik dalam ekonomi global dan memainkan peranan penting sebagai pusat perniagaan di Asia.



Pulau kecil ini telah diakui secara konsisten sebagai hab perniagaan global - yang menampilkan infrastruktur kukuh, kestabilan politik, dasar perniagaan terbuka, tenaga kerja yang mahir, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kerja utama dan menghormati hak harta intelek.



Pelbagai sokongan galak semangat keusahawanan



Bidang keusahawanan telah menjadi salah satu bidang kesukaan orang ramai, dengan lebih banyak syarikat baru ditubuhkan.



Bilangan syarikat baru yang didaftarkan di Acra meningkat sebanyak 3 peratus daripada 63,480 pada 2020 kepada 65,438 pada 2021.



Pakar menjangkakan peratusannya akan meningkat kepada dua angka pada akhir tahun ini.



Dengan peluang pekerjaan konvensional yang terhad pada masa ini, peningkatan ini juga mungkin disebabkan lebih ramai rakyat Singapura giat meneroka minat keusahawanan mereka serta lebih banyak graduan baru yang terus 'terjun' ke dunia keusahawanan sejurus setelah tamat persekolahan.



Selama bertahun-tahun, Singapura juga telah bekerja keras untuk menerapkan sikap positif dan penerimaan terhadap keusahawanan dalam masyarakat kita, supaya lebih ramai bakat muda kita dapat menyahut cabaran untuk menjadi usahawan yang berjaya.



Terdapat banyak bantuan untuk membimbing mereka yang ingin berkecimpung dalam bidang keusahawanan.



Sekolah-sekolah juga telah mula memberi peluang kepada penuntut mempelajari asas membina perniagaan.



Pelajar-pelajar di Institut Pengajian Tinggi boleh mengakses peluang latihan dengan syarikat baru untuk mendapatkan pengalaman langsung tentang bagaimana rasanya bekerja dalam start-up atau syarikat pemula.



Dan jika anda mempunyai idea perniagaan yang bagus, anda juga boleh memohon modal permulaan.



Untuk masyarakat Melayu/Islam pula, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) telah menubuhkan satu akademi baru yang bertujuan untuk memupuk keusahawanan dan keupayaan masa depan.



Akademi tersebut akan menawarkan kursus yang memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan dalam bidang-bidang asas.



Ini adalah seperti pemasaran dan penjenamaan; pengurusan perniagaan, pemikiran rekaan, pendigitalan, celik kewangan, pembangunan halal dan kemahiran insani.



Selain itu, akademi berkenaan akan mengelolakan program khas untuk beberapa golongan khusus yang disasarkan.



Ia adalah golongan peniaga baru, perniagaan mikro seperti perniagaan berpangkalan di rumah, asatizah dan golongan belia.



Banyak yang telah dilakukan, tetapi masih banyak lagi yang boleh diusahakan.



Menyumbang semula kepada masyarakat menerusi keusahawanan



Dunia pada masa hadapan akan menjadi sangat berbeza. Covid-19 telah mengubah cara hidup kita dengan ketara.



Ramai kini yang memilih untuk menjadi usahawan sosial. Mereka mempunyai model perniagaan yang jauh berbeza dari model tradisional.



Contohnya dari segi keutamaan, jika dahulu, niat utama perniagaan ialah untuk mengaup keuntungan, mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan mutu kehidupan. kini ada segolongan usahawan muda yang menjadikan isu sosial sebagai objektif asas perniagaan mereka.



Setiap generasi usahawan dibentuk oleh peristiwa sosial, politik dan ekonomi semasa.



Usahawan hari ini tidak berbeza dan mereka adalah generasi pertama yang hidupnya dibentuk oleh teknologi mudah alih dan media sosial.



Justeru secara semula jadi, sumber keutamaan mereka datang dari apa yang mereka baca di media digital.



Ini membuat pembacaan dan pemikiran mereka menjadi lebih global.



Jika dahulu, perniagaan mereka menjaja produk keperluan harian atau khidmat asas, kini produk serta khidmat mereka berkisar di sekitar perkara-perkara global seperti isu perubahan iklim, kemampanan, mobiliti sosial, kesihatan mental dan lain lain.



Selaras tumpuan niaga dengan matlamat sosial



Covid-19 telah meningkatkan lagi minat usahawan muda kita untuk menyumbangkan kembali kepada mereka yang memerlukan.



Tidak hairan jika mereka inginkan perusahaan yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat.



Syarikat-syarikat baru aktif memikirkan cara untuk menyelaras objektif perniagaan mereka agar ia relevan kepada masyarakat dan juga aspirasi karyawan mereka.



Syarikat-syarikat juga kini mempelbagaikan cara mereka terlibat dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menarik minat pekerja belia mereka.



Ia suatu yang positif kerana ia menandakan usahawan hari ini mengambil berat dan bersikap bertanggungjawab terhadap masyarakat di sekeliling mereka.



Dewasa ini, ada yang bermentorkan usahawan mapan yang berjaya.



Ada pula sudah bermentorkan kandungan di Facebook, TikTok serta pelbagai platform lain di alam maya.



Jika dahulu isu utama yang dirisaukan usahawan ialah kos yang meningkat, ekonomi yang tidak menentu, audit, cukai, aliran tunai dan sebagainya, kini isu-isu kontemporari mendahului carta. Antaranya The Great Resignation, kesaksamaan jantina, model gaji progresif , impact investing, tenaga bersih dan lain lain lagi.



Usahawan belia perlu bimbingan



Dengan trend lebih ramai belia meneroka dunia perniagaan, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran, sensitiviti dan hikmah yang tepat untuk mempersiapkan mereka bagi landskap ekonomi dan sosial yang berubah-ubah, tidak kira sama ada dari sudut digital, setempat atau antarabangsa.



Perkembangan terbaru ini merupakan peluang bagi dewan-dewan perniagaan seperti DPPMS serta badan pemerintah seperti Enterprise Singapore untuk mendekati usahawan-usahawan muda dan melakukan tinjauan dan kaji selidik untuk memastikan pemilik perniagaan terus dilengkapi kemahiran bagi menangani landskap perniagaan yang mencabar dan mempunyai tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan.



Tumpuan harus diberikan pada kemahiran rentas industri yang boleh diguna pakai untuk meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih baik dan memberi mereka keyakinan untuk menggunakan kemahiran mereka di sektor lain, jika diperlukan.



Badan-badan setempat juga boleh menyokong perusahaan sosial yang berpotensi dalam meningkatkan impak sosial mereka.



Sekali air bah, sekali pantai berubah.



Perubahan adalah satu-satunya perkara yang kekal dalam kehidupan.



Jika kita komited untuk mewujudkan perniagaan dan ekonomi yang kukuh dan mampan, usahawan kita hendaklah sentiasa menyesuaikan diri di era yang serba tidak menentu.



Walaupun banyak terpalit selut dan lumpur, namun terus bergerak untuk menggempur.




• Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zahid & Shah Group dan Pengerusi M3@Jalan Besar.




" Covid-19 telah meningkatkan lagi minat usahawan muda kita untuk menyumbangkan kembali kepada mereka yang memerlukan. Tidak hairan jika mereka inginkan perusahaan yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat. Syarikat-syarikat baru aktif memikirkan cara untuk menyelaras objektif perniagaan mereka agar ia relevan kepada masyarakat dan juga aspirasi karyawan mereka. Syarikat-syarikat juga kini mempelbagaikan cara mereka terlibat dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menarik minat pekerja belia mereka. Ia suatu yang positif kerana ia menandakan usahawan hari ini mengambil berat dan bersikap bertanggungjawab terhadap masyarakat di sekeliling mereka.
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >