Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belanja Ramadan di hujung jari

Berikutan ketiadaan bazar secara fizikal pada Ramadan tahun ini disebabkan oleh langkah-langkah pemutus rangtaian jangkitan Covid-19, pengendali bazar musiman telah menjadi lebih kreatif secara dalam talian. Banyak pengendali bazar, yang antaranya sudah berpengalaman, memanfaatkan teknologi untuk terus memenuhi keperluan masyarakat dan menyediakan wadah untuk para peniaga yang terjejas.
Apr 27, 2020 | 5:30 AM
BANTU PENIAGA : Wadah BazarGeylang berharap untuk membantu peniaga tradisional yang terjejas membuat peralihan ke alam maya dengan secepat dan sebaik mungkin demi perniagaan mereka, ujar Encik Hadi Rahmat dari WhatsHalal. - Foto WHATSHALAL
BANTU PENIAGA : Wadah BazarGeylang berharap untuk membantu peniaga tradisional yang terjejas membuat peralihan ke alam maya dengan secepat dan sebaik mungkin demi perniagaan mereka, ujar Encik Hadi Rahmat dari WhatsHalal. - Foto WHATSHALAL -

DARIPADA saluran YouTube ke acara 'live' di media sosial kepada aplikasi bimbit canggih.

Pelbagai strategi berpandukan teknologi telah dimanfaatkan oleh pengendali setempat untuk terus menghidupkan semangat bazar Ramadan tahun ini di tengah-tengah pasaran yang suram.

Tahun ini, bazar tahunan di lokasi popular seperti Geylang Serai dan Woodlands tidak dapat dianjurkan ekoran langkah lebih ketat pemerintah bagi mengekang penularan koronavirus Covid-19 di bawah tempoh pemutus litar.

Selain memenuhi keperluan masyarakat di musim perayaan ini, bagi kebanyakan pemain pasaran bazar yang sudah berpengalaman, bazar dalam talian ini juga merupakan satu cara membantu peniaga Melayu/Islam yang telah terkesan dengan Covid-19.

Berdasarkan tinjauan Berita Harian, pengguna boleh membeli-belah di sekurang-kurangnya 15 bazar dalam talian.

Bagi peniaga pula, mereka boleh menyertai bazar dalam talian ini dengan kos yang dianggap berpatutan - daripada percuma untuk khidmat penyenaraian produk kepada sekitar $1,000 bagi mereka yang ingin produk dipasarkan menerusi saluran YouTube.

Pemilik bersama Mak Besar SG, Cik Haryani Othman, pula menawarkan khidmat di dua wadah berbeza - penyenaraian produk di laman garage.makbesar.com manakala penerbitan dan penyiaran video pemasaran di saluran YouTube, tv.makbesar.com.

Lebih 200 peniaga sudah menyertai laman penyenaraian produk manakala lebih 30 peniaga menempah khidmat video pemasaran.

"Matlamat utama kita ialah untuk mendorong penjualan untuk peniaga sebab ramai yang merana ekoran penutupan bazar dan keadaan Covid-19.

"Kami meneliti pasaran dan keadaan sejak Mac dan merumuskan bahawa peniaga tidak memerlukan e-dagang tetapi usaha mendorong penjualan dan mempromosikan produk mereka.

"Justeru ini adalah kelainan utama kami berbanding bazar dalam talian lain. Kami tidak mengambil sebarang komisyen daripada penjualan peniaga," katanya.

Bagi khidmat video pemasaran selama 20 minit, firma itu mengenakan bayaran $299 bagi perniagaan makanan dan minuman (F&B) dan $499 bagi perniagaan runcit. Video itu menjadi milik peniaga.

Khidmat penyenaraian produk bagi 20 ruangan pula berharga $99. Peniaga mempunyai akses percuma kepada pekerja penghantaran.

Sementara itu, Encik Mustafa Shah, pemilik En Niche Events bekerjasama dengan syarikat pengurusan acara, S-Lite Group; pereka web, Encik Muhammad Alkhatib dan peniaga, Encik Hamdan Razali untuk menghasilkan aplikasi bazar dalam talian, B.Halal.

Keunikan wadah itu adalah acara jualan 'live' menerusi Faceboook dan YouTube, yang dihoskan selebriti, Aaron Aziz dan Sheikh Haikel. Ruangan 'live' 30 minit itu berharga $1,000.

"Tidak seperti wadah lain, kami bukan wadah e-perniagaan, tetapi tempat pasaran halal - penjual dan pembeli boleh berdagang dengan percuma tanpa bayaran urus niaga dan kos penubuhan.

"Tetapi bagi mereka yang ada bajet lebih dan mahu selebriti menjual dan memasarkan produk, kami tawarkan pilihan premium untuk peniaga," ujar Encik Mustafa.

Apa yang menarik ditawarkan adalah interaksi antara peniaga dan penjual.

"Saya membesar dengan Bazar Geylang Serai dan telah membantu menganjurkannya sejak 10 tahun lalu jadi saya tahu betapa ia bermakna kepada masyarakat awam.

"Orang ramai mahukan elemen perayaan, interaksi antara satu sama lain .... jadi dalam merancangkan ini, kami memerlukan elemen 'live' sebagai wadah berinteraksi," katanya.

Lebih 100 peniaga mendaftar di wadah itu, manakala lebih 30 menempah slot 'live'.

Tidak seperti kebanyakan bazar, bazar dalam talian bungkus.sg memberi tumpuan kepada peniaga makanan dan minuman.

Kerjasama di antara blog Halalfoodhunt dan khidmat penghantaran makanan, bungkus.sg itu menggabungkan peniaga makanan di wadah kededuanya, kata pengasas bersama Halalfoodhunt, Jumaiyah Mahathir.

"Peniaga di bazar ini akan disahkan benar-benar halal, satu standard yang ingin dikekalkan walaupun dalam bazar dalam talian," jelasnya.

Sekitar 70 peniaga sudah mendaftar di wadah itu. Mereka perlu disenaraikan sebagai peniaga halalfoodhunt, dengan bayaran $150 dan manfaat diraih termasuk pemasaran percuma menerusi pelbagai wadah media sosial selama setahun.

Bungkus.sg pula akan mengambil komisyen 25 peratus bagi khidmat penghantaran diperlukan.

Satu lagi bazar dalam talian, BazaarGeylang.Com dimulakan syarikat WhatsHalal Singapore Pte Ltd, bermatlamat untuk melengkapi peniaga yang terjejas - khususnya peniaga tradisional - agar beralih ke wadah digital dengan cepat.

Ketua pegawai komersial (CCO) WhatsHalal, Encik Hadi Rahmad, berkata wadah itu membolehkan peniaga mempunyai laman dalam talian untuk mendapatkan 'follower' dan menampilkan produk.

Selain membolehkan peniaga menguruskan inventori, produk dan cara pengiriman dengan cepat, wadah itu memberi jaminan keselamatan dalam talian, berdasarkan pengalaman teknikal pasukannya.

Penyenaraian di wadah itu adalah percuma, dengan sifar bayaran komisyen. Peniaga hanya membayar yuran urus niaga minimum 7 peratus bagi setiap pembelian berjaya.

"Matlamat utama kita ialah untuk mendorong penjualan untuk peniaga sebab ramai yang merana ekoran penutupan bazar dan keadaan Covid-19. Kami meneliti pasaran dan keadaan sejak Mac dan merumuskan bahawa peniaga tidak memerlukan e-dagang tetapi usaha mendorong penjualan dan mempromosikan produk mereka. Justeru ini adalah kelainan utama kami berbanding bazar dalam talian lain. Kami tidak mengambil sebarang komisyen daripada penjualan peniaga.'' - Pemilik bersama Mak Besar SG, Cik Haryani Othman

Antara bazar dalam talian

- BazaarRia - Mak Besar - GeylangSeraibazaar.online - B.Halal - Bazaronline bungkus.sg - MegaXpress - The Halal Eater - Live Ramadhan Sales 2020 (Facebook) - Ebazaar.sg - Twilight Online - Virtual Celebfest - Laloolalang - Gobaza - Bazarrayasg2020 - bazargeylang.com - www.virtualbazaar.com - bazariftaronline.sg - bazarrayasg2020

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg