Sambil menikmati makan malam atau menonton televisyen di rumah, skrin telefon bijak saya yang di sisi, tidak terpadam.

Skrin dan audio memaparkan penstriman langsung (live stream) TikTok yang riuh-rendah. 

Daripada pakaian harian, produk kecantikan, buku, mainan, beg mewah, sehinggalah ke baju tidur buluh, semuanya lalu di paparan For You Page (FYP) saya. 

Malah, sudah dua tahun berturut-turut baju kurung Hari Raya saya dibeli secara spontan menerusi platform ini. 

Sebagai seorang wartawan yang memerhatikan trend masyarakat, saya sering tersenyum sendiri melihat situasi ini. 

Saya tahu saya telah terjebak dalam amalan membeli-belah dalam talian yang berlebihan atau 'hyperconsumerism’.

Dulu, kalau ingin membeli-belah, saya perlu bersiap dan rancang masa untuk ke pusat beli-belah. 

Tetapi sekarang tidak lagi. 

Sambil baring di atas katil atau buat kerja rumah, saya buka TikTok atau Shopee Live sekadar untuk hiburan.

Sedang syok melayan hos bercakap, tiba-tiba saya tertarik dengan barangannya, tekan skrin dan terus buat bayaran secara spontan.

Apa yang saya lalui ini sebenarnya mencerminkan perubahan besar dalam cara kita berbelanja hari ini.

Mengapa pengguna masa kini lebih tertarik dengan sistem pembelian siaran langsung berbanding menyusuri kedai fizikal? 

Jawapannya terletak pada formula psikologi runcit moden.

Laporan daripada Forbes mengenai masa depan penstriman langsung mengetengahkan konsep shoppertainment”.

Ia satu cabang pasaran gergasi bernilai bilion dolar yang menggabungkan elemen hiburan dan aktiviti membeli-belah.

Apabila hos penstriman mencuba pakaian satu demi satu, menjawab pertanyaan saiz secara langsung, dan menawarkan baucar diskaun masa terhad, mereka sedang mencetuskan rasa bimbang ketinggalan (Fomo) dalam kalangan penonton. 

Di sini, pengguna bukan membeli barangan, tetapi mereka sedang ‘membeli’ interaksi dan pengalaman digital yang ditawarkan.

Namun, di sebalik kemudahan digital yang kita nikmati, ada harga yang perlu dibayar oleh sektor komersial tempatan.

Laporan mengenai pusat beli-belah The Woodleigh Mall di 11 Bidadari Park Drive baru-baru ini menjadi contoh yang paling jelas.

Walaupun ia sebuah pusat membeli-belah di kawasan kejiranan yang baharu dan terletak strategik di atas stesen MRT, ia tetap tidak terlepas daripada fenomena kemerosotan jumlah pengunjung.

Laporan akhbar The Business Times mendedahkan jangkaan runcit yang agak membimbangkan.

Jenama pakaian tempatan seperti TRT telah menutup operasinya di sana, disusuli oleh kedai elektronik Challenger dan rantaian makanan global seperti Burger King.

Malah, besmen yang sepatutnya menjadi tumpuan utama pengunjung untuk mencari makanan kini menyaksikan deretan unit kosong.

Situasi ini mendedahkan jurang realiti yang sangat ketara.

Apabila pengguna boleh membeli sehelai kemeja-T pada harga $10 daripada keselesaan rumah mereka, kedai fizikal pula terpaksa bergelut dengan kos ‘overhead’ yang tinggi – daripada kadar sewa runcit Singapura yang tinggi sehingga ke kos tenaga kerja.

Akhirnya, banyak perniagaan memilih untuk keluar daripada ekosistem fizikal kerana hasil keuntungan yang semakin mengecil.

Persoalannya, adakah pusat membeli-belah fizikal akan lenyap sepenuhnya?

Hakikatnya, tidak.

Apa yang kita lihat sekarang ialah fasa peralihan yang terpaksa dilalui semua peniaga.

Kedai fizikal tidak lagi boleh berfungsi sebagai sekadar ruang pameran barangan.

Jika kedai fizikal hanya menjadi tempat membeli barang semata-mata, mereka akan kalah.

Mana mungkin mereka bersaing dengan penstriman langsung yang menawarkan harga lebih murah, lambakan baucar serta diskaun dan keselesaan dihantar terus ke rumah.

Untuk terus hidup, industri runcit tiada pilihan selain berubah.

Kedai fizikal harus berubah menjadi ruang yang menawarkan ‘pengalaman’ unik yang tidak boleh didapati di skrin telefon, atau ia akan dijadikan tempat untuk pelanggan ambil barangan yang telah dibeli secara dalam talian.

Apabila membeli-belah sudah menjadi semudah petikan jari di rumah, kedai-kedai di pusat beli-belah terpaksa akur dengan kuasa digital ini.

Ia kini tidak lagi bergantung pada jumlah ‘kaki’ pengunjung di pusat beli-belah, tetapi oleh leretan jari di skrin telefon bijak kita.