Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

KESIHATAN & PERUBATAN

Kurus di luar, GEMUK di dalam

Keadaan 'berat badan normal obes metabolik (MONW) iaitu apabila lemak berkumpul di organ tubuh lebih berbahaya
Nov 22, 2021 | 05:30 AM



Jika anda memiliki badan yang kurus, jangan berasa 'senang hati' terlebih dahulu. Ini kerana badan yang kurus bukan satu jaminan seseorang itu sihat. Tubuh yang kurus ternyata masih mempunyai berbagai risiko penyakit dan keadaan itu disebut sebagai 'berat badan normal obes metabolik' atau 'metabolically obese normal weight' (MONW). MONW juga dikenali dengan kurus tapi gemuk iaitu memiliki berat badan yang normal tetapi kadar lemak tubuh - hampir sama dengan orang gemuk, terutama lemak di bahagian perut.



BAGAIMANA ORANG KURUS BOLEH JADI GEMUK DAN CIRI 'BERAT BADAN NORMAL OBES METABOLIK' ATAU MONW?



Pakar Kardiologi Perunding Kanan bersama Pusat Jantung dan Vaskular Harley Street, di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Orchard, Dr Michael Ross MacDonald, berkata MONW adalah seseorang yang kelihatan mempunyai berat badan sihat dan normal. Indeks jisim tubuh (BMI) mereka juga normal, atau lebih rendah.



BMI normal ditakrifkan sebagai 25 kg/m2 untuk semua orang tetapi dalam beberapa tahun terakhir ini, telah diakui bahawa ia harus ditetapkan lebih rendah untuk orang Asia pada 24 kg - bahkan 23 kg/m2.



Bagaimanapun, meskipun dengan BMI normal, individu MONW mempunyai jumlah lemak visera - dikenali sebagai visceral fats - yang tidak sihat.



Menurut Dr MacDonald, secara amnya, manusia menyimpan dua jenis lemak asas melalui dua cara - lemak subkutus dan lemak visera.



Lemak subkutus disimpan di bawah kulit. Ia lebih kurang sama rata di seluruh badan. Lemak itu dapat dilihat melalui bentuk tangan yang geleber serta gendut di bahagian pinggang.



Satu lagi jenis lemak ialah lemak visera yang disimpan jauh di dalam badan, di sekitar organ seperti hati dan usus.



Sebagai contoh, sekiranya seseorang, terutama lelaki, mempunyai berat badan berlebihan dan juga mempunyai kandungan lemak visera yang tinggi, mereka cenderung mempunyai perut yang besar, cukup tegang dan buncit. Ia sering disebut perut bir atau badan berbentuk epal.



Bagaimanapun, mereka yang mempunyai ciri-ciri MONW mempunyai lemak subkutus yang sangat sedikit dan sebaliknya menyimpan hampir semua lemak mereka sebagai lemak visera di mana ia tidak dapat dilihat tetapi jauh lebih berbahaya, ujar kata Dr MacDonald.



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sains perubatan menyedari lemak visera adalah jenis lemak yang paling berbahaya. Ia tidak hanya membuat perut membuncit, malah, mengganggu metabolisme.



KENAPA LEMAK VISERA LEBIH BERBAHAYA DARIPADA LEMAK SUBKUTUS YANG DAPAT DILIHAT PADA LENGAN GELEBER?



Menurut Dr MacDonald, lemak visera berkait rapat dengan penyakit metabolik dan rintangan insulin serta peningkatan risiko kematian, bahkan untuk mereka yang mempunyai BMI normal.



Lemak subkutus tidak membawa risiko yang sama dengan lemak visera yang cenderung meningkatkan risiko penyakit serius seperti jantung, penyakit Alzheimer, kencing manis jenis 2 dan angin ahmar.



Lemak visera kadangkala disebut sebagai 'lemak aktif secara metabolik' kerana secara aktif, ia mempengaruhi pengeluaran dan fungsi protein dan hormon tertentu.



Ini termasuk protein yang menyebabkan keradangan tisu dan organ badan, penyempitan saluran darah dan lain-lain yang dapat meningkatkan daya rintangan insulin yang boleh menyebabkan intolerans glukosa dan kencing manis jenis 2.



BAGAIMANA DOKTOR KESAN LEMAK VISERA ATAU DAPATI SESEORANG PUNYA CIRI MONW?



Dr MacDonald berkata satu-satunya cara yang tepat untuk mengukur jumlah lemak visera seseorang adalah dengan melalui imbasan CT atau MRI.



Terdapat beberapa jenis alat bioelektrik yang dapat menunjukkan lebihan lemak visera tetapi kurang tepat.



Namun, dalam kebanyakan kes, pemeriksaan visual dan fizikal sudah mencukupi bagi doktor untuk mengesyaki lemak visera yang berlebihan.



Jika seseorang mempunyai BMI lebih daripada 23 untuk orang Asia dan juga mempunyai ukuran pinggang yang besar, mereka hampir pasti mempunyai lemak visera yang terlalu banyak.



Sekiranya pesakit MONW yang tidak kelihatan gemuk, pihak doktor bergantung pada petunjuk metabolisme tentang kegemukan untuk mendiagnosis mereka.



Ujian darah yang menunjukkan peningkatan trigliserida dan penurunan kadar kolesterol lipoprotein dengan kepadatan tinggi (HDL-C) yang disebut 'kolesterol baik' dapat menjadi petunjuk tahap lemak visera yang tinggi.



Peningkatan tekanan darah, dan pengeluaran tenaga kegiatan fizikal yang lebih rendah juga merupakan petunjuknya.



ADAKAH MONW AKAN HIDAP KENCING MANIS JENIS 2 ?



Tidak, kata Dr MacDonald.



Kencing manis jenis 2 bukan tidak dapat dielakkan.



Jika didiagnosis sebagai mengalami rintangan insulin atau mempunyai ciri-ciri MONW, ia harus dianggap sebagai satu bentuk kesedaran bahawa anda perlu membuat beberapa perubahan kepada gaya hidup.



"Diet yang sihat dan senaman yang teratur dapat mencegah perkembangan kencing manis jenis 2.



"Diet dan senaman malah dapat menterbalikkan sensitiviti kepada insulin dan mengurangkan kadar lemak visera pada pesakit MONW.



"Diet yang sihat dan senaman yang teratur juga merupakan langkah terbaik untuk mencegah timbulnya penyakit kardiovaskular atau menguruskannya jika anda telah mengalaminya,'' kata Dr MacDonald.



ADAKAH CIRI-CIRI MONW DIWARISI?



Walaupun fakta bahawa ciri-ciri MONW lebih ditemui dalam kalangan orang Asia berbanding orang Kaukasia, ini menunjukkan bahawa genetik memainkan peranan penting. Namun, belum ada petunjuk bahawa ia adalah dari keturunan.



"Peranan genetik tentang bagaimana tubuh menyimpan dan menguruskan lemak pada masa ini menjadi topik dalam banyak kajian di seluruh dunia sehingga kini. Mungkin kita akan mengetahui jawapannya tidak lama lagi,'' ujar Dr MacDonald.



TANDA PENUNJUK LAIN SESEORANG SIMPAN TERLALU BANYAK LEMAK VISERA?



Bagi kebanyakan orang, petunjuk paling jelas adalah BMI tinggi dan ukuran pinggang yang lebar.



Bagi seseorang yang mempunyai ketinggian sederhana, ukuran lebih daripada 36 inci atau 92 sentimeter mungkin merupakan tanda anda harus menurunkan berat badan.



Ciri-ciri MONW tidak mempunyai petunjuk visual yang jelas tetapi jika anda berasa letih yang luar biasa, atau sudah mula membuang air kecil lebih kerap dan sering haus, ada baiknya anda memaklumkannya kepada doktor anda, nasihat Dr MacDonald



Kerap membuang air kecil dan dahaga mungkin adalah tanda-tanda rintangan insulin dan juga MONW.



Tanda-tanda lain yang perlu diperhatikan termasuk merasa lapar lagi selepas makan, kebas di tangan atau kaki, merasa lebih letih daripada biasa, dan jangkitan yang kerap atau berterusan.



BOLEHKAH KURANGKAN LEMAK VISERA DENGAN DIET DAN SENAMAN SEPERTI DILAKUKAN UNTUK LEMAK SUBKUTUS?



"Ya, lemak visera boleh dikurangkan dengan diet dan senaman.



"Beberapa kajian menunjukkan bahawa lemak visera sebenarnya lebih mudah bertindak balas terhadap diet dan senaman daripada lemak subkutus," katanya.



BAGAIMANA CARA ELAK KENCING MANIS ATAU CIRI-CIRI MONW?



Lakukan senaman sederhana selama 150 minit setiap minggu seperti berjalan pantas.



Dari sudut diet, perkara-perkara utama adalah:



  • Elak lemak tepu (mentega, minyak kelapa, lemak haiwan) dan lemak trans yang tidak sihat (sering terdapat dalam makanan ringan)

  • Elak makanan ringan dan gula - salah satu kesalahan yang biasa dilakukan ialah mengambil minuman manis seperti bubble tea yang sering mengandungi gula.

  • Elak nasi putih dan mi seberapa boleh. Gantikan dengan beras perang dan sayur-sayuran segar.

  • Kurangkan daging merah dan kurangkan makanan yang dibuat lebih awal atau diproses seperti makanan segera.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >