Lebih 1,100 spesies baru telah ditemui menerusi daya usaha sejagat bagi mempercepatkan penemuan hidupan laut, termasuk span karnivor dan spesies cacing halus – yang berpotensi merawat penyakit kemerosotan saraf.

Rekod penemuan baru dicatat antara April 2025 dengan Mac 2026, apabila 1,121 spesies ditemui oleh para saintis menerusi 13 ekspedisi ke kawasan lautan yang jarang diterokai.

Badan peneraju usaha itu, The Nippon Foundation-Nekton Ocean Census, mengumumkan jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 54 peratus berbanding bilangan spesies yang ditemui pada 2024.

Ocean Census yang ditubuhkan pada 2023, merupakan projek kerjasama strategik antara badan kebajikan Jepun, The Nippon Foundation dengan Institut penerokaan lautan Britain, Nekton Foundation

Inisiatif tersebut menyaksikan jalinan kerjasama penting dengan pihak lain termasuk Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel Australia (CSIRO) serta Institut Lautan Schmidt yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Sebahagian besar penemuan hidupan laut baru itu direkodkan di rantau Asia-Pasifik.

Ini termasuk penemuan yu hantu (ghost shark), iaitu spesies kimera misteri yang mempunyai kaitan dengan jerung dan pari.

Spesies itu ditemui pada kedalaman lebih 800 meter semasa ekspedisi di Taman Laut Coral Sea, di luar pantai Queensland, Australia.

Satu lagi hidupan yang ditemui ialah sejenis cacing laut yang dinamakan Dalhousiella yabukii.

Sejenis cacing laut yang dinamakan, ‘Dalhousiella yabukii’, ditemui pada kedalaman 791 meter di kawasan gunung dasar laut berapi di sepanjang Rangkaian Gunung Laut Shichiyo, Jepun.
Sejenis cacing laut yang dinamakan, ‘Dalhousiella yabukii’, ditemui pada kedalaman 791 meter di kawasan gunung dasar laut berapi di sepanjang Rangkaian Gunung Laut Shichiyo, Jepun. - Foto THE NIPPON FOUNDATION-NEKTON OCEAN CENSUS

Cacing itu menghuni ‘istana kaca’ – rangka lutsinar milik sejenis span yang terbentuk daripada silika berhablur – ditemui pada 791 meter di pergunungan dasar laut berapi di sepanjang Rangkaian Gunung Laut Shichiyo, Jepun.

Di sisi lain, spesies span baru, Chondrocladia, dikesan jauh lebih dalam, pada 3,601 meter di Parit Utara Kepulauan South Sandwich, Lautan Atlantik Selatan.

Spesies span baru, iaitu ‘Chondrocladia’, ditemui pada kedalaman 3,601 meter di Parit Utara Kepulauan South Sandwich yang terletak di Lautan Atlantik Selatan.
Spesies span baru, iaitu ‘Chondrocladia’, ditemui pada kedalaman 3,601 meter di Parit Utara Kepulauan South Sandwich yang terletak di Lautan Atlantik Selatan. - Foto INSTITUT LAUTAN SCHMIDT

Berbeza daripada span lautan lain yang hanya menyerap mikroorganisma secara pasif, span karnivor – yang digelar ‘bola kematian’ – memburu dengan cangkuk mikroskopik seakan Velcro.

Ia memerangkap krustasea, lalu perlahan-lahan menyelubungi dan mencerna mangsanya.

Dalam perbualan dengan The Straits Times (ST), pengasas yang juga Ketua Pegawai Nekton, Encik Oliver Steeds, turut mengumumkan penemuan penting lain: sejenis cacing reben berwarna-warni daripada keluarga Drepanophoridae, berukuran kurang tiga sentimeter, dikesan berhampiran Timor-Leste.

Sejenis cacing reben berwarna-warni dari Timor-Leste adalah antara spesies baru yang berjaya dikenal pasti, dengan warna cerah pada badannya dipercayai menunjukkan sistem pertahanan kimia yang kuat, sekali gus menjadikan toksin uniknya sedang dikaji sebagai potensi ubat bagi merawat penyakit Alzheimer dan skizofrenia.
Sejenis cacing reben berwarna-warni dari Timor-Leste adalah antara spesies baru yang berjaya dikenal pasti, dengan warna cerah pada badannya dipercayai menunjukkan sistem pertahanan kimia yang kuat, sekali gus menjadikan toksin uniknya sedang dikaji sebagai potensi ubat bagi merawat penyakit Alzheimer dan skizofrenia. - Foto THE NIPPON FOUNDATION-NEKTON OCEAN CENSUS

“Warna yang cerah pada badan cacing ini memberi petunjuk ia mempunyai sistem pertahanan kimia yang kuat, dan kini toksin unik inilah yang sedang dikaji sebagai potensi ubat bagi merawat penyakit Alzheimer dan skizofrenia,” jelas Encik Steeds, yang juga Pengarah Ocean Census.

Beliau menambah, penemuan itu adalah bukti langsung wujudnya hubungan antara penerokaan spesies laut dalam, dengan kemajuan perubatan manusia.

Spesies yang belum terdedah kepada sains mempunyai “potensi farmaseutikal tidak ternilai”.

Namun, Encik Steeds, yang berada di Singapura baru-baru ini sempena persidangan kemampanan ‘Ecosperity Week’ anjuran Temasek, menegaskan walaupun sejarah menunjukkan penemuan spesies sering disusuli eksploitasi, kini wujud tuntutan moral untuk melindungi spesies tersebut, walau ketika potensinya diteroka.

Secara purata, tempoh daripada pengesahan awal spesies baru oleh pakar hingga ia dinamakan secara rasmi mengambil masa sekitar 13.5 tahun.

Bagi mengatasi jurang itu, Ocean Census kini mengiktiraf status ‘ditemui’ atau discovered sebagai status saintifik rasmi yang direkodkan serta-merta ke dalam platform digital data spesies marin baru bernama Nova.

Nova, yang disokong lebih 1,400 pakar taksonomi dan saintis daripada 660 institusi seluruh dunia, membolehkan data diakses dalam tempoh beberapa minggu sahaja melalui pendekatan akses terbuka yang telus.

“Dengan banyak spesies berisiko pupus sebelum sempat dirakamkan, kami kesuntukan masa untuk memahami dan melindungi hidupan lautan,” kata Ketua Sains Ocean Census, Dr Michelle Taylor.

“Melalui usaha mempercepatkan penemuan dan berkongsi data di peringkat sejagat, kita bukan sahaja menemui hidupan baru, malah menjana bukti yang diperlukan untuk memacu sains dan dasar global pada fasa yang amat kritikal ini.”

Menurut Encik Steeds, sekitar 90 peratus spesies lautan masih tersembunyi daripada penemuan.

Untuk merancakkan usaha itu, Nekton memanfaatkan inovasi seperti pengimejan resolusi tinggi, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI), memandangkan pelaburan dalam taksonomi dan penemuan spesies sangat minimum sebelum ini.

Bagi membiayai misi besar itu, Nekton kian giat mencari modal pemangkin sebanyak AS$100 juta ($128 juta).

Dana itu amat penting untuk membuka akses kepada AS$75 juta yang telah dijanjikan oleh rakan kerjasama, dengan sasaran besar untuk menemui 100,000 spesies marin baru dalam beberapa tahun mendatang.

Jumlah yang dicari itu, tegas Encik Steeds, hanyalah serpihan kecil berbanding berbilion dana yang dilaburkan dalam misi penerokaan angkasa lepas.

Keperluan untuk merakam dan melindungi hidupan laut kini semakin genting.

Terumbu karang dan rantaian hidupan yang bersandar padanya berisiko pupus akibat peningkatan suhu dunia oleh perubahan iklim.

“Semakin banyak yang kami pelajari tentang lautan dan kepelbagaiannya, semakin besar kesedaran kita sebenarnya masih belum cukup tahu tentang skala dan keluasan khazanah di dalamnya,” tambah Encik Steeds.