Subuh
5:45
Syuruk
7:02
Zuhur
1:08
Asar
4:18
Maghrib
7:11
Isyak
8:20
Wacana

BHALAL: PERSONALITI

Makin pedas, makin 'power' bagi penyanyi Hyrul Anuar...

Mar 15, 2020 | 05:30 AM

BELIAU baru muncul dengan lagu baru Gadis Tumit Tinggi, yang memiliki sentuhan funk 1970-an.

Menurut bakat Singapura Hyrul Anuar, lagu itu disuntik dengan irama persis lagu lama yang berkonsepkan 'big band' dengan ada petikan gitar bes dan tiupan hon.

Lagu itu juga mendapat ilham daripada muzik pop penyanyi Barat seperti Bruno Mars, Charlie Puth dan Meghan Trainor yang disisipkan dengan unsur-unsur lagu lama.

Oleh itu tidak hairanlah jika cita rasa Juara Anugerah 2005 itu dari segi makanan pun berbilang.

Beliau berkongsi dengan Berita Minggu tentang makanan kegemarannya termasuk lauk-pauk Melayu, hidangan Korea dan pasta.

Soalan: Apakah makanan kegemaran Hyrul dan kenapa?

Jawapan: Saya gemar lauk-pauk masakan Melayu seperti sambal udang, asam pedas lada hitam, sambal goreng pengantin, ayam masak cili padi, lemak pucuk ubi atau nangka dan juga rendang.

Tapi semuanya harus ditambah lebih cili padi sebab saya suka lauk-pauk yang pedas. Rasanya janggal kalau makan nasi tanpa sambal belacan.

Soalan: Adakah Hyrul pandai masak? Kalau ya, apa yang Hyrul suka masak dan kenapa?

Jawapan: Saya suka bereksperimentasi dengan masakan nasi goreng. Mungkin pada dasarnya, ia dianggap mudah untuk disiapkan tapi sebenarnya nasi goreng boleh dimasak dengan pelbagai cara.

Saya diajar memasak oleh nenek saya ketika usia belasan tahun. Ketika itu, saya harus masak untuk acara berkelah bersama teman sekolah menengah dulu!

Kalau di rumah, nenek yang selalu masak. Sejak kecil, saya didedahkan kepada pelbagai jenis lauk-pauk Melayu sebab nenek memang gemar memasak. Beliau boleh masak semua lauk kegemaran saya.

Soalan: Dengan pelbagai restoran dan kedai makan yang menyediakan juadah Korea yang halal sekarang, apakah makanan Korea kegemaran Hyrul dan kenapa?

Jawapan: 1) Korean Army Stew - Yang peliknya, saya tak pandai makan kimchi sebab saya tak boleh telan makanan yang masam. Tapi saya suka dengan sup pedas berasaskan kimchi dengan campuran pelbagai sayuran dan daging. Saya boleh makan dengan nasi atau ramyeon. Kadang-kadang, sampai tak boleh berhenti hirup sup!

2) Barbeku ala Korea - Saya sangat gemar makan daging barbeku, lagi-lagi kalau dagingnya diperap lama. Saya tak boleh lupakan pengalaman makan cara begini ketika bercuti di Korea di Shogin Lamb House! Terlalu sedap.

3) Ayam goreng ala Korea- Restoran 4Fingers Crispy Chicken dan NeNe Chicken merupakan pilihan saya. Saya suka makan ayam goreng dengan sos pedas.

Soalan: Kalau Hyrul keluar makan dengan kawan bukan Muslim, selalunya ke mana? Dan kenapa?

Jawapan: Seoul Garden sebab paling banyak pilihan - daripada starters sehingga ke pencuci mulut. Boleh bersembang sambil barbeku bersama.

Harganya pun berpatutan bagi setiap orang. Kadangkala, boleh makan sampai terlupa waktu.

Soalan: Ada tak juadah yang Hyrul ingin belajar masak? Dan kenapa?

Jawapan: Saya nak belajar masak Squid Ink Seafood Pasta, iaitu pasta kegemaran saya. Sukar untuk cari yang sedap.

Saya suka kalau intinya padat, rempahnya cukup, pedas dan tidak hanyir - sebab menggunakan makanan laut dan dakwat sotong.