Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid persiap sambut jemaah sejajar langkah selamat

Mulai Jumaat ini, solat Jumaat dan solat jemaah akan disambung semula dengan beberapa keterbatasan. Selain mengehadkan jumlah jemaah kepada 50 orang bagi setiap sesi, hanya mereka yang telah membuat tempahan slot sah dalam talian akan dibenarkan memasuki masjid bagi solat jemaah. Dengan pengumuman Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu, masjid-masjid giat membuat persiapan bagi menyambut jemaah yang ghairah untuk ke masjid bagi solat berjemaah. Namun, langkah-langkah keselamatan telah ditetapkan dan perlu dipatuhi.
Jun 23, 2020 | 5:30 AM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad -

SEDANG masjid giat mempersiapkan ruang solat untuk menyambut kehadiran lebih ramai jemaah, masyarakat juga tidak sabar untuk ke masjid dan mengalu-alu langkah Majlis Ugama Islam (Muis) membolehkan masjid menyambung semula solat Jumaat dan solat jemaah mulai Jumaat ini.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pengerusi Masjid Mujahidin, Encik Muhammad Khairul Jameel Yahya, berkata kakitangan masjid tidak sabar menyambut kehadiran jemaah yang sudah lama dinanti-nantikan.

Malah, pihak masjid telah merancakkan persiapan mereka bagi menampung lebih ramai jemaah mengikut langkah selamat yang ditetapkan, antaranya dengan menandakan lebih banyak ruang di masjid dengan jarak satu meter antara satu sama lain.

Menurutnya, masyarakat Islam sejauh ini telah memberi kerjasama dan sokongan kepada pihak masjid, dan ia suatu yang beliau hargai.

Beliau berpesan agar jemaah membawa kelengkapan solat peribadi, mengambil wuduk di rumah, dan membawa beg untuk menyimpan kasut mereka.

"Saya faham ramai jemaah tentu rindu rakan mereka kerana sudah lama tidak ke masjid, tetapi diharap agar elak bersembang dan bersentuhan.

"Dalam pada itu, jemaah diharap dapat tinggalkan pekarangan masjid setelah solat untuk memberi ruang kepada jemaah lain yang datang bagi sesi solat selanjutnya," ujar beliau.

Pengerusi Masjid Al-Abdul Razak, Encik Mohammed Shahrin Shamsuddin, berkata setelah menerima pengumuman solat Jumaat dan jemaah boleh disambung semula, jadual bagi kakitangan, jawatankuasa serta sukarelawan untuk berkhidmat telah disiapkan supaya semua dapat berjalan lancar dan selamat pada hari Jumaat.

Antara langkah lain termasuk menyahjangkit tempat solat, tempat ambil wuduk dan tandas.

Beliau berharap jemaah bekerjasama mematuhi langkah keselamatan sekiranya berada di masjid.

"Ingatlah, teman-teman kita di masjid telah bertungkus lumus dan hanya menjalankan tugas mengikut peraturan yang sedia ada. Jangan marah dan kecam mereka kerana semua langkah keselamatan ini adalah untuk kemaslahatan bersama," tambah Encik Shahrin.

Mulai 26 Jun, dua sesi setengah jam akan diadakan bagi solat Jumaat, dengan selang kira-kira 30 minit di antara dua sesi itu.

Setiap sesi solat Jumaat dan solat jemaah dihadkan kepada 50 orang dan hanya mereka yang telah membuat tempahan slot secara dalam talian akan dibenarkan untuk solat berjemaah.

Menyentuh tentang sistem tempahan itu, Encik Mustafa Nordin, 26 tahun, yang kerap mengunjungi Masjid Al-Mawaddah berkata ia inisiatif yang baik.

"Ini supaya orang ramai tidak mengerumuni masjid pada hari Jumaat, dan mereka dimaklumkan sama ada boleh sertai solat jemaah ataupun tidak.

"Jika tak dapat slot, saya mungkin akan kecewa sedikit tetapi pada masa yang sama, saya akan faham kerana keutamaan buat masa kini adalah jarak selamat," ujar kakitangan awam itu yang merancang mendaftar tepat 9 pagi apabila tempahan dibuka Rabu ini.

Dalam pada itu, Encik Mustafa yang sudah rindu masjid berkata beliau akan membantu dan membimbing ahli keluarga serta saudara lain yang kurang mahir dalam teknologi untuk membuat pendaftaran.

Seorang lagi jemaah, Encik Ahmad Mundzir Jasmani, 28 tahun, yang kerap mengunjungi Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Maarof berkata sebagai seorang Muslim, ketidakhadiran ke masjid sedikit sebanyak menzahirkan kelopongan dalam diri.

Justeru, penolong logistik itu menyokong pembukaan semula masjid dengan syarat dan langkah yang perlu dipatuhi, kerana adalah perlu mengimbangi antara syiar Islam dengan kemaslahatan kesihatan masyarakat umum.

Beliau menambah bahawa mereka yang muda patut juga menasihati dan membantu memahamkan warga emas terutamanya ibu bapa dan datuk nenek mereka supaya duduk di rumah dan elak ke masjid demi keselamatan mereka.

"Buat masa sekarang, saya tidak akan tergesa-gesa ke masjid, sepertimana tidak tergesa-gesa pergi ke tempat-tempat yang dibuka kembali.

"Tapi saya akan cuba mendaftar untuk satu dua slot nanti," ujar ustaz bebas itu.

"Kerana ruang masih terhad walau dijalankan beberapa sesi, saya harap kita dapat beri kerjasama penuh dan tetap bersabar jika tidak berkesempatan kali ini. Kepada mereka yang berjaya mendapat tempat, saya mohon agar anda mengikuti garis panduan Muis dengan serius, agar kita dapat menunaikan ibadah dengan tenang dan selamat, tanpa membahayakan diri, keluarga, kakitangan masjid dan jemaah lain." - Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg