Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Masyarakat Melayu, satu kisah kejayaan S'pura

Serupa kisah SG di mana semua masyarakat maju luar biasa dalam hanya satu generasi hasil prinsip meritokrasi dan berbilang kaum yang didukung sama
Dec 13, 2021 | 05:30 AM



Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohd Maliki Osman, mengetuai satu delegasi antara agensi Singapura bagi membentangkan laporan pertama negara ini mengenai Konvensyen Antarabangsa bagi Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) kepada Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum (CERD) bulan lalu. ICERD ialah sebuah perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan langkah bagi negara-negara mencegah dan menghapuskan diskriminasi kaum. Singapura mengesahkan ICERD pada 2017 dan menyerahkan laporan pertama pada 2018. CERD sebuah badan 18 pakar bebas yang memantau pelaksanaan ICERD oleh negara-negara yang mengesahkannya. Bahagian pertama catatan Dr Mohd Maliki yang disunting daripada responsnya kepada CERD tentang kemajuan masyarakat Melayu dan minoriti lain di Singapura disiarkan dalam Berita Minggu semalam. Berikut bahagian kedua dan terakhir.




KISAH masyarakat Melayu yang akan saya ceritakan ialah kisah Singapura - salah satu cara dalam meningkatkan masyarakat dalam satu generasi, melalui peluang sama, meritokrasi dan berbilang kaum.



PERJALANAN PERIBADI



Saya dilahirkan pada 1965 - tahun Singapura mencapai kemerdekaan. Ibu bapa saya pendatang yang datang ke Singapura kerana dijanjikan pekerjaan dan kehidupan lebih baik.



Mereka boleh tinggal di Malaysia, tempat mereka akan menjadi sebahagian daripada kaum majoriti dan menikmati dasar yang memihak pada orang Melayu.



Tetapi, mereka memilih datang dan menjadikan Singapura rumah mereka. Kedua-duanya tidak berpendidikan dan mereka tahu mereka terpaksa bekerja keras untuk terus menakat.



Ayah saya tahu bahawa untuk berjaya, kita perlu bekerja keras dan bersaing dengan orang lain.



Kami adalah penerima bantuan kebajikan daripada pemerintah - ibu saya ada memberitahu saya tentang beliau pergi ke jabatan kebajikan bersama kami untuk mendapatkan susu tepung untuk kami.



Saya dan adik-beradik akan tidur di sepanjang koridor di luar flat sewa kami kerana unit kami terlalu kecil untuk memuatkan kami 11 orang.



Ibu bapa saya memberi kami semua yang mereka boleh - memasukikan kami ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan dengan harapan hidup kami akan lebih baik daripada mereka. Itu adalah harapan mereka.



Walaupun adik-beradik saya tidak ke universiti, mereka mempunyai pekerjaan baik dan berjaya memiliki rumah sendiri.



Kehidupan kami lebih baik daripada ibu bapa kami dan terdapat mobiliti sosial dalam satu generasi.



Kisah keluarga saya tidak unik. Ramai keluarga Melayu melalui perjalanan sama, ada lebih baik daripada yang lain. Masyarakat lain juga begitu, bergerak ke hadapan.



Dalam masyarakat Melayu, ada yang hasilnya tidak begitu baik. Ada yang akhirnya mengalami masalah ketagihan dadah manakala yang lain terpaksa berjuang untuk mendapatkan pendapatan lebih baik kerana pencapaian akademik lebih lemah.



Saya mengikuti kursus kerja sosial di universiti untuk memahami perkara ini dengan lebih baik dan membantu masyarakat saya. Saya berasa jika saya boleh melakukannya, orang lain juga boleh. Saya juga percaya bahawa sistem Singapura membolehkan kita mencapainya jika kita bekerja keras dan mempunyai azam.



Kami mengambil tahu dan bekerja sama dengan pemerintah untuk membangunkan program yang memberi tumpuan pada prestasi pendidikan dan mengukuhkan keluarga, supaya anak-anak boleh membesar dalam sekitaran kuat dan stabil.



Pemerintah menyokong usaha kami dengan geran dan sumber.



KEMAJUAN SOSIO EKONOMI MASYARAKAT MELAYU



Hasilnya ialah lebih ramai orang Melayu berjaya, dengan lebih ramai pelajar berjaya ke universiti.



Masyarakat Melayu terus maju dan telah mencapai kadar peningkatan lebih pantas dalam pendidikan, pekerjaan dan pendapatan.



Dalam pendidikan, pelajar Melayu mengatasi prestasi rakan OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi) mereka dalam Matematik buat kali pertama dalam Program 2018 untuk Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), dan setanding dalam Bacaan dan Sains.



Dalam kalangan penduduk Melayu berumur 25 tahun dan ke atas, hampir separuh (48 peratus) mempunyai kelayakan posmenengah atau lebih tinggi pada 2020, berbanding kurang satu pertiga (31 peratus) pada 2010.



Ini adalah peningkatan terbesar dari segi peratusan peningkatan berbanding kumpulan etnik lain.



Peningkatan itu lebih ketara bagi golongan muda Melayu, dengan hampir sembilan daripada 10 (88 peratus) orang Melayu berumur 25 hingga 34 tahun mencapai kelayakan peringkat posmenengah atau lebih tinggi, berbanding enam daripada 10 (63 peratus) 10 tahun lalu.



Kadar orang Melayu yang mempunyai kelayakan universiti hampir berganda daripada 6 peratus pada 2010 kepada 11 peratus pada 2020. Jumlah itu bermula daripada perangkaan rendah dan ia menggandakan bilangan ini dalam 10 tahun merupakan satu kemajuan ketara.



Peningkatan dalam pendidikan ini membantu masyarakat Melayu mendapatkan pekerjaan lebih baik.



Bilangan orang Melayu dalam pekerjaan lebih tinggi, seperti peranan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), meningkat daripada 28 peratus pada 2010 kepada 39 peratus pada 2020.



Jadi, hampir dia dalam lima orang Melayu kini berada dalam pekerjaan berkemahiran tinggi ini.



Ramai orang Melayu telah berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing. Masyarakat berbangga akan mereka dan mereka merupakan inspirasi kepada belia Melayu kita.



Hasil yang lebih baik pula bermakna keluarga Melayu mempunyai pendapatan lebih tinggi dan boleh membeli rumah mereka. Pendapatan isi rumah daripada pekerjaan bagi isi rumah Melayu meningkat sebanyak 2.8 peratus setahun (1.4 peratus dari segi pendapatan sebenar) berbanding dekad lalu.



Pertumbuhan dalam pendapatan isi rumah median daripada pekerjaan bagi setiap anggota isi rumah adalah yang tertinggi dalam kalangan isi rumah Melayu, yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus setahun (atau 3.0 peratus bagi pendapatan sebenar) antara 2010 dan 2020.



LEBIH 85% ISI RUMAH MELAYU MEMILIKI RUMAH MEREKA



Walaupun ramai dalam masyarakat Melayu telah maju, kami akur ada masih ketinggalan.



Kami akan terus menggunakan pendekatan menyeluruh dan berasaskan keperluan untuk membantu keluarga dan individu memerlukan, bukan yang berbangsa Melayu sahaja, malah daripada semua kaum.



Kami mengambil tindakan di peringkat awal untuk mengukuhkan asas keluarga dan memberi permulaan baik dalam kehidupan setiap kanak-kanak. Kami menggembleng sumber dalam masyarakat, melibatkan orang Melayu berjaya untuk membimbing mereka yang memerlukan sokongan, memberi inspirasi kepada mereka dengan teladan positif.



Kami menyokong banduan secara menyeluruh, membantu mereka dengan proses pemulihan dan integrasi mereka kembali ke dalam masyarakat.



Kami menyokong keluarga dan anak-anak mereka.



Kami juga mengurangkan kesan kepada kehidupan mereka kemudian melalui peningkatan kemahiran untuk meningkatkan daya kerja dan mengembangkan jaringan keselamatan sosial kita.



Pemerintah sedar bahawa ia tidak selalu mempunyai semua jawapan untuk membantu keluarga dan individu memerlukan.



Kadangkala ada faktor dan isu lebih baik ditangani dengan usaha diterajui masyarakat yang lebih dekat kepada cabaran itu, dan boleh disesuaikan kepada keperluan keluarga dan individu daripada masyarakat itu.



Di sinilah masyarakat Melayu tampil melengkapi usaha pemerintah melalui Mendaki dan rakan masyarakat lain.



Usaha ini termasuk inisiatif M³, kerjasama yang diterajui oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra); dan juga Projek Dian, yang melibatkan kerjasama badan masyarakat Melayu dengan agensi pemerintah untuk memberi sokongan menyeluruh kepada isi rumah Melayu yang tinggal di flat sewa awam.



Pemerintah akan terus menyokong inisiatif yang diterajui oleh masyarakat dalam memastikan semua rakyat Singapura, tanpa mengira kaum, mempunyai peluang untuk berjaya dan maju.



Meritokrasi memastikan keadilan dan akses sama rata kepada sumber daripada negara untuk semua orang.



Sedang kami memastikan peluang sama, kami tidak dapat memastikan hasil yang sama.



Orang ramai bergerak pada kadar yang berbeza bergantung pada keadaan sosial mereka. Ada akan bergerak lebih pantas daripada yang lain, dalam masyarakat dan antara masyarakat.



Sistem ini adil dan saksama. Tetapi ia tidak bermakna bahawa jika anda ketinggalan, anda telah kalah dalam perlumbaan. Kejayaan terus diluaskan dan dikejar.



Yang lebih penting ialah pemerintah, melalui dasar dan program, akan memberikan lebih banyak kepada mereka yang ketinggalan untuk meningkatkan kehidupan mereka, dan dengan harapan melonjakkan mereka ke hadapan.



Justeru sedang beberapa segmen masyarakat Melayu ketinggalan, masyarakat telah mencapai kemajuan besar yang kami banggakan.



Apabila kita mendengar berita orang Melayu dilantik ke Badan Kehakiman atau menjadi juruterbang pejuang, kami berasa bangga kerana kami tahu bahawa orang ini telah mencapai kedudukan itu daripada usaha dan kemampuannya sendiri, bukan kerana dia orang Melayu.



Identitinya sebagai orang Melayu akan menjadi penguat semangat untuk masyarakat, untuk mengetahui bahawa pencapaian itu boleh diraih, dan ia bukan sebagai 'token' untuk meningkatkan bilangan.



Inilah kisah masyarakat Melayu di Singapura.



Kami mahu berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan Singapura daripada masyarakat lain.



Kami berusaha untuk menjadi Masyarakat Gemilang.



Ini juga merupakan kisah Singapura di mana semua masyarakat kaum kita telah mencapai kemajuan luar biasa dalam hanya satu generasi, digandingkan dengan prinsip meritokrasi dan berbilang kaum yang didukung sama.




Pemerintah akan terus menyokong inisiatif yang diterajui oleh masyarakat dalam memastikan semua rakyat Singapura, tanpa mengira kaum, mempunyai peluang untuk berjaya dan maju. Meritokrasi memastikan keadilan dan akses sama rata kepada sumber daripada negara untuk semua orang. Sedang kami memastikan peluang sama, kami tidak dapat memastikan hasil yang sama. Orang ramai bergerak pada kadar yang berbeza bergantung pada keadaan sosial mereka. Ada akan bergerak lebih pantas daripada yang lain, dalam masyarakat dan antara masyarakat. Sistem ini adil dan saksama. Tetapi ia tidak bermakna bahawa jika anda ketinggalan, anda telah kalah dalam perlumbaan. Kejayaan terus diluaskan dan dikejar. Yang lebih penting ialah pemerintah, melalui dasar dan program, akan memberikan lebih banyak kepada mereka yang ketinggalan untuk meningkatkan kehidupan mereka, dan dengan harapan melonjakkan mereka ke hadapan.
- Dr Mohd Maliki Osman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >