Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Mekanisme semakan sistem pentadbiran pastikan ketelusan badan Islam

Jul 13, 2021 | 05:30 AM



BARU-BARU ini, wujud pelbagai spekulasi yang menimbulkan kecurigaan terhadap sistem pentadbiran dan kewangan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Sepertimana yang kita maklum, Muis adalah badan berkanun yang mentadbir hal ehwal masyarakat Islam di Singapura.



Sepanjang lebih 50 tahun kewujudan badan tersebut, Muis telah melalui evolusi dan bidang-bidang di bawah naungannya bertambah.



Ini termasuk mengurus persijilan halal, pembinaan masjid, pengurusan haji dan sebagainya.



Malah, dalam ucapannya di Siri Cendekiawan Lestari anjuran Yayasan Warisan Melayu (MHF) baru-baru ini, mantan presiden Muis, Haji Maarof Salleh berkongsi bagaimana keupayaan Muis meneraju pelan pembinaan masjid di Singapura telah menerima banyak pujian daripada negara lain.



Walaupun masyarakat Islam adalah minoriti di Singapura, kita berupaya menggabungkan tenaga dan sumber kewangan masyarakat ke arah satu matlamat yang jelas, dan hal ini dibolehkan dengan usaha Muis.



Sebagai seorang anggota masyarakat Melayu/Islam di Singapura, saya juga prihatin jika ada perkara yang tidak kena pada Muis.



Walaupun sebanyak mana jasa-jasa Muis kepada masyarakat, adalah tanggungjawab bersama kita untuk memastikan badan berwewenang itu kekal telus, bersih, amanah dan cekap.



Masyarakat berhak dan bebas bersuara demi kebaikan Muis. Malah, kita juga berhak untuk berbeza pandangan dengan Muis seperti tentang program atau dasar berkaitan masjid atau madrasah.



Saya fikir Muis juga mengalu-alukan pandangan masyarakat dalam aspek ini.



Dalam sejarah Islam sendiri, ulama atau cendekiawan boleh berbeza pandangan dalam hal agama dan mereka berbahas secara terhormat, bukan dalam bentuk menghasut atau menyemai kebencian.



Walau bagaimanapun, tuduhan salah tadbir urus satu perkara yang berbeza dan saya yakin tidak ada perbezaan pendapat dalam masyarakat bahawa perkara itu wajib ditegah.



Beberapa tuduhan tentang salah tadbir urus dalam Muis membimbangkan, mentelah apabila cerita-cerita berkenaannya tular di media sosial.



Spekulasi negatif tersebut tidak lenyap walaupun Muis sudah berusaha untuk menjawabnya. Realiti kehidupan hari tidak boleh dipisahkan daripada media sosial.



Secara idealnya, kita harap agar setiap ketidakpuasan terhadap Muis atau pemerintah dibincangkan lewat saluran rasmi atau yang lebih tradisional.



Pada hemat saya, di zaman Instagram, Facebook, Twitter dan TikTok ini, masyarakat berhak bertanya dan jika mereka selesa dengan wadah media sosial, tidak ada yang boleh menyekat mereka.



Masyarakat kita hari ini mahukan maklumat yang lebih pantas tetapi tuntas, dan jika boleh, ia mahu pihak bertanggungjawab memberikan penjelasan secepat mungkin.



Cuma kadangkala masyarakat perlu sedar bahawa untuk mencari akar sesuatu permasalahan memerlukan masa, untuk mengelakkan perasaan sangsi, atau andaian bahawa Muis cuba berselindung.



Tambahan lagi, wadah maya, walaupun mudah dan pantas, tidak semestinya yang paling berkesan untuk memberikan maklum balas.



Ini kerana semua orang di dunia, baik yang menetap di Singapura, atau yang di luar Singapura, boleh menyuarakan pandangan masing-masing.



Kadangkala, mereka memberikan pandangan tidak punya kepentingan secara langsung dalam hal yang dibicarakan.



Justeru, sudah menjadi tanggungjawab masyarakat umum untuk memastikan mereka sendiri menapis maklumat yang diterima.



Proses ini juga perlu dilakukan di peringkat individu terutama sekali jika berdepan dengan komen yang tidak membina, atau yang tidak berlandaskan fakta.



Cabaran untuk menapis ini lebih berat buat badan birokrasi seperti Muis, apabila masyarakat sudah beranggapan suatu tuduhan itu fakta.



Tambahan lagi, masyarakat mesti berlaku adil dalam membuat penilaian mereka terhadap setiap maklumat, dan ruang institusi seperti Muis berikan perspektif mereka.



Sama ada kita setuju ataupun tidak dengan Muis, atau punya kecenderungan terhadap organisasi Islam alternatif di Singapura, kita perlu menilai prestasi Muis secara bijaksana.



Masyarakat juga perlu faham bagaimana semua badan berkanun seperti Muis menjalani proses audit yang sengat ketat.



Hal ini bukan hanya berlaku kepada Muis, tetapi setiap institusi pemerintah. Pejabat Juruaudit Negara (AGO) akan memeriksa proses pentadbiran dan kewangan institusi tersebut.



Kita sedia maklum ketelusan dan tidak rasuah adalah resipi kejayaan kemakmuran Singapura. Ada beberapa petunjuk yang menyangkal mereka yang masih sangsi terhadap pendirian Singapura ini.



Pertama, Singapura kekal sebagai antara negara yang terbaik di dunia yang tidak korup. Kedua, Singapura kekal sebagai antara destinasi terbaik bagi pelabur.



Hal ini tidak akan terjadi jika pemerintah korup kerana amalan tumbuk rusuk akan menyukarkan pelabur untuk berniaga, apabila persaingan untuk mendapatkan kontrak berpaksi pada siapa yang lebih dekat dengan individu berpengaruh dan bukan undang-undang yang adil.



Ketiga, AGO adalah badan yang tidak berkecuali. Sebelum ini, laporan audit diterbitkan secara terbuka, dan pernah menyebut individu dan organisasi yang tidak mengikut syarat kewangan yang ditetapkan. Muis sendiri pernah ditegur, termasuk kementerian lain.



Tentu ada proses yang boleh dibaiki tetapi sejauh ini belum ada salah laku yang wujud dalam Muis.



Kalau benar AGO berkecuali dan mengikut telunjuk pemerintah, tentu sekali kelemahan dalam kementerian dilindungi daripada pandangan masyarakat umum.



Kita semua mahu Muis terus berjaya dalam menjalankan amanah yang diberikan.



Masyarakat wajib prihatin jika ada hal tadbir urus yang mencurigakan, tetapi mekanisme yang ada di Singapura ini akan terus menjamin ketelusan dalam Muis meyakinkan.



Semoga episod ini mematangkan kita dalam berwacana dan kita dapat terus berikan saranan baik bagi meningkatkan lagi mutu pentadbiran Muis.



Malah, setiap badan Melayu juga perlu mengambil iktibar untuk terus meraih keyakinan masyarakat.



Sebagai masyarakat, adalah tugas kita untuk menyampaikan berita yang sahih, dah juga menilai sesuatu perkara dengan adil, walaupun kita punya kecenderungan yang berbeza.



  • Penulis Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak dan penyelaras program masyarakat dan budaya di institusi tersebut.


"Kita semua mahu Muis terus berjaya dalam menjalankan amanah yang diberikan. Masyarakat wajib prihatin jika ada hal tadbir urus yang mencurigakan, tetapi mekanisme yang ada di Singapura ini akan terus menjamin ketelusan dalam Muis meyakinkan. Semoga episod ini mematangkan kita dalam berwacana dan kita dapat terus berikan saranan baik bagi meningkatkan lagi mutu pentadbiran Muis. Malah, setiap badan Melayu juga perlu mengambil iktibar untuk terus meraih keyakinan masyarakat. Sebagai masyarakat, adalah tugas kita untuk menyampaikan berita yang sahih, dah juga menilai sesuatu perkara dengan adil, walaupun kita punya kecenderungan yang berbeza.
- Penulis. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >