PANDANGAN

Memperkasa pekerja kita lalui kerjasama tiga pihak

APABILA membaca akhbar sejak kebelakangan ini, kita akan sering kali terlihat frasa "kerjasama tiga pihak" dalam laporan.

Dari segi definisi, kerjasama tiga pihak merujuk kepada kerjasama antara kesatuan, majikan dengan pemerintah.

Ini dalam usaha meningkatkan daya saing ekonomi Singapura dan menggalak hubungan yang makmur antara majikan dengan pekerja.

Namun, mengapakah Singapura sering menekankan peri pentingnya kerjasama tiga pihak ini?

Kerjasama tiga pihak ini bukan hanya sesuatu perkara yang unik kepada negara kita, malah satu aset yang strategik.

Tidak banyak negara di dunia boleh mengatakan bahawa mereka menikmati hubungan yang kukuh dan mantap antara pemerintah, kesatuan dengan majikan.

Di banyak negara lain, kesatuan dan pemerintah duduk bertentangan dalam kem berasingan - pihak kesatuan berkeras dalam menuntut hak pekerja manakala majikan dan pemerintah pula enggan menuruti permintaan mereka.

Namun di Singapura, sikap konfrontasi sedemikian tidak pernah terlihat sejauh ini.

Ketiga-tiga pihak, walaupun masing-masing mungkin mempunyai pandangan dan kepentingan tersendiri, bekerja keras bersama untuk menangani cabaran dan memberikan huraian demi kebaikan dan kemajuan pekerja dan perniagaan.

Ini jelas dapat dilihat semasa Presiden Kesatuan Pekerja Perindustrian dan Perkhidmatan Singapura (Siseu), Encik Sazali Zainal, menyertai satu sidang industri aeroangkasa di luar negara baru-baru ini, dan berkongsi dengan saya dalam satu wawancara baru- baru ini.

Gangguan teknologi yang kian meresap dalam hampir semua aspek kehidupan hari ini merupakan cabaran yang bukan hanya dihadapi Singapura, malah seluruh dunia.

Encik Sazali berkata kebanyakan negara tidak tahu bagaimana untuk mula menangani masalah itu ataupun bagaimana menjalani transformasi ke arah digitalisasi dan automasi.

Namun di Singapura, terdapat pelbagai program dan pembiayaan yang sedia ada untuk syarikat manfaatkannya.

"Kita dalam kedudukan lebih baik berbanding negara lain. Kerjasama tiga pihak ini membantu menyelesaikan masalah bersama. Untuk negara lain, apabila kesatuan mereka menyarankan sesuatu, saranan mereka itu akan ditolak pihak syarikat.

"Apabila syarikat menyarankan sesuatu pula, saranan mereka akan ditolak pihak kesatuan… Mereka memerlukan masa yang agak lama untuk melakukan sesuatu," kongsi beliau.

Kerjasama tiga pihak telah membuahkan banyak hasil yang positif, terutamanya buat pekerja, di Singapura.

Pelbagai program dan skim dapat dilakar dan disediakan hasil perkongsian pandangan dan maklum balas, serta hubungan simbiotik antara kesatuan, majikan dengan pemerintah.

Salah satu contoh ialah dana $100 juta yang diperkenalkan pemerintah baru-baru ini bagi melatih pekerja rel setempat dengan lebih baik.

Ini dilakukan dalam usaha membantu meringankan beban kos pengendali kereta api yang mengalami cabaran kewangan sedang industri tersebut berusaha memenuhi keperluan pengangkutan abad ke-21 Singapura.

Bagaimanapun, tidak semua orang benar-benar mengerti ataupun menghargai kerjasama tiga pihak ini.

Mengongsi pandangannya menerusi lensa pihak kesatuan, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Gas dan Kuasa (Upage), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, berkata mereka kadangkala disalah faham dan dituduh bersikap pro-pemerintah apabila bekerjasama dengan pemerintah untuk membantu pekerja.

"Kami bekerjasama dengan pemerintah dan memanfaatkan inisiatif pemerintah demi membantu pekerja.

"Bagi saya, yang penting adalah bagaimana saya dapat menolong mereka pada akhirnya," kata beliau dalam satu wawancara berasingan menyusuli pelantikannya sebagai naib presiden dalam Jawatankuasa Pusat Kongres Sekerja Kesatuan Kebangsaan (NTUC) baru-baru ini.

"Sesetengah geran, program, inisiatif yang diperkenalkan pemerintah, gerakan buruhlah yang menyokong dan melobi semua perkara itu di balik tabir," tambahnya.

Mesej tentang kepentingan usaha sama tiga pihak itu turut ditekankan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya di Sidang Perwakilan Nasional (NDC) NTUC 2019 Oktober lalu.

Katanya, Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan terus kekal bekerja rapat dengan gerakan buruh demi memajukan kesejahteraan dan masa depan pekerja.

Untuk Singapura mengharungi cabaran semasa dan masa depan, kerjasama tiga pihak ini perlu terus diperkukuh dan dikembangkan lagi.

Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Zainal Sapari, berkata model hubungan buruh tiga pihak negara ini telah menyokong tiga dekad kejayaan.

Dengan kewujudan kuasa yang menjejas kestabilan dalam ekonomi moden dan digital sejagat ini, beliau berkata rakan tiga pihak perlu memanfaatkan kekuatan satu sama lain untuk mengharungi landskap perniagaan dan pekerjaan yang berubah-ubah.

"Hanya dengan memahami perspektif satu sama lain barulah kita boleh melakarkan strategi bagi transformasi dan pertumbuhan negara kita.

"Kesatuan perlu bekerjasama dengan majikan demi memastikan pekerja dilengkapi dengan kemahiran penyesuaian, teknologi dan teknikal sedang perniagaan menjalani transformasi untuk kekal berdaya saing.

"Pemerintah juga perlu melakarkan dasar dan menyediakan sokongan kepada pekerja dan perniagaan untuk membolehkan ekonomi tumbuh. Justeru, kerjasama tiga pihak akan terus menjadi satu tunggak utama dan aset strategik dalam pertumbuhan ekonomi kita," kata beliau.

Dunia kita semakin rumit, dengan pelbagai cabaran baru yang timbul sejak beberapa tahun lalu.

Ini termasuklah ketidakpastian ekonomi, teknologi yang mengganggu cara industri dan pekerjaan dijalankan, dan gerakan populis serta sikap nativist nationalism atau sifat yang mengutamakan anak watan sesebuah negara - yang memecahbelahkan masyarakat dan meretakkan paduan sosial - yang semakin berkembang di banyak negara.

Justeru, peranan kerjasama tiga pihak ini akan menjadi lebih genting sedang Singapura mengharungi cabaran sedemikian dan hubungan antara mereka perlu menjadi rapat lagi demi kemakmuran masa depan negara.

Sedang kesatuan terus memperjuangkan hak pekerja dan pemerintah pula memperkenalkan inisiatif untuk membantu pekerja, pekerja juga perlu proaktif mempertingkat kemahiran dan pengetahuan mereka dalam melayari perjalanan ekonomi digital ini.

Masa tidak menunggu sesiapa dan hanya dengan mengambil langkah proaktif dalam mempertingkat diri akan seseorang pekerja mempunyai masa depan lebih terjamin dalam dunia hari ini.


Irma Kamarudin wartawan BH/BM. Baru-baru ini, beliau menyertai lawatan rasmi Presiden Halimah Yacob ke Filipina sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Singapura dengan negara itu untuk membuat liputan. Antara isu yang dekat di hati wartawan ini ialah tentang perkembangan masyarakat Melayu/Islam, pekerja dan penukaran kerjaya. Ikuti Irma di Instagram: @irma.bh