Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mengejar impian, terperangkap dalam perlumbaan kehidupan

Jun 11, 2025 | 6:27 PM
holiday with loved ones, bercuti
Kadangkala, memilih untuk berehat bersama orang tersayang, itulah sebenarnya bentuk kejayaan yang paling bermakna. - Foto BM oleh AMIRA SYAHEERA AZLAN

Semakin meningkat usia, semakin saya rasa keseorangan.

Saya sedar satu perkara yang agak menyedihkan ialah betapa sukarnya sekarang untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan saya.

Dulu, rancangan boleh dibuat dalam sekelip mata, saya boleh terus ajak sesiapa untuk lepak minum teh ais di luar.

Sekarang, nak jumpa pun ambil masa berminggu, kadangkala berbulan.

Baru-baru ini, saya berbual dengan seorang rakan tentang hal ini.

Katanya, beliau juga rasa begitu.

Bukan tak mahu jumpa, cuma hidup sekarang semakin susah dan senang berasa penat.

Kerjaya, komitmen keluarga, kewangan, semua menuntut perhatian.

Jadual kita sudah tidak sama seperti dahulu.

Dan realitinya, semakin dewasa, semakin sukar untuk ‘sekadar lepak’.

Perkara ini membuat saya terfikir, apakah ini sebenarnya ‘impian Singapura’ yang kita kejar selama ini?

Sebuah kehidupan yang penuh dengan kerja, tanggungjawab tetapi kekurangan masa untuk perkara yang benar-benar memberi makna?

Kos sara hidup yang semakin meningkat bukan sekadar isu ekonomi, malah ia memberi kesan langsung kepada cara kita menjalani hidup kita sekarang.

Ramai yang terpaksa bekerja lebih masa, membuat ‘side hustle’ atau sentiasa berusaha untuk tidak ketinggalan dalam perlumbaan hidup.

Setiap hari mereka risau bagaimana mereka boleh bertahan untuk hari yang seterusnya.

Hobi jadi satu kemewahan.

Masa bersama keluarga dan rakan semakin jarang.

Rehat pun datang dengan rasa bersalah.

Mereka tetap bekerja walaupun dalam kesakitan.

Soalnya sekarang, adakah kita sedang bekerja terlalu keras hanya untuk menyesuaikan diri dengan harapan masyarakat dan tidak mahu kelihatan ketinggalan atau adakah kita sedang bekerja terlalu keras untuk kehidupan impian kita?

Kita dibesarkan dengan falsafah bahawa kerja keras membawa kejayaan.

Tapi hari ini, ramai yang bekerja keras siang dan malam, namun tetap rasa seolah-olah tidak cukup masa, tidak cukup wang, tidak cukup tenang.

Kita terperangkap dalam satu budaya di mana berasa penat dianggap biasa dan ‘sibuk’ dijadikan ukuran kejayaan.

Ada yang katakan, ‘Hustle demi hasil’.

Mungkin sudah sampai masanya kita menilai semula apa sebenarnya erti kejayaan dan kehidupan.

Bukan semua yang perlahan itu lemah.

Bukan semua yang tidak sibuk itu tidak produktif.

Kadangkala, memilih untuk berehat dan bersama orang tersayang, itulah sebenarnya bentuk kejayaan yang paling bermakna.

‘Impian Singapura’ ini seharusnya lebih daripada sekadar bertahan hidup.

Ia patut memberi ruang untuk kita hidup dengan lebih seimbang dan bermakna.

Supaya suatu hari nanti, kita tidak perlu tunggu beberapa bulan hanya untuk duduk minum teh ais bersama rakan-rakan.

Dan mungkin, itulah impian yang sebenarnya patut kita kejar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg