Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

WACANA

Meraikan 75 tahun kewujudan, mencorak masa depan bersama

Sedang Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) meraikan pencapaiannya, pertubuhan tersebut juga gigih orak langkah bagi tingkatkan mutu khidmat, kekal relevan
Jun 11, 2023 | 05:31 AM



Seperti para belia yang lain, Nur Ramadhan Jumali menanam cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Sejak kecil lagi, beliau memegang teguh pada cita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat.

Walaupun perjalanan beliau untuk ke menara gading tidak mudah, beliau tetap gigih dan tidak pernah sesekali berputus asa. Dengan penuh kesungguhan, beliau berjaya melanjutkan pelajaran dari Institut Pendidikan Teknikal ke Politeknik Nanyang dan seterusnya ke Universiti Nasional Singapura. Kisah kejayaan seperti Nur Ramadhan tidak asing bagi Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).

Kegigihan, sokongan sosial yang padu dan cita-cita yang tinggi merupakan ciri-ciri inspirasi bagi para belia seperti Nur Ramadhan untuk mencapai kejayaan.

Nur Ramadhan mula mengenali 4PM setelah memenangi Anugerah Bestari pada tahun 2015.

Bak kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’. Setelah mengenali 4PM, beliau rasa tertarik dan berminat untuk melibatkan diri dalam program-program lain yang dianjurkan oleh 4PM.

Beliau bukan sahaja melibatkan diri dalam program Bestari ITE (bITE) tetapi juga Akademi Bahas dan Roda-Roda Ramadan atau Ramadan on Wheels (ROW). Kepakaran beliau dalam bidang teknologi maklumat tidak disia-siakan.

Contohnya, beliau telah menyumbang tenaga dan kepakaran beliau untuk menghasilkan video bagi pertandingan bahas peringkat menengah. Kini beliau juga menyumbang kepakaran untuk membina microsite sempena sambutan ke-75 tahun 4PM.

Melalui pelibatan dalam program yang pelbagai itu, beliau bukan sahaja telah meraih pengalaman, malah memahami tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

75 Tahun Memaksimumkan Potensi Belia Demi Masa Depan Masyarakat

4PM ditubuhkan pada 2 Jun 1948 oleh sekumpulan belia – Hanifa S. Kanoo, Mohd Yatim Dohon, Syed Ja’afar Almenor, Hussein Mohd Ali dan Tengku Abdullah Tenku Omar, yang memahami kepentingan pendidikan dalam pembangunan dan kejayaan masyarakat Melayu.

Oleh itu, dari 1940-an hingga 1960-an, pemimpin belia 4PM menubuhkan beberapa sekolah rakyat, memulakan kelas tuisyen, menyediakan dermasiswa kepada pelajar, dan menganjurkan pertandingan pidato. 4PM juga menjadi ahli aktif Majlis Pendidikan Melayu apabila ia ditubuhkan pada tahun 1950-an untuk meningkatkan taraf pendidikan pelajar Melayu.

Pada waktu itu, 4PM menganjurkan kelas membaca Al-Quran, dan juga memulakan tadika Islam pertama di Singapura pada tahun 1963 supaya pelajar Melayu mendapat pendidikan sekular dan agama yang sempurna. Kini 4PM menawarkan perkhidmatan jagaan kanak-kanak, PLAYscapes @ 4PM.

Selaras dengan tema pendidikan, 4PM memainkan peranan penting dalam persada seni dan budaya di Singapura. Di bawah pimpinan Nongchik Ghani dan lain-lain seperti Kalam Hamidi, Djamal Tukimin, Nadiputra, Fatimah Yassin, dan Yusof Latiff, 4PM menganjurkan dan menyertai aktiviti seni secara berkala. Beberapa kumpulan seni juga mula bercabang dari 4PM.

4PM juga menyediakan ruang yang selamat untuk belia berbincang, berhujah dan bertukar-tukar pendapat. Bahas 4PM yang pertama kali diadakan pada 1952 masih lagi kekal dianjurkan 4PM hingga ke hari ini.

Tidak hairanlah antara mantan pemidato dan pembahas 4PM ialah tokoh dan pemimpin masyarakat seperti Encik Teo Chee Hean, Cik Rahayu Mahzam, Encik Hawazi Daipi, Encik Zainul Abidin Rasheed dan Cik Guy Ghazali. Tidak lupa juga personaliti TV seperti Encik Suhaimi Yusof, Cik Zaza Majid, Encik Izwan Ohtman dan Cik Nursha Ismail. 

Sejak penubuhannya, 4PM berdiri teguh sebagai sebuah persatuan yang membentuk keperibadian belia. 4PM kekal dalam misi untuk melahirkan individu-individu yang berjiwa masyarakat dan rela berkhidmat, selain menyediakan mereka dengan asas yang padu untuk menjadi pemimpin.

Seiring dengan misi itu, anggota jawatankuasa pentadbir 4PM adalah antara yang paling muda dalam kalangan badan-badan Melayu di Singapura. Ini merupakan hasil daripada pelaburan dalam melentur belia dan membimbing mereka untuk meneruskan kepimpinan persatuan ini.

Kami sangat akur dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos  apabila beliau merujuk kepada konsep “mandiri”, dalam mesej Hari Raya beliau tahun ini, untuk membangunkan masyarakat yang dapat berdiri dengan sendiri. Konsep ini berkait rapat dengan kerangka EDGES (Experience, Develop, Grow, Enrich, Sustain) kami.

EDGES - Menjulang Batasan Belia

Kerangka EDGES dibangunkan dengan pemahaman bahawa pembelajaran melalui pengalaman tidak terhenti pada eksperimen aktif tetapi juga untuk memperkaya kehidupan orang lain melalui sumbangan aktif yang mampan dan berkekalan kepada masyarakat. Kerangka ini menggalakkan konsep kendiri yang positif untuk mencapai pembangunan belia secara berterusan dan berperingkat. Menerusi penglibatan ini, para belia dapat menjangkaui kemampuan mereka dan menjadi versi diri mereka yang lebih baik.

Program-program seperti Bahas 4PM, Bestari ITE (bITE), Jawatankuasa Penglibatan Masyarakat (Community Engagement Committee, CEC), perkhidmatan sosial seperti Roda-Roda Ramadan (ROW) dan Youth EDGE, kesemuanya berpaksikan kerangka EDGES ini.

Belia 4PM berpeluang untuk berinteraksi dengan dunia luar dan meneroka pelbagai pengalaman yang akan membina kepimpinan, kecekapan, dan kecemerlangan. Usaha ini memperkasa belia untuk saling mengenali merentasi kelas sosial untuk merangsang jiwa kemasyarakatan, dengan tujuan lebih memahami masyarakat yang semakin kompleks dan membina jaringan sosial yang bermakna. 

Rendah Gunung, Tinggi Harapan

Kami mengucapkan penghargaan kepada semua relawan dan belia terdahulu dan sekarang, yang telah berusaha bersama untuk mencapai matlamat kami selama 75 tahun. 4PM bangga dengan peranan dan sumbangan mereka yang memastikan perkembangan dan kejayaan kami dalam menyokong belia tanpa mengira latar belakang.

Dalam menghadapi masa depan yang tidak pasti, 4PM tetap berpegang teguh pada misi untuk memaksimumkan potensi, memberi inspirasi dan harapan, serta memupuk generasi belia yang berwawasan tinggi. Dengan kecerdasan dan semangat yang berkobar, 4PM terus menjadi peneraju dalam masyarakat dengan menjunjung tinggi perpaduan dan kecemerlangan belia.

Semua ini tidak dapat dilakukan secara kendiri. 4PM berbesar hati dengan sokongan padu daripada pemimpin-pemimpin masyarakat, rakan kongsi dan dermawan.

“Kita perlu terus memperluas peluang bagi belia untuk membangun budaya menyumbang semula kepada masyarakat,” menurut Presiden Halimah Yacob, sewaktu acara berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa pentadbir 4PM pada tahun lalu.

Kami yakin bahawa generasi belia dan pemimpin muda memiliki potensi besar untuk membawa perubahan dan kesan yang positif dalam masyarakat. Melalui komitmen terhadap perpaduan, kecemerlangan, dan pembangunan belia yang positif serta berterusan, 4PM akan terus memperkasa belia untuk mencorak masa hadapan kita bersama.

Semestinya, sejarah belia Melayu Singapura akan terus diukir.

Penulis seorang guru sekolah rendah dan telah menjadi relawan 4PM sejak 2002. Rencana ini sempena sambutan hari lahir 4PM yang ke-75 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >