Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mudik, varian Delta punca lonjakan Covid-19 di Indonesia

Jul 6, 2021 | 5:30 AM
BENDUNG PENULARAN VIRUS: Palang Merah Indonesia sedang melakukan penyahjangkitan di sebuah kejiranan perumahan di Jakarta, sedang kes Covid-19 di Indonesia terus meningkat. - Foto REUTERS
BENDUNG PENULARAN VIRUS: Palang Merah Indonesia sedang melakukan penyahjangkitan di sebuah kejiranan perumahan di Jakarta, sedang kes Covid-19 di Indonesia terus meningkat. - Foto REUTERS -

KES Covid-19 di Indonesia semakin meningkat hari demi hari, memecah rekod tertinggi di negara paling ramai penduduk di rantau Asia Tenggara.

Lonjakan kes baru yang melebihi 20,000 membimbangkan penduduk.

Dua faktor dikatakan sebagai penyebab kenaikan besar kes itu - kegiatan mudik sebelum dan selepas perayaan Aidilfitri dan kemunculan varian virus Delta yang lebih berjangkit dan bahaya.

Kegiatan mudik dikatakan sebagai penyebab penularan dari penduduk kota ke kampung dan juga sebaliknya.

Dengan jutaan penduduk bergerak dari satu daerah ke daerah lain, di samping melakukan lawatan Raya, penularan virus Covid-19 tidak dapat dielakkan.

Sebelum ini, banyak pihak perubatan telah pun memberi amaran bahawa kegiatan mudik besar-besaran itu boleh menjadi kegiatan perebak utama (super spreader) bagi wabak koronavirus itu.

Kini ia telah pun berlaku.

Selain itu, varian Delta yang kali pertama dikesan di India lewat tahun lalu juga semakin menjadi kes utama di negara ekonomi terbesar rantau ini.

Menteri Kesihatan, Encik Budi Gunadi Sadikin, mengatakan varian amat berjangkit itu kemungkinan besar dibawa masuk pekerja Indonesia yang pulang dari India.

"Setiap hari kita melihat varian Delta membawa Indonesia lebih dekat ke ambang malapetaka Covid-19," kata Encik Jan Gelfand, ketua perwakilan Indonesia dari Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Indonesia (IFRC) kepada Reuters.

Dengan penularan yang kian meluas, kebanyakan hospital di sebilangan 'zon merah' dilaporkan mencapai kadar huni penuh, termasuk di ibu kota Jakarta.

Ini walaupun pihak berkuasa Indonesia telah berusaha menambah ribuan tempat katil di Jakarta dan tempat lain di merata negara itu untuk menampung peningkatan kes Covid-19.

"Hospital semakin penuh kerana lonjakan kes yang disebabkan oleh pergerakan orang ramai dan kurangnya kepatuhan pada protokol kesihatan, diperburuk oleh varian Delta," kata pegawai kanan kementerian kesihatan Siti Nadia Tarmizi, mengulas mengenai penilaian IFRC itu.

Persatuan Perubatan Indonesia (IDI) baru-baru ini pula menggesa agar pemerintah melaksanakan sekatan lebih ketat, dan jika ini tidak dilakukan bencana wabak yang dilihat di India sebelum ini boleh berlaku di Indonesia.

Diminta mengulas, Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata keadaan di Indonesia sememangnya semakin buruk.

"Pemerintah tidak mempunyai pilihan selain mengambil pendekatan lebih tegas dan intrusif untuk mengawal Covid-19.

"Oleh kerana pendekatan secara lembut tidak berjaya, pendekatan lebih tegas mungkin lebih sesuai - lebih baik lewat daripada tidak dilakukan," katanya kepada Berita Harian (BH).

Kini, pendekatan pihak berkuasa tertumpu kepada memvaksinasi sebanyak mungkin penduduknya, namun sejauh ini jumlah mereka yang diberi vaksin sepenuhnya masih jauh daripada sasaran mahu memvaksin 180 juta warganya.

Terbaru, Indonesia melaksanakan sekatan lebih ketat - Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM) di pulau Jawa dan Bali mulai Sabtu lalu hingga 20 Julai.

Antara sekatan adalah semua pekerja di sektor kurang penting bekerja dari rumah dan melarang makan luar di tempat makan.

Hakikatnya, jangkitan Covid-19 telah meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh sebulan, meningkatkan kebimbangan orang ramai yang sebelum ini kurang serius mematuhi protokol jarak selamat.

Ramai kurang disiplin dalam mematuhi jarak selamat dan masih ada yang tidak memakai pelitup.

Walhal, sudah banyak kali pihak berkuasa mengingatkan bahawa penduduk tidak harus keluar rumah melainkan ada keperluan, demi mengurangkan pergaulan sosial yang menyebabkan penularan varian Delta yang telah menjejas bukan hanya di Indonesia, bahkan di Singapura, Malaysia, Australia dan banyak negara lain.

Berkaitan tindakan selanjutnya, Dr Mustafa berkata pemerintah Jokowi perlu mengambil pendekatan tegas dan tanpa bertolak ansur selain penguatkuasaan yang ketat.

Ini boleh menurunkan jumlah kes melalui gabungan usaha vaksinasi agresif, sekatan pergerakan, jarak selamat dan akses lebih baik bagi penjagaan kesihatan untuk mengurangkan kematian.

"Ekoran proses demokrasi dan pemencaran kuasa pusat, pemerintah Jakarta perlu bekerjasama dengan pemerintah wilayah termasuk di kawasan luar bandar untuk memerangi pandemik Covid-19 secara berkesan.

"Pemerintah juga perlu memperkuat hubungan sosialnya dengan rakyat Indonesia agar dapat sama-sama memerangi Covid-19 secara kolektif," katanya kepada BH.

Beliau menambah, Indonesia juga boleh bekerjasama dengan rakannya di Asean melalui perkongsian dan pengoptimuman sumber serta diplomasi vaksin, memandangkan tidak ada negara di rantau ini yang dapat keluar daripada wabak itu sehingga semua negara dapat mengatasinya.

Sebagai negara terbesar di Asia Tenggara, apa yang berlaku di Indonesia sememangnya boleh menjejas rantau ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg