Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:28
Maghrib
7:19
Isyak
8:28
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Wacana0

BICARA MUFTI

Mufti: Pegang pengajaran dalam surah Al-Isra

Jun 30, 2019 | 05:30 AM

DIKATEGORIKAN sebagai antara surah popular dalam al-Quran, pengajaran yang terkandung dalam surah Al-Isra lazimnya ditujukan kepada perbuatan syirik atau menyekutukan Allah adalah sebesar-besar kezaliman dan dosa besar.

Umat Islam mesti sentiasa yakin dan meletakkan keagungan serta keesaan hanya kepada Allah.

Dalam kuliah tafsirnya, Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram menyambung tafsir Al-Quran dalam surah Al-Isra dari ayat ke-56 hingga ke-60.

Mufti mengambil firman Allah dalam ayat ke-56 surah ini yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): Serukanlah orang-orang yang kamu dakwah (boleh memberi pertolongan) selain daripada Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya."

Berita Popular

Menurut Mufti, dalam ayat ini, Allah menyuruh Nabi Muhammad saw agar berbicara secara tegas kepada orang yang menyembah selain daripada Allah.

Kaum Musyrik mendakwa bahawa apa yang mereka sembah itu mempunyai segala kuasa yang hebat.

Maka, Allah memerintahkan Rasulullah agar memberitahu mereka dan memanggil segala sembahan mereka supaya datang.

Namun, ternyata bahawa sembahan-sembahan mereka itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghilangkan atau memindahkan bahaya dan kemudaratan ke atas mereka.

MANUSIA YANG MENYEKUTUKAN ALLAH

Mufti menjelaskan bahawa Allah memberi peringatan kepada mereka yang tidak beriman dan menyekutukan Allah.

Ada sebahagian manusia yang percaya kepada Allah, namun mereka menyembah makhluk lain yang disangka mulia, malah mereka meletakkan kemuliaan makhluk itu melebihi Allah swt.

Ada sebahagian manusia pula yang menyembah malaikat dan sebahagian lagi yang menyembah dan memuja jin.

Ada pula yang meminta pertolongan daripada orang soleh terdahulu. Ada juga yang tidak menyembah berhala, tetapi mereka menyembah Nabi Isa as sebagai tuhan.

Melalui ayat ke-57, Allah menegaskan bahawa apa yang mereka sembah itu sendiri pun berusaha untuk mencari wasilah kepada Allah.

Namun, manusia-manusia yang keras hati itu jahil untuk mencari tuhan selain Allah, kata Mufti lagi.

KISAH TENTANG JIN

Mufti turut menceritakan dalam sebuah riwayat bahawa Imam Al-Bukhari pernah menceritakan bahawa sebelum kedatangan agama Islam, ada golongan-golongan tertentu yang menyembah dan meminta bantuan daripada jin.

Setelah kedatangan Islam, terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa sebahagian jin beriman kepada Allah.

Berpandukan surah Al-Jinn, terdapat cerita ada satu golongan jin yang mendengar ayat Allah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad, lantas golongan tersebut terus memeluk agama Islam.

Golongan jin tersebut bertaubat dan tidak ingin meneruskan gaya hidup yang sebelum ini.

Namun, masih ada lagi manusia yang memilih untuk kufur kepada Allah, kata Mufti.

Manusia-manusia tersebut terus meminta perlindungan daripada jin-jin walaupun jin-jin tersebut tidak meminta mereka berbuat demikian.

Hakikatnya, mereka percaya bahawa golongan-golongan yang dikatakan mulia ini perlu disembah.

Namun, mereka tidak sedar bahawa golongan yang mereka sembah itu sendiri sedang mencari wasilah dengan berusaha mendekatkan diri kepada Allah.

AZAB ALLAH ITU PASTI

Dalam surah Al-Isra', ayat ke-58, Allah menyatakan:

"Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz)."

Manusia yang melakukan kemungkaran tidak akan terlepas daripada azab Allah.

Sekiranya mereka tidak memperolehi azab tersebut di dunia, Allah pasti membalasnya di akhirat kelak.

ALLAH BERI PILIHAN KEPADA NABI MUHAMMAD SAW

Firman Allah dalam ayat ke-59 pula memberi gambaran tentang kekuasaan dan kebenaran Allah yang boleh dibuktikan kepada manusia, namun ia terhalang.

Dalam satu riwayat, terdapat cerita tentang penduduk Makkah yang pernah meminta Nabi membuktikan kebenaran dengan menjadikan bukit Safa sebagai emas dan menyingkirkan gunung-gunung sehingga mereka dapat bercucuk tanam.

Lalu, Allah memberi pilihan kepada Nabi Muhammad.

Allah boleh menukarkan semua yang mereka inginkan sekarang, namun jika mereka tidak beriman, maka Allah akan hancurkan negeri dan turunkan bala kepada mereka.

Ataupun, Allah menangguhkan permintaan mereka dan biarkan mereka beriman dengan kewarasan akal tanpa melihat mukjizat tersebut.

Nabi memilih menangguhkan permintaan agar mereka dijauhkan daripada segala kebinasaan Allah.

Orang yang ingin dekat dengan Allah, pasti akan mengharapkan kasih sayang Allah supaya Allah tidak memberi azab dan seksaan kepadanya.

"Al-Quran mengandungi ayat-ayat yang mencuit akal kita, mencabar kefahaman kita dan mendorong perjalanan ilmu kita. Oleh itu, ayat-ayat Al-Quran perlu dijadikan pedoman dan panduan sepanjang zaman,'' ujar Mufti.


"Allah menyuruh Nabi Muhammad saw agar berbicara secara tegas kepada orang yang menyembah selain daripada Allah.
Kaum Musyrik mendakwa bahawa apa yang mereka sembah itu mempunyai segala kuasa yang hebat. Maka, Allah memerintahkan Rasulullah agar memberitahu mereka dan memanggil segala sembahan mereka supaya datang. Namun, ternyata bahawa sembahan-sembahan mereka itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghilangkan atau memindahkan bahaya dan kemudaratan ke atas mereka."

- Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map