Bayangkan seorang yang perlu memberikan ucapan dalam bahasa Melayu dan hendak membuka ucapannya dengan serangkap pantun.

Dalam beberapa saat sahaja, kecerdasan buatan (AI) mampu menghasilkan pantun tersusun, yang kelihatan meyakinkan dengan menggunakan bahasa yang nampaknya baik dan lancar.

Namun, jika ditanya mengapakah beliau memilih pembayang dengan maksud yang tersirat mahupun makna kata-kata yang tersurat, serta nilai budaya yang terkandung di dalam pantun itu, mampukah beliau memberikan penjelasan yang meyakinkan?

Persoalan inilah yang semakin penting untuk kita renungkan sebagai pengguna bahasa, terutama sekali dalam kalangan para pendidik bahasa dalam era AI.

Selama ini, sebahagian besar pengalaman pendidikan kita dibina atas keupayaan mencari, menguasai dan menghasilkan jawapan yang betul.

Kita mengajar pelajar menghafal fakta, memahami kandungan, menganalisis hujah dan membuktikan penguasaan mereka menerusi pelbagai bentuk penilaian.

Apabila teknologi kini mampu menghasilkan jawapan dengan begitu pantas, kita perlu kembali bertanya: Adakah tujuan pendidikan sekadar melahirkan manusia yang tahu menjawab, atau manusia yang tahu berfikir?

Apabila jawapan mudah diperoleh

Kehadiran AI membuka pelbagai kemungkinan yang menarik dalam dunia pendidikan.

Guru boleh menggunakan AI untuk merancang pengajaran, menyediakan bahan yang sesuai dengan keperluan pelajar yang berbeza serta mendapatkan cadangan kegiatan pembelajaran.

Pelajar pula boleh menggunakannya untuk meneroka sesuatu topik secara mendalam, mendapatkan penjelasan tambahan dan memperbaiki hasil kerja mereka.

Saya tidak melihat teknologi sebegini sebagai ancaman yang perlu dijauhi. Sebaliknya, kita perlu memikirkan bagaimanakah teknologi ini dapat dimanfaatkan secara bermakna.

Kita harus akui, kemudahan yang ditawarkan AI juga membawa beberapa risiko.

Apabila jawapan tersedia dengan begitu mudah, ramai pengguna AI mungkin semakin kurang terdorong untuk bergelut dengan sesuatu persoalan secara mendalam, mempertimbangkan pelbagai kemungkinan atau menilai kelemahan hujah-hujah mereka sendiri.

Sayangnya, proses bergelut dengan sesuatu persoalan itulah yang sering menjadi sebahagian penting daripada pembelajaran.

Proses bergelut itulah yang menajamkan minda seseorang untuk benar-benar berfikir secara kritis dan kreatif.

Baru-baru ini, saya berkesempatan bertemu dengan Profesor Mutlu Cukurova dari University College London, yang kini berada di Institut Pendidikan Nasional (NIE) sebagai Profesor Pelawat C J Koh dalam bidang Pendidikan yang ke-18.

Penyelidikan beliau tentang hubungan antara manusia dengan AI mengajak kita memikirkan satu persoalan penting – dalam usaha memanfaatkan teknologi untuk memudahkan pembelajaran, adakah kita tanpa sedar sedang menghakis keupayaan manusia untuk berfikir dan belajar secara berdikari?

Ketika saya dan para pelajar membawa Profesor Cukurova berjalan-jalan keliling Kampong Gelam, kami berbincang tentang bagaimana tidak semua aspek pembelajaran manusia boleh difahami atau diramalkan sepenuhnya oleh teknologi.

Sebagai contoh, pengalaman pembelajaran tentang budaya dan warisan, hanya dapat diperolehi melalui penglibatan dan pengalaman manusia itu sendiri.

Perbincangan bersama Profesor Cukurova menarik perhatian saya kerana kebelakangan ini, saya perhatikan, kita semakin terbiasa mengaitkan kecekapan teknologi dengan kepantasan menghasilkan sesuatu.

Namun, persoalannya, adakah segala-galanya perlu dipercepatkan?

Tidak semua pembelajaran mahupun penghasilan ilmu berlaku apabila seseorang akhirnya menemui jawapan yang betul ataupun berjaya menghasilkan bernaskhah-naskhah karya penulisan.

Ada kalanya pembelajaran yang paling bermakna berlaku apabila seseorang menyedari bahawa jawapan awalnya kurang tepat dan terdapat perspektif lain yang belum dipertimbangkan.

Begitu juga dengan penulisan dan penghasilan karya.

Profesor Cukurova mengingatkan tentang risiko apabila manusia terlalu banyak menyerahkan tugasan berfikir kepada AI sehingga keupayaan penting mereka berfikir sendiri boleh terhakis.

Ada kalanya proses penulisan yang jauh lebih rumit dan memakan masa, dan tidak dipermudahkan melalui penggunaan AI yang melampau, menghasilkan karya yang jauh lebih baik dan bermutu tinggi.

Yang jelas, kepantasan memperoleh jawapan dan menghasilkan ilmu tidak semestinya mencerminkan kedalaman pemahaman.

Apakah sebenarnya yang kita nilai?

Dalam bidang pendidikan, khususnya penilaian, saya sering kembali kepada persoalan tentang hubungan antara perkara yang kita nilai dengan perkara yang benar-benar bernilai dalam pembelajaran.

Kita mungkin dapat menilai keupayaan pelajar menghasilkan karangan yang baik.

Namun, adakah karangan tersebut membuktikan bahawa pelajar telah melalui proses berfikir, mempertimbangkan hujah dan membina pendiriannya sendiri?

Kita juga mungkin dapat menilai ketepatan sesuatu jawapan. Namun, adakah kita turut memberikan perhatian kepada cara pelajar sampai kepada jawapan tersebut?

Persoalan ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam pendidikan. Namun, kehadiran AI menjadikannya soalan yang semakin mendesak.

Dalam pendekatan Penilaian untuk Pembelajaran, penilaian tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai alat untuk menentukan pencapaian akhir pelajar.

Penilaian juga perlu membantu pelajar memahami kedudukan pembelajaran mereka, mengenal pasti jurang pemahaman dan menentukan langkah seterusnya untuk maju.

Dalam konteks ini, maklum balas memainkan peranan yang sangat penting.

AI mungkin mampu memberikan maklum balas terhadap sesuatu karangan dalam beberapa saat.

Namun, nilai maklum balas tersebut ke atas diri pelajar, tidak terletak semata-mata pada kepantasan maklum balas yang diberikan.

Adakah pelajar memahami cadangan yang diberikan AI? Adakah mereka tahu mengapakah sesuatu perubahan perlu dilakukan?

Menariknya, Profesor Cukurova turut melihat potensi AI untuk membantu guru dan pelajar memahami proses pembelajaran dengan lebih jelas, termasuk melalui maklum balas yang menjadikan pengalaman pembelajaran lebih mudah diperhatikan dan direnungkan.

Ini merupakan satu perbezaan penting.

AI tidak semestinya digunakan untuk memberitahu pelajar apakah yang perlu dilakukan seterusnya.

Sebaliknya, AI boleh membantu pelajar mengenal pasti perkara yang perlu mereka fikirkan sendiri.

Dengan kata lain, maklum balas tidak menjadi bermakna semata-mata kerana ia telah diberikan oleh AI mahupun guru.

Maklum balas menjadi bermakna apabila pelajar memahami, menilai dan menggunakannya untuk memperbaiki pembelajaran.

Peranan guru kian penting, bukan semakin kecil

Ada kebimbangan bahawa apabila AI semakin canggih, peranan guru akan semakin berkurangan.

Saya melihat daripada sudut yang berbeza.

Apabila teknologi mampu menyediakan maklumat dan menghasilkan jawapan, tanggungjawab pendidik untuk membimbing proses pemikiran menjadi semakin penting.

Guru tidak lagi boleh berpuas hati apabila pelajar sekadar memberikan jawapan yang betul.

Kita perlu bertanya soalan susulan yang lebih bermakna.

Mengapakah kamu berpendapat demikian?

Apakah bukti yang menyokong pandangan kamu?

Bagaimanakah kamu tahu bahawa maklumat ini boleh dipercayai?

Adakah kamu bersetuju dengan jawapan yang dihasilkan oleh AI?

Soalan-soalan sebegini mungkin kelihatan mudah, tetapi sebenarnya menuntut pelajar untuk menjelaskan pemikiran, mempertahankan pendirian dan mengakui kemungkinan kelemahan dalam hujah mereka.

Dalam pengajaran Bahasa Melayu, misalnya, AI boleh membantu pelajar memahami makna sesuatu peribahasa atau pantun.

Namun, guru masih mempunyai peranan penting untuk membawa perbincangan itu lebih jauh.

Bagaimanakah pembayang dalam pantun ini berkait dengan pengalaman hidup kita sebagai masyarakat Melayu Singapura?

Apakah nilai dalam peribahasa ini yang masih relevan dalam kehidupan masyarakat sekarang?

Di sinilah pembelajaran bahasa melangkaui penguasaan kosa kata dan hukum-hukum tatabahasa.

Bahasa menjadi wahana untuk memahami budaya, masyarakat, identiti dan cara manusia memberikan makna kepada pengalaman mereka.

AI boleh membantu membuka ruang penerokaan tersebut, tetapi tidak seharusnya menggantikan proses pertimbangan dan perbincangan yang membina pemahaman.

Guru juga perlu berani menilai semula cara mengajar

Jika kita benar-benar mahu melahirkan generasi yang mampu berfikir, perubahan tidak boleh berlaku pada pihak pelajar sahaja.

Sebagai pendidik, kita juga perlu berani meneliti semula cara kita merancang pengajaran dan penilaian.

Antara perkara penting yang diketengahkan oleh Profesor Cukurova ialah perlunya pelajar membina keupayaan untuk mengenal pasti apabila AI memberikan jawapan yang salah, serta membuat pertimbangan tentang jenis tugasan yang wajar dibantu oleh AI dan tugasan yang seharusnya dilaksanakannya sendiri.

Pandangan ini mengingatkan kita bahawa celik AI bukan sekadar bermaksud tahu menggunakan teknologi tersebut dengan cekap.

Yang lebih penting ialah kebolehan untuk menilai, mempersoal dan, apabila perlu, menolak jawapan yang diberikan AI.

Jika kita menyerahkan terlalu banyak proses berfikir kepada AI, apakah sebenarnya yang masih dipelajari oleh pelajar kita?

Persoalan yang mungkin perit dihadapi oleh guru adalah sama ada kehadiran AI sebenarnya mendedahkan kelemahan yang telah lama wujud dalam budaya pendidikan kita.

Jika selama ini kita terlalu menekankan hasil akhir berbanding proses pembelajaran, mendesak kepantasan hasil kerja pelajar dan meraikan kuantiti tugasan berbanding kualitinya, maka AI telah mendedahkan betapa mudahnya ukuran kejayaan yang kita gunakan selama ini dipenuhi, tanpa semestinya mencerminkan pembelajaran yang sebenar.

Dalam hal ini, AI bukan semata-mata cabaran baharu.

Ia juga menjadi cermin yang memaksa kita menilai semula amalan pendidikan yang selama ini dianggap biasa.

Justeru, persoalannya bukan sekadar bagaimana kita mahu menggunakan AI dengan lebih cekap, tetapi bagaimana kita memastikan penggunaannya terus memperkukuh keupayaan manusia untuk belajar dan berfikir.

Mendidik untuk masa depan

Kita tidak dapat meramalkan sepenuhnya bagaimana AI akan mengubah dunia pekerjaan, kehidupan bermasyarakat dan cara manusia berinteraksi pada masa hadapan.

Namun, kita boleh memikirkan jenis manusia yang ingin kita lahirkan menerusi pendidikan.

Kita memerlukan generasi yang bukan sahaja cekap menggunakan teknologi, bahkan juga mempunyai pertimbangan matang, keupayaan menilai maklumat secara kritis, kepekaan terhadap orang lain dan keberanian untuk membuat keputusan secara bertanggungjawab.

Keupayaan ini tidak terbina hanya dengan memberikan lebih banyak maklumat atau memperkenalkan lebih banyak aplikasi teknologi dalam bilik darjah.

Ia juga tidak dapat dicerminkan melalui pembentangan dan perkongsian ilmu yang sepenuhnya dijana oleh AI tanpa sebarang idea asli daripada manusia itu sendiri.

Keupayaan berfikir perlu terus dipupuk melalui pengalaman pembelajaran yang memberi ruang kepada pelajar untuk bertanya, berhujah, mendengar pandangan orang lain, membuat pertimbangan dan merenung kembali keputusan mereka sendiri.

Akhirnya, persoalan yang perlu kita fikirkan bukanlah sama ada AI boleh menghasilkan jawapan yang lebih baik daripada manusia.

Sebaliknya, persoalan yang lebih penting ialah sama ada pendidikan kita masih menyediakan ruang untuk manusia membina keupayaan berfikir secara bebas, kritis dan beretika.

Dalam dunia yang semakin dipenuhi jawapan, mungkin tanggungjawab terbesar pendidikan bukan lagi sekadar mengajar pelajar mencari jawapan.

Yang lebih penting adalah bagaimana kita mendidik diri kita dan pelajar kita untuk mengetahui soalan apakah yang patut ditanya, mengapa soalan itu penting, dan bagaimanakah membuat pertimbangan apabila jawapannya tidak semudah yang disangka.

Pandang-pandang kanan dan kiri,
Melintas jalan berkira-kira;
Kurang ringgit boleh dicari,
Kurang akal habis bicara.

Penulis Penolong Ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia (Bahasa Melayu) Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Risiko dalam kemudahan

“

Kita harus akui, kemudahan yang ditawarkan AI (kecerdasan buatan) juga membawa beberapa risiko. Apabila jawapan tersedia dengan begitu mudah, ramai pengguna AI mungkin semakin kurang terdorong untuk bergelut dengan sesuatu persoalan secara mendalam, mempertimbangkan pelbagai kemungkinan atau menilai kelemahan hujah-hujah mereka sendiri. Sayangnya, proses bergelut dengan sesuatu persoalan itulah yang sering menjadi sebahagian penting daripada pembelajaran. Proses bergelut itulah yang menajamkan minda seseorang untuk benar-benar berfikir secara kritis dan kreatif.
Peranan guru dalam pembelajaran

“

Dalam pengajaran Bahasa Melayu, misalnya, AI (kecerdasan buatan) boleh membantu pelajar memahami makna sesuatu peribahasa atau pantun. Namun, guru masih mempunyai peranan penting untuk membawa perbincangan itu lebih jauh. Bagaimanakah pembayang dalam pantun ini berkait dengan pengalaman hidup kita sebagai masyarakat Melayu Singapura? Apakah nilai dalam peribahasa ini yang masih relevan dalam kehidupan masyarakat sekarang? Di sinilah pembelajaran bahasa melangkaui penguasaan kosa kata dan hukum-hukum tatabahasa. Bahasa menjadi wahana untuk memahami budaya, masyarakat, identiti dan cara manusia memberikan makna kepada pengalaman mereka.
Penulis.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti