Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Pepatah ini selalu buat saya terfikir – adakah kata-kata ini terlalu berat?
Bila sebenarnya sesuatu itu jadi alasan, dan bila ia dianggap sebagai sebab yang boleh diterima?
Pepatah ini tidak boleh dilihat sebagai alasan untuk menyifatkan seseorang itu malas.
Dahulu, mungkin kerja keras sehingga keperluan diri diabaikan dilihat sebagai sesuatu yang mulia.
Apa jua sebab yang diberi untuk berehat sedikit dilihat sebagai alasan.
Sekarang, ramai bukan sekadar mengejar kejayaan, tetapi mencari keseimbangan hidup dengan mereka dapat menjaga kesihatan mental dan fizikal mereka, meluangkan masa bersama orang tersayang atau melakukan perkara yang lebih bermakna bagi mereka.
Ramai bukan tidak ada daya, cuma tidak mahu gunakan daya mereka untuk benda yang tidak memberi makna.
Saya juga sedar bahawa kadang-kadang, dalih yang kita cipta bukan sebab kita tidak mampu, tetapi sebab kita tidak jelas – tidak jelas apa sebenarnya yang kita mahu; tidak jelas kenapa kita inginkan perkara itu.
Dan apabila tiada sebab yang kuat, kita mula cipta alasan demi menenangkan diri.
Saya sendiri pernah (dan masih) mengalaminya.
Banyak benda saya mahu lakukan – mula bersenam, capai keputusan cemerlang, mula ‘side hustle’, jadi wartawan hebat dan macam-macam lagi.
Semua “mahu”, tapi entah ke mana hilangnya daya.
Yang muncul?
Seribu dalih dan makin hari, makin kreatif pula dalih-dalih tu.
Saya akui bahawa sebab yang diberikan kadangkala memang alasan.
Sebab dalam hati, kita belum benar-benar tahu kenapa kita mahukan sesuatu tu.
Apabila fikir balik, ada rasa terkilan juga.
Nak kata penat, semua orang penat.
Tetapi ramai yang berjaya walaupun penat.
Saya?
Rasa macam masih statik, sekadar hentak kaki tanpa gerak.
Mulalah tanya diri: “Aku ni malas ke? Tidak ada bakat ke?”
Tetapi apabila sudah lama merenung dan berfikir, saya mula belajar untuk tidak terlalu ‘harsh’ pada diri sendiri.
Kadang-kadang perkara ini bukan bukti seorang itu pemalas, tetapi bukti mereka belum temui satu perkara penting – matlamat di sebalik kehendak tersebut.
Sebab “hendak” dalam pepatah tu bukan sekadar kemahuan semata-mata.
Perlu cari niat yang jelas, mengapa kita inginkan perkara tersebut.
Dan apabila kita tahu sebab itu, kita tidak cari alasan untuk berhenti.
Kita cari jalan untuk teruskan.
Alhamdulillah, saya rasa sekarang saya sudah jelas dengan matlamat dan niat saya.
Sebenarnya kita tidak perlukan “seribu daya”.
Kita cuma perlukan satu sebab yang cukup kuat.
Cukup satu – yang datang dari hati.
Yang tidak goyah walau diuji.
Yang buat kita tidak sanggup berhenti.
Dan apabila kita jumpa matlamat itu, dalih tentunya masih ada tetapi ia tidak lagi menghalang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg