Topik diikuti
Pergi ke BHkuApabila kritikan bertukar menjadi perkauman
Kritikan terhadap dasar pemerintah dan isu warga asing adalah wajar, tapi garis merah dilanggar apabila ia bercampur dengan xenofobia, stereotaip dan penghinaan terhadap sesuatu kaum
Singapura dikenali di mata dunia sebagai negara berbilang kaum dan agama yang hidup dengan damai dan harmoni. Kita akur perkara itu.
Namun, ini tidak bermakna isu perkauman tidak wujud.
Para pemimpin politik dan masyarakat sering mengingatkan bahawa keharmonian kaum dan agama adalah tugas berlanjutan yang memerlukan tanggungjawab bersama.
Satu perkara yang masih menghantui masyarakat Singapura ialah isu perkauman, walaupun tidak separah yang dialami di negara-negara lain.
Kewujudan perkauman adalah contoh bahawa masyarakat Singapura belum dapat mengatasi masalah sikap negatif sesetengah pihak ke atas kaum lain secara tuntas.
Perkauman ini hadir di dalam kehidupan sehari-harian melalui stereotaip negatif yang kadangkala dilontarkan terhadap sesuatu kaum.
Contohnya ialah panggilan ‘Melayu malas’, ‘Cina pengotor’ dan ‘India berbau’.
Stereotaip sebegini mungkin dianggap sebagai perkara kecil yang biasa.
Alasan bahawa ia telah wujud semenjak dahulu tidak harus dijadikan alasan untuk terus membentuk pemikiran kita terhadap sesuatu kaum.
Hakikatnya, stereotaip negatif merupakan penghinaan terhadap sesuatu kaum.
Kesan daripada stereotaip negatif
Ada beberapa kesan daripadanya.
Pertama, sesuatu kaum akan memandang rendah kaum yang mempunyai stereotaip negatif. Ini dapat menjejas hubungan baik, sihat dan saksama antara kaum. Interaksi antara kaum akan sering terbahagi kepada “kita” yang berciri baik dan “mereka” yang berciri buruk.
Kedua, stereotaip ini menjejas keyakinan diri mereka yang direndah-rendahkan atas dasar kaum. Mungkin juga akan timbul perasaan tidak senang ataupun marah terhadap kaum yang merendah-rendahkan mereka.
Ketiga, kesannya terasa ketika stereotaip kaum menjadi penilaian di dalam pelantikan jawatan, peluang pekerjaan mahupun pergaulan sehari-harian, walaupun tidak dinyatakan secara terang-terangan.
Dalam erti kata lain, stereotaip berpotensi menjadi asas sikap prejudis secara sedar yang berbahaya. Kesudahannya ialah diskriminasi kaum yang menjadi punca konflik yang berbahaya.
Perkauman sebegini tidak mengenal sama ada kaum tersebut adalah majoriti mahupun minoriti.
Selagi wujud penyahmanusiaan atau dehumanisation sesuatu kaum secara umum, ia adalah bentuk perkauman yang wajar ditegur dan disudutkan.
Perkauman bercampur xenofobia
Walaupun perkauman bukanlah perkara baru, terdapat kekhuatiran mutakhir yang semakin ketara: perkauman yang bercampuraduk dengan xenofobia.
Xenofobia boleh ditakrifkan sebagai ketakutan, ketidaksukaan, atau kebencian yang mendalam terhadap orang dari negara atau budaya lain.
Kadangkala, xenofobia muncul dengan pandangan rasis.
Oleh kerana Singapura merupakan masyarakat berbilang kaum, ungkapan rasis yang dilontarkan terhadap warga asing juga akan menjejas kaum yang ada di Singapura.
Sewaktu pandemik Covid-19, ungkapan rasis terhadap pekerja asing dan bangsa lain turut menjejas kaum yang ada di Singapura.
Contohnya, seorang ustaz pernah ditegur oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Encik Shanmugam kerana mengatakan orang Cina tidak membersihkan diri dengan betul setelah membuang air besar dan ini mungkin menyebabkan virus corona menular.
Walaupun sasaran ustaz tersebut ialah bangsa Cina dari negara Cina, ianya menggunakan kiasan kaum (racial trope) yang sama digunakan terhadap kaum Cina di Singapura.
Satu lagi contoh ialah kejadian baru-baru ini yang melibatkan kata-kata hina yang dilontarkan kepada kaum India setelah kejadian banjir glasier di sempadan Nepal dan Tibet.
Antara mangsa yang belum ditemukan ialah warga Singapura berbangsa India.
Sesetengah hantaran di media sosial mempersoalkan kewarganegaraan mereka. Sentimen xenofobik kemudiannya di gabungkan dengan rasisme terhadap kaum India.
Perkara ini sangat tidak berperikemanusiaan kerana sentimen rasis dan xenofobik dimainkan sewaktu terjadi bencana dan kesedihan.
Ini mendorong beberapa ahli politik dan tokoh masyarakat untuk tampil dan mengutuk kelakuan sebegini.
Selain siasatan polis terhadap mereka yang membuat hantaran tersebut, Kementerian Pembangunan Digital dan Maklumat (MDDI) juga telah meminta platform media sosial untuk memadamkan hantaran yang melanggar garis panduan.
Berselindung di sebalik kritikan
Satu lagi perkara yang membimbangkan dari episod terbaru ini ialah perkauman yang berselindung di sebalik kritikan terhadap dasar pengambilan warga asing untuk bekerja dan menjadi warganegara Singapura.
Tidak dinafikan, ada kegelisahan dan juga kemarahan terhadap dasar-dasar negara berkaitan penduduk, ekonomi dan pekerjaan. Namun, perkara ini tidak wajar dikaitkan dengan isu kaum.
Seperti yang diperhatikan, cercaan terhadap golongan berbangsa India sering berselindung atas nama kritikan terhadap perjanjian perdagangan bebas antara Singapura dan India, atau CECA.
Sebagai warganegara Singapura, kita berhak memberikan kritikan terhadap dasar-dasar pemerintah secara sah.
Namun, tidak wajar mencampuradukkannya dengan sikap xenofobik mahupun penghinaan kaum dan bangsa.
Disinilah garis merah yang harus diwaspadai.
Pada masa yang sama, kita harus berhati-hati untuk tidak termakan oleh sentimen perkauman yang dilakukan dengan cara halus.
Ini dikenali sebagai ‘dogwhistle’, atau taktik menggunakan frasa atau kata berkod seperti “CECA” untuk menimbulkan sentimen anti-bangsa India.
Taktik ini kadangkala digunakan untuk anasir-anasir yang berkepentingan politik mahupun ekonomi untuk merosakkan hubungan baik antara kaum dan penduduk.
Ia juga menjadi senjata geopolitik untuk menimbulkan kebencian terhadap sesuatu negara atau bangsa.
Cara mengesan perkauman
Oleh kerana isu perkauman menjadi semakin rumit pada masakini, masyarakat perlu diberikan kesedaran tentang bagaimana mengenalpasti rasisme.
Secara umum, ada dua ciri yang harus kita jauhi.
Pertama ialah kata-kata yang merendahkan-rendahkan sesuatu kaum. Faktanya, setiap kaum mempunyai ciri yang beragam dan tidak statik.
Contohnya, sifat malas bukanlah ciri sesuatu kaum mahupun bangsa; semua kaum dan bangsa mempunyai individu sifat manusia yang malas dan rajin.
Pada Zaman Meiji di abad ke-19, bangsa Jepun dianggap sebagai bangsa yang pemalas oleh orang-orang Eropah. Persepsi ini berubah setelah 1912 dan Jepun memasuki era modernisasi.
Kedua, apa jua pertuturan, tindakan atau wacana yang membuat kita ragu, menjauhi atau membenci sesuatu kaum harus diwaspadai.
Kemungkinan besar, ini dilakukan untuk mewujudkan pemisahan antara kaum sehingga timbul syak wasangka dan sikap curiga. Ini menjadi penghadang untuk kita saling kenal-mengenali, bekerjasama dan hidup bersama dengan harmoni di dalam satu masyarakat.
Genosida yang terjadi di Rwanda pada tahun 1994 boleh kita jadikan iktibar.
Suku Hutu dan Tutsi pernah hidup berdamai dengan budaya, bahasa dan agama yang sama. Ini berubah setelah pemerintahan kolonial Belgium memisahkan identiti dan sumber ekonomi mereka.
Akhirnya, wujud sikap curiga antara satu sama lain sehingga dieksploitasi oleh ahli politik dan golongan tentera garis keras yang menyebar kebencian. Ini berhujung dengan keganasan antara kedua-dua suku.
Tanggungjawab menegur
Singapura bernasib baik kerana tragedi rusuhan kaum pada tahun 1964 tidak berulang.
Namun, ini tidak terjadi secara tersendiri.
Kita harus belajar dari masa lalu dan mempertahankan keharmonian antara kaum dan agama sebagai dasar penting di dalam pentadbiran.
Ini memerlukan tanggungjawab bersama untuk menegur kata-kata dan perbuatan yang bersifat rasis.
Semoga kita dapat sama-sama mendidik lingkungan kita untuk tidak menghina atau merendah-rendahkan kaum dan bangsa lain, apatah lagi di kalangan warganegara sendiri.
Sentimen rasis dan xenofobik yang muncul di talian sewaktu tragedi banjir glasier dua minggu lalu tidak harus dibiarkan berulang.
Penulis adalah pengasas dan pengarah Dialogue Centre Limited.
