Kebertanggungjawaban, keselamatan dan ketelusan seharusnya menjadi antara persoalan teras yang diberikan perhatian oleh golongan pemikir dan cendekiawan hari ini.

Apatah lagi ketika pengaruh dan kuasa syarikat teknologi kian mencengkam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.

Dalam keghairahan dunia mengejar kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), sejauh manakah kita turut mempersoalkan siapakah yang menguasai teknologi tersebut, bagaimana kuasa itu digunakan, dan siapakah yang harus dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku penyalahgunaan?

Persoalan ini tidak seharusnya diserahkan kepada pakar teknologi semata-mata.

Golongan cendekiawan yang terdiri daripada pelbagai kelompok, termasuk penggiat seni, wartawan, penulis, pendidik dan pemimpin masyarakat, perlu mengambil berat dan mengetuai perbincangan serius tentang teknologi baharu serta kesannya terhadap masyarakat.

Mereka tidak harus sekadar mengikut trend AI secara melulu, tanpa turut mempersoalkan implikasinya terhadap masyarakat dan bagaimana kuasa boleh disalahgunakan.

Dalam hal ini, pemikiran Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas, tentang rasuah, kuasa dan tanggungjawab golongan cendekiawan masih mempunyai kerelevanan yang besar.

Apabila salah guna kuasa jadi budaya

Antara persoalan penting yang dibangkitkan dalam Ceramah Memperingati Profesor Syed Hussen Alatas, di Lembaga Perpustakaan Negara pada 10 Oktober ialah mengapakah gejala rasuah dan salah laku masih berlaku dalam beberapa institusi negara di Malaysia, meskipun pemerintahnya telah bertukar tangan.

Persoalan itu cuba dirungkaikan oleh Profesor Edmund Terence Gomez, profesor ekonomi politik di Universiti Malaya, dalam sesi ketujuh siri ceramah tersebut.

Menurut Profesor Gomez, gejala rasuah boleh menjadi begitu berleluasa sehingga sebati dengan sistem politik, perniagaan dan institusi negara.

Hubungan antara golongan usahawan, ahli politik yang memberikan akses kepada sumber dan dasar negara, serta institusi formal, saling menopang antara satu sama lain sehingga membolehkan rasuah terus berlaku.

Beliau menamakan gejala ini sebagai ‘rasuah reproduktif’ (reproductive corruption), iaitu satu kitaran yang sukar diputuskan.

Akibatnya, amalan rasuah bukan sahaja mampu bertahan, malah boleh menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja yang memerintah, tidak kira berapa kali pelakunya berubah.

Gagasan ini dibina berasaskan kesarjanaan Profesor Alatas, yang melihat rasuah bukan sekadar kesalahan individu, malah, masalah sistemik yang boleh berleluasa dan membudaya dalam masyarakat.

Profesor Alatas turut menolak pandangan bahawa rasuah merupakan satu keperluan untuk membangunkan negara, seolah-olah ia menjadi ‘pelincir’ yang mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan.

Pandangan sedemikian bukan sahaja mengabsahkan rasuah, bahkan berisiko menjadikannya sesuatu yang diterima sebagai kebiasaan dalam masyarakat.

Sedangkan, rasuah melemahkan sistem kebertanggungjawaban dan politik, selain boleh memperlahankan pembangunan ekonomi.

Profesor Gomez turut mengutarakan konsep ‘rasuah pendukung’ (supportive corruption), apabila dasar ekonomi yang pada zahirnya bertujuan membela golongan miskin atau kurang berkemampuan sebenarnya membuka ruang kepada amalan rasuah.

Dasar sebegini boleh menjadi perisai moral bagi pemimpin masyarakat untuk mempertahankannya, sekali gus mengelak daripada dipertanggungjawabkan terhadap kesan dasar tersebut dan bagaimana ia membolehkan pihak tertentu menyalahgunakan sumber negara.

Walaupun perbincangan ini tertumpu kepada rasuah dalam sistem politik dan ekonomi, ia turut mengingatkan kita tentang pentingnya meneliti bagaimana kuasa beroperasi dalam pelbagai institusi, termasuk ketika pengaruh syarikat teknologi semakin berkembang.

Persoalan tentang kebertanggungjawaban tidak boleh diketepikan hanya kerana sesuatu dasar, sistem atau teknologi diperkenalkan atas nama kemajuan dan pembangunan.

Cendekiawan yang peduli dan berfungsi

Menariknya, titik permulaan Profesor Gomez mendalami kajian tentang gejala rasuah mempunyai kaitan rapat dengan Profesor Alatas, yang ketika itu merupakan Naib Canselor Universiti Malaya.

Profesor Alatas menasihatkan beliau supaya menyambung pengajiannya di Malaysia, dan bukannya di luar negara.

Alasannya, tiada ahli akademik di luar negara yang benar-benar arif tentang hubungan antara bidang perniagaan dengan politik di Malaysia.

Nasihat ini selaras dengan gagasan ‘minda tertawan’ (captive mind) yang dipelopori Profesor Alatas.

Konsep tersebut merujuk kepada kebergantungan terhadap pemikiran daripada sumber luar, khususnya kecenderungan menjadikan perspektif Eropah atau eurosentrisme sebagai kayu ukur untuk memahami dan menilai dunia.

Kepedulian akademik Profesor Alatas terhadap persoalan pembangunan dan rasuah telah membantu melahirkan pemikir seperti Profesor Gomez, yang turut berusaha memahami punca masalah masyarakat serta cara menanganinya.

Persoalannya, dalam dunia yang semakin canggih dan kononnya semakin maju, adakah kepedulian sedemikian masih diberikan penekanan yang sewajarnya?

Adakah golongan akademia dan pemimpin masyarakat hari ini terlalu ghairah menggalakkan generasi muda mendalami bidang teknologi dan AI, sehingga bidang ilmu lain seperti falsafah, sejarah dan pengajian pembangunan (development studies) semakin kurang diberi perhatian?

Sedangkan, bidang-bidang tersebut penting untuk membentuk keupayaan berfikir secara kritis, memahami struktur kuasa dan mempersoalkan kesan sesuatu kemajuan terhadap masyarakat.

Keupayaan sedemikian menjadi semakin mustahak dalam era AI, apabila teknologi bukan sahaja menawarkan pelbagai manfaat, malah menimbulkan persoalan tentang keselamatan, ketelusan dan kebertanggungjawaban pihak yang membangunkan serta menguasainya.

Kemajuan teknologi tidak seharusnya diukur berdasarkan kecanggihannya semata-mata, tetapi juga sejauh manakah ia memberikan manfaat kepada masyarakat tanpa mengabaikan kepentingan dan keselamatan orang ramai.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu terus memahami pelbagai bentuk salah guna kuasa yang wujud di sekeliling mereka, serta bagaimana gejala tersebut dapat ditangani.

Di sinilah pentingnya peranan cendekiawan yang bukan sahaja menguasai ilmu, bahkan mempunyai keberanian untuk menyoal, menegur dan mencabar sesuatu yang dianggap lumrah.

Seperti yang dipesan Profesor Gomez pada penghujung syarahannya, golongan cendekiawan harus memikirkan semula gejala rasuah dan pelbagai wajahnya dalam masyarakat.

Mereka perlu mempersoalkan bagaimana gejala itu boleh wujud dan terus bertahan, di samping berani mengutarakan pandangan serta membetulkan perkara yang salah.

Pesanan ini sama pentingnya dalam menghadapi perkembangan teknologi hari ini.

Golongan pemikir tidak boleh membiarkan diri mereka ‘tertawan’ oleh keghairahan terhadap kemajuan teknologi, sebagaimana mereka juga tidak seharusnya ‘tertawan’ oleh ketakutan untuk mempersoalkan kuasa.

Kerana akhirnya, kemajuan sebenar bukan sekadar bergantung pada sejauh manakah teknologi berkembang, bahkan juga pada keberanian masyarakat memastikan kuasa, dalam apa jua bentuk, terus tertakluk kepada prinsip kebertanggungjawaban, keselamatan dan ketelusan.

Nur Hikmah Md Ali ialah seorang penulis. Artikel ini dihasilkan untuk Berita Harian.