Isu gaji menteri di Singapura barangkali antara perbahasan yang tidak akan pernah mempunyai jawapan yang dapat memuaskan semua pihak.

Mereka yang menerima hujah bahawa Singapura perlu menawarkan gaji yang berdaya saing untuk menarik dan mengekalkan individu berkaliber dalam kepimpinan politik mungkin melihat kenaikan terkini sebagai sesuatu yang munasabah.

Sebaliknya, mereka yang berpegang bahawa khidmat politik merupakan satu panggilan dan tidak seharusnya dikaitkan terlalu rapat dengan pendapatan sektor swasta, mungkin tidak akan diyakinkan walau sebaik mana formula itu diterangkan.

Ini bukan semestinya bermakna satu pihak betul dan satu lagi salah.

Ia mencerminkan perbezaan asas tentang bagaimana kita menilai khidmat awam, pengorbanan, bakat dan harga yang wajar dibayar untuk kepimpinan politik.

Pemerintah sendiri mengakui sensitiviti ini.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyifatkan gaji politik sebagai isu yang sukar dan beremosi, apatah lagi jumlah yang dibincangkan jauh melebihi pendapatan kebanyakan rakyat.

Pada masa sama, pemerintah berhujah bahawa struktur gaji perlu kekal kompetitif untuk membolehkan Singapura terus mendapatkan pemimpin yang berkaliber.

Perdebatan ini boleh diteruskan tanpa penghujung.

Namun, mungkin ada satu perkara yang lebih produktif untuk dibincangkan selepas keputusan mengenai gaji ini dibuat – apakah yang harus rakyat harapkan sebagai balasannya?

Rekod Singapura bukan sekadar retorik

Sukar menafikan rekod pentadbiran Singapura.

Dalam Ranking Daya Saing Dunia terbitan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland, Singapura menduduki tempat pertama daripada 70 ekonomi secara keseluruhan.

Ia juga berada di tempat ketiga bagi kecekapan pemerintah dan prestasi ekonomi, serta pertama bagi kecekapan perniagaan.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025 pula oleh pertubuhan Transparency International, Singapura menduduki tempat ketiga daripada 182 negara dan wilayah, dengan skor 84 daripada 100.

Data Bank Dunia juga terus meletakkan Singapura dalam kelompok teratas dalam bidang seperti keberkesanan pemerintah dan kawalan rasuah.

Lebih penting daripada kedudukan antarabangsa ialah perubahan yang dapat dilihat dalam kehidupan rakyat sepanjang beberapa generasi – daripada perumahan dan pendidikan kepada pekerjaan, pendapatan, keselamatan dan prasarana.

Dalam erti kata lain, hujah tentang mutu pentadbiran Singapura mempunyai rekod prestasi yang boleh dinilai.

Tetapi kejayaan masa lalu bukan jaminan kejayaan masa depan.

Dunia yang sedang kita masuki jauh lebih tidak menentu.

Persaingan kuasa besar, perang perdagangan, kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan dan perubahan demografi sedang mencabar andaian lama tentang pertumbuhan dan kemakmuran.

‘Ketidakpastian’ mungkin perkataan yang paling tepat menggambarkan peraturan dunia baru ini.

Justeru, selepas isu gaji menteri akhirnya menemui semacam kesimpulan, perhatian harus beralih daripada berapa banyak menteri dibayar, kepada apakah yang mereka perlu hasilkan.

Bonus Nasional harus menjadi tumpuan

Di sinilah Bonus Nasional menjadi lebih penting.

Sekitar 35 peratus pakej tahunan Menteri gred MR4 komponen yang berubah-ubah, dan Bonus Nasional boleh berkisar antara sifar dengan enam bulan.

Ia dikaitkan dengan empat petunjuk – pengangguran, pertumbuhan pendapatan sebenar warga Singapura pada persentil ke-50 (P50); pertumbuhan pendapatan sebenar pada persentil ke-20 (P20); serta pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

Pemerintah kini mengetatkan sasaran bagi tiga ukuran sosioekonomi tersebut.

Sasaran pertumbuhan pendapatan sebenar P20, misalnya, dinaikkan daripada 2 hingga bawah 3 peratus kepada 3 hingga bawah 4 peratus.

Bagi P50, sasaran dinaikkan kepada 2.5 hingga bawah 3.5 peratus.

Ini penting. Kerana jika gaji menteri dikaitkan dengan kemampuan mendapatkan bakat terbaik, kebertanggungjawaban mereka juga harus dikaitkan secara jelas dengan hasil yang dirasakan rakyat.

Bukan sekadar berapa pantas ekonomi berkembang, malah sama ada rakyat mendapat pekerjaan – sama ada pendapatan pekerja biasa meningkat; dan lebih penting, sama ada mereka yang berada di bahagian bawah tangga pendapatan turut maju.

Malah, mungkin inilah bahagian paling bermakna dalam keseluruhan semakan gaji ini.

Daripada pertumbuhan kepada mutu kehidupan

Satu lagi perkembangan harus diperhatikan.

Pemerintah telah bersetuju untuk meneroka penyertaan ukuran Mutu Kehidupan dalam kerangka Bonus Nasional apabila ukuran tersebut tersedia.

Ini berpotensi membawa perubahan penting kepada cara kita mentakrifkan prestasi pemerintah.

GDP dan pendapatan penting. Tetapi kehidupan tidak hanya mengenai GDP.

Adakah rakyat mempunyai masa untuk keluarga?

Adakah perumahan kekal dimampui?

Adakah tekanan kos sara hidup terkawal?

Adakah warga tua mempunyai jaminan persaraan?

Adakah rakyat berasa selamat tentang pekerjaan mereka dalam zaman AI?

Dan adakah kemajuan ekonomi akhirnya menghasilkan kehidupan yang lebih baik?

Persoalan besar nanti ialah apakah yang akan diukur, bagaimana ia diukur, dan sejauh manakah ukuran itu benar-benar mempengaruhi Bonus Nasional.

Pemerintah telah mengetengahkan hujahnya – Singapura memerlukan kepimpinan politik bermutu tinggi dan untuk mendapatkannya, negara perlu bersedia membayar secara kompetitif.

Mereka yang bersetuju akan menerimanya. Mereka yang tidak bersetuju mungkin tetap tidak akan diyakinkan.

Tetapi setelah pemerintah meminta rakyat menerima standard gaji yang tinggi bagi pemimpin politik, adalah munasabah rakyat pula menuntut prestasi yang sama tinggi.

Kerana akhirnya, ukuran terbaik bagi nilai seorang menteri bukan berapa banyak beliau dibayar – tetapi sejauh manakah kehidupan rakyat Singapura menjadi lebih baik.