Terletak dalam kesunyian di tengah kehijauan berhampiran Holland Road, bayangan Istana Woodneuk masih kelihatan suram di sebalik rimbunan pokok dan pagar lama.
Dindingnya yang semakin mereput seolah-olah membisikkan kisah kegemilangan dan kedukaan yang pernah menyelubungi tempat ini.
Sejak berita mengenai persetujuan antara pemerintah Singapura dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Johor, berhubung pertukaran tanah berhampiran Kebun Bunga Singapura diumumkan, saya telah membawa hampir 250 peserta menjejakkan kaki ke kawasan istana lama yang semakin dilupakan ini.
Tujuan saya jelas, untuk berkongsi bersama orang ramai tentang sejarah gemilang di sebalik runtuhan ini, serta kepentingan memelihara warisan yang tidak ternilai ini.
Di bawah perjanjian tersebut, Tunku Ismail akan menyerahkan 13 hektar tanah miliknya kepada pemerintah, manakala pemerintah pula akan memindahkan 8.5 hektar tanah milik negara kepadanya sebagai balasan.
Perkembangan ini telah mengembalikan perhatian masyarakat kepada Istana Woodneuk, sebuah bukti nyata bahawa warisan tersembunyi Singapura masih wajar dikenali, difahami dan dipelihara demi generasi akan datang.
Suatu ketika dahulu, istana ini merupakan kediaman peribadi Sultan Abu Bakar dari Johor.
Namun hari ini, ia tinggal sebagai simbol kenangan yang semakin pudar dimamah waktu, ditinggalkan alam, dan hampir dilupakan.
Meskipun begitu, nilai Istana Woodneuk tetap tinggi dari sudut budaya, sejarah dan seni bina.
Ia adalah sebahagian daripada khazanah negara yang sewajarnya dipelihara.
Dalam arus pembangunan pesat Singapura, usaha memelihara warisan seperti ini bukan sahaja penting, malah perlu diberi keutamaan.
Pemuliharaan tempat bersejarah seperti Istana Woodneuk bukan sekadar tentang bangunan lama, ia tentang menjaga identiti dan cerita asal usul negara untuk generasi akan datang.
Dibina pada abad ke-19, sejarah Istana Woodneuk yang penuh liku melibatkan beberapa kali pembinaan semula dan pertukaran pemilikan.
Terletak di atas sebidang tanah seluas 36 ekar dalam kawasan Tyersall Park, ia pada asalnya dimiliki oleh seorang pedagang Inggeris, Kapten John Dill Ross, sebelum dijual kepada Sultan Abu Bakar pada 1860.
Maharaja Abu Bakar adalah cucu kepada Temenggong Abdul Rahman, tokoh yang telah menandatangani perjanjian, ‘Treaty of Friendship’ bersama Sultan Hussein dan Sir Stamford Raffles.
Pada masa yang sama, Maharaja Abu Bakar turut membeli sebidang tanah yang sudah ada sebuah rumah daripada seorang peguam Inggeris bernama, William Napier.
Apabila Maharaja Abu Bakar berkahwin dengan Wong Ah Gew pada 1885, baginda mencadangkan agar mereka tinggal di Woodneuk kerana baginda merancang membina sebuah istana baru di tapak bekas rumah William Napier.
Istana tersebut akan dinamakan Istana Tyersall, khusus untuk isterinya.
Wong Ah Gew kemudian memeluk Islam dan mengambil nama, Sultanah Fatimah.
Malangnya, Sultanah Fatimah tidak sempat melihat Istana Tyersall siap sepenuhnya kerana beliau meninggal dunia pada 1891, setahun sebelum Istana Tyersall disempurnakan pada 1892.
Istana Tyersall juga merupakan sebuah kediaman mewah Sultan Abu Bakar yang sempat didiami oleh isteri keempat baginda, iaitu Sultanah Khadijah Khahum.
Sebagai pusat pemerintahan Negeri-Negeri Selat, Singapura juga menjadi tempat tinggal ramai pembesar British yang penting pada ketika itu.
Abu Bakar memainkan peranan besar dalam bandar pelabuhan yang sedang berkembang ini dengan mentadbir hal ehwal orang Melayu dan bertindak sebagai penghubung antara kerajaan British dengan pemerintah-pemerintah Melayu lain di rantau ini.
Istana Tyersall menjadi tempat kediaman pembesar berikut manakala Istana Woodneuk menjadi tempat sosial dan beristirahat.
Perjalanan saya dalam menjejaki warisan istana-istana lama di Singapura bermula pada 2015, ketika saya pertama kali menjejakkan kaki ke runtuhan Istana Woodneuk.
Pengalaman itu membangkitkan rasa ingin tahu yang mendalam terhadap sejarah yang terlindung di sebalik tapak bersejarah tersebut.
Sejak itu, saya bertekad menggali semula sejarah istana-istana diraja yang pernah wujud, termasuk Istana Tyersall, Istana Kampong Glam dan Istana Telok Blangah.
Usaha ini melibatkan kajian mendalam terhadap peta lama, rekod kolonial dan dokumen sejarah, yang kemudian dipadankan dengan landskap moden melalui kerja di lapangan, temu bual lisan, dan rujukan kepada cerita keluarga.
Sebagai pewaris warisan Bugis-Melayu, usaha ini juga merupakan satu perjalanan peribadi yang menghubungkan saya dengan akar identiti sendiri.
Melalui kisah Woodneuk, saya sedar bahawa pemeliharaan warisan bukan hanya melibatkan bangunan, bahkan juga memori, maruah, dan jati diri bangsa.
Warisan seperti ini mengajar kita tentang kepentingan semangat kebersamaan, kerjasama lintas budaya, dan daya tahan menghadapi perubahan zaman.
Saya tidak mahu pengetahuan ini kekal dalam ruang akademik semata-mata.
Oleh itu, saya mula menganjurkan jelajah warisan dan sesi penceritaan agar masyarakat dapat mengalami sendiri nilai sejarah yang semakin dilupakan ini.
Apa yang menggembirakan, ramai peserta tampil berkongsi kisah peribadi mereka, termasuk yang pernah tinggal berhampiran atau bekerja di istana lama seperti Istana Woodneuk.
Sejarah bukan sekadar cerita lama. Ia adalah tentang apa yang kita pilih untuk diingati dan bagaimana kita mengekalkannya untuk generasi akan datang.
Istana Woodneuk adalah warisan yang seharusnya dirai, bukan diabaikan.
Bangunan ini menawarkan pelajaran berharga tentang identiti, sejarah, dan kebudayaan Singapura.
Dengan menjaga dan melestarikan sisa-sisa kejayaannya, masyarakat Singapura turut menjaga keberagaman dan kekayaan sejarah bangsa.
Sudah saatnya pemerintah dan masyarakat luas berganding bahu untuk mengembalikan perhatian kepada Istana Woodneuk.
Melalui upaya pelestarian, penelitian, dan pembelajaran, Woodneuk dapat kembali hidup dalam ingatan kolektif dan menjadi sumber inspirasi bagi masa depan Singapura yang lebih terangkum dan berbudaya.
Jangan biarkan Woodneuk hanya menjadi cerita bisu di balik semak belukar kota, ia layak mendapat tempat di hati dan sejarah negeri ini.
Kisah dalam jelajah warisan yang kerap saya adakan untuk masyarakat umum, bukan hanya tertumpu pada Istana Woodneuk, bahkan mencerminkan gambaran yang lebih menyeluruh tentang sejarah Singapura.
Sejarah kita tidak bermula hanya pada 1819 atau 1299, tetapi jauh lebih awal, sejak zaman pelayaran antarabangsa.
Sekiranya pertukaran tanah ini berjaya dilaksanakan, saya amat berharap agar pihak pemerintah Singapura dan Lembaga Warisan Negara (NHB) dapat mempertimbangkan langkah bermakna untuk mengiktiraf serta memelihara warisan sejarah Istana Woodneuk dan kawasan sekitarnya.
Memang wujud kemungkinan bahawa struktur asal istana ini terpaksa dirobohkan disebabkan keadaannya yang terlalu usang.
Namun, sekiranya ia berlaku, saya menyarankan agar Istana Woodneuk dibina semula dengan menggambarkan semula seni bina asalnya.
Lebih penting lagi, saya berharap agar bangunan baru itu turut menempatkan sebuah ruang warisan khas yang dapat menceritakan kisah keluarga diraja Melayu, legasi Istana Tyersall, serta lapisan-lapisan sejarah Singapura yang kaya.
Inilah peluang untuk bukan sahaja menghormati sejarah, malah mewujudkan sebuah ruang hidup di mana sejarah dapat dikenang, dialami dan disampaikan kepada generasi yang akan datang.
Penulis merupakan pengkaji warisan. Beliau juga pengasas Bugis Temasek, anggota Persatuan Genealogi Singapura dan anggota Persatuan Melayu Bugis Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg