Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Kami tidak membina tugu, kami menanam pohon kepercayaan’
Usaha dua dekad Pusat Harmoni jaya semai persahabatan, kepercayaan pelbagai agama
‘Kami tidak membina tugu, kami menanam pohon kepercayaan’
Dua dekad Pusat Harmoni mengajar satu hakikat.
Keharmonian sebenar tidak lahir daripada upacara dan kenyataan selepas krisis, tetapi daripada persahabatan dan kepercayaan bersama yang disemai dengan sabar dan jujur.
Malam 14 Oktober lalu, dewan itu penuh.
Pemimpin pelbagai agama dan masyarakat duduk semeja.
Asatizah di sebelah paderi.
Sami berbual mesra dengan pendeta.
Kami berhimpun meraikan ulang tahun ke-20 Pusat Harmoni dan Masjid An-Nahdhah.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, hadir sebagai tetamu terhormat.
Saya memandang sekeliling.
Yang saya lihat bukan sekadar sebuah majlis.
Yang saya lihat ialah wajah-wajah sahabat dan teman-teman seperjuangan.
Ramai di antara mereka bukanlah nama-nama yang dikenali umum.
Tetapi sumbangan mereka telah membangunkan persahabatan dan keharmonian negara.
Fikiran saya melayang ke tahun 2006.
Dunia ketika itu masih terluka akibat serangan 11 September dan pendedahan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) di Singapura.
Islam disalah faham.
Curiga merebak.
Tugas kami di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ketika itu amat mencabar untuk meraih semula kepercayaan masyarakat lain dan masyarakat Islam sendiri.
Namun, daripada krisis ini kita keluar dengan mempelopori usaha membina jambatan kepercayaan ini.
Pada 7 Oktober 2006, Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, merasmikan Pusat Harmoni.
Ia sengaja ditempatkan di dalam sebuah masjid.
Itu satu keputusan yang berani.
Pintu masjid dibuka seluas-luasnya.
Silakan masuk.
Kenali kami.
Dan izinkan kami mengenali anda.
Encik Wong turut hadir pada majlis perasmian itu, sebagai Setiausaha Peribadi Utama kepada Perdana Menteri.
Selepas 20 tahun kemudian, beliau kembali sebagai Perdana Menteri meraikan Pusat Harmoni.
Bukan Artifak, Tetapi Sahabat
Dalam ucapannya, Encik Wong menyebut satu hakikat yang sangat dekat di hati saya: Undang-undang hanya mampu menetapkan sempadan.
Ia tidak mampu, dengan sendirinya, mencipta persahabatan dan kepercayaan.
Itu terserah kepada kita semua.
Ini juga yang saya tegaskan di Persidangan Pendidikan Peringkat Tinggi Asean pada 21 September lalu dalam ucapan saya.
Dan ini jugalah pelajaran terbesar saya sepanjang menyelia Pusat Harmoni beberapa tahun dahulu.
Galeri Pusat Harmoni mempamerkan khazanah yang indah – ada manuskrip Al-Quran, ada pameran tentang sumbangan tamadun Islam kepada ilmu.
Kami menerima tetamu kenamaan dari pelbagai negara.
Antaranya, saya berpeluang menerima Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah El-Sisi, pada 2015.
Pada 2017, saya membawa Putera Charles, kini Raja Charles III, meninjau galeri, berdialog dan bertemu para pemimpin agama serta belia kita.
Namun, bukan artifak yang paling saya kenang.
Bukan juga upacara atau kenyataan rasmi.
Yang saya kenang ialah perbualan jujur dan terus terang yang berlarutan berjam-jam.
Isu Gaza meninggalkan luka dan kesan mendalam kepada masyarakat Islam.
Apa yang tidak diketahui ramai adalah pelbagai perbincangan telus yang telah diadakan antara pemimpin agama.
Saya menghabiskan berjam-jam bertemu dan berbincang dengan pemimpin agama termasuk pemimpin Yahudi dan Kristian.
Kami saling memahami kesan dan cabaran berbeza ke atas masyarakat agama masing-masing.
Perbualan telus dan terbuka ini hanya mampu dilakukan kerana hubungan persahabatan yang telah dibina dan kepercayaan bersama antara kami.
Sebenarnya, ada sahaja cabaran dan konflik yang melibatkan kaum dan agama berbeza.
Di bawah kolong blok dan kejiranan.
Sewaktu kematian.
Bahkan sewaktu majlis perkahwinan.
Hubungan pekerja di tempat kerja dan pelbagai lagi.
Ini semua ditangani dengan hikmah dan tenang, melalui perantaraan pemimpin agama, tanpa diheboh-hebohkan.
Kerana wujudnya hubungan persahabatan yang baik dan saling mempercayai, permasalahan ini dapat ditangani dengan cermat tanpa menjejas hubungan keharmonian secara umum.
Persahabatan sebegini tidak lahir dalam sehari.
Ia dibina tahun demi tahun.
Kami duduk bersama.
Kami mendengar.
Kadang-kadang kami tidak bersetuju.
Tetapi kami tidak berpecah.
Malah, kami semakin rapat kerana pernah tidak bersetuju.
Lalu satu hari, kami sedar hati kami sudah bertaut.
Saya teringat beberapa pemimpin agama lain yang mengirim teks kepada saya sewaktu suatu kejadian.
Mereka menegaskan kepada saya, “Hannan! Jika seorang terluka, semua merasai sakitnya.”
Bahkan, ada yang memanggil saya Abang.
Itulah antara nikmat terbesar dalam hidup saya.
Dari Harmoni kepada Kejiranan
Tema malam itu, ‘Dari Keharmonian kepada Kejiranan’, amat kena dengan ajaran kita.
Rasulullah saw bersabda bahawa tidak beriman seseorang yang jirannya tidak berasa aman daripada gangguannya.
Rasulullah saw tidak mengehadkan jiran kepada yang seagama.
Pada malam itu, Kit Penglibatan Antara Agama (JIRAN) dilancarkan.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan para pemimpin agama turut mengesahkan sebuah Piagam Kejiranan.
Ini langkah yang baik.
Namun kit dan piagam hanyalah benih.
Ia perlu disiram.
Rohnya ialah persahabatan dan kepercayaan bersama.
Tiada jalan mudah kepada menanam pohon ini.
Encik Wong berkongsi kisah seorang kenalan.
Beliau mempunyai sahabat Muslim, Kristian dan Yahudi.
Dahulu, mereka boleh berbincang tentang Timur Tengah dengan terbuka, walaupun berbeza pendapat.
Kini, mereka mengelak topik itu sama sekali.
Mereka takut persahabatan retak.
Kisah ini menyentuh hati saya kerana saya melalui pengalaman yang sama.
Mengelak bukan jawapannya.
Jawapannya ialah persahabatan yang cukup kukuh untuk menampung perbezaan.
Amanah kita bersama
Dunia hari ini retak.
Saya tidak akan berpura-pura sebaliknya.
Namun, jangan biarkan jiwa dan hati kita turut retak.
Kita mungkin tidak berdaya, tetapi jangan sesekali hilang harapan.
Saya mengenali wira-wira Pusat Harmoni serta pelbagai wira keharmonian kaum dan agama.
Mereka tidak meminta pujian.
Mereka tidak mengejar sorotan kamera.
Nama mereka jarang tersiar di akhbar.
Wajah mereka jarang muncul di kaca televisyen.
Namun, merekalah yang hadir, hari demi hari, tahun demi tahun.
Dengan tabah, mereka menyemai benih.
Dengan sabar, mereka menyiram pohon ini.
Sedikit demi sedikit, mereka melabur dalam sesuatu yang tidak kelihatan, tetapi paling berharga: kepercayaan.
Kerja mereka senyap.
Tetapi hasilnya nyata.
Setiap kali krisis melanda dan masyarakat kita tetap berdiri teguh, di situlah kesan tangan mereka.
Kepada mereka saya katakan: usaha kalian tidak sia-sia.
Pohon yang kalian siram kini meneduhkan seluruh negara.
Dan teduhannya akan dinikmati oleh anak-anak yang mungkin tidak akan pernah mengenali nama kalian.
Kepada masyarakat kita, saya ingin berpesan – Pusat Harmoni bukan milik Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) semata-mata.
Ia amanah kita bersama.
Biarlah anak-anak kita membesar bersama sahabat daripada agama dan bangsa lain, bukan prasangka.
Ketika saya kembali kepada Pencipta, saya berharap dapat bersaksi di hadapan-Nya bahawa kami telah berusaha sebaik mungkin.
Kami menyemai persahabatan ini.
Kami menjaganya.
Dan kami meninggalkannya sebagai hadiah untuk generasi seterusnya.
Kami tidak membina tugu.
Tetapi, kami menanam pohon kepercayaan, agar anak-anak kita dapat berteduh di bawahnya.
Pohon itu kini sudah berakar.
Kini giliran anda untuk menyiram, menjaga dan mewariskannya.
Penulis ialah Zamil Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). Beliau pernah berkhidmat selama 28 tahun di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), termasuk sebagai Ketua dan Penolong Pengarah Pendidikan Islam dan Madrasah, Naib Dekan Akademi MUIS (2008-2024), serta Timbalan Mufti (2020–2025).
“
“Ia amanah kita bersama. Biarlah anak-anak kita membesar bersama sahabat daripada agama dan bangsa lain, bukan prasangka. Ketika saya kembali kepada Pencipta, saya berharap dapat bersaksi di hadapan-Nya bahawa kami telah berusaha sebaik mungkin. Kami menyemai persahabatan ini. Kami menjaganya. Dan kami meninggalkannya sebagai hadiah untuk generasi seterusnya. Kami tidak membina tugu. Tetapi, kami menanam pohon kepercayaan, agar anak-anak kita dapat berteduh di bawahnya. Pohon itu kini sudah berakar. Kini giliran anda untuk menyiram, menjaga dan mewariskannya.”