Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat perlu pemimpin khidmat jagaan generasi baru beri bimbingan rohani

Mereka bukan sahaja berilmu agama, bahkan fahami seni mendengar, santuni dan tenangkan jiwa dengan rahmah
Nov 21, 2025 | 5:30 AM
pemimpin, agama, keperluan
Ustazah Maria Mohd dalam satu sesi kaunseling. - Foto MASJID ASSYAKIRIN
Ustazah Maria Mohd Siddique
Ustazah Maria Mohd Siddique - Foto BH

Dalam masyarakat yang semakin kompleks dan mencabar, umat Islam di Singapura berdepan dengan pelbagai isu rohani, emosi dan sosial yang memerlukan pendekatan bimbingan lebih empatik dan menyeluruh.

Justeru, muncul keperluan mendesak untuk melahirkan golongan pendamping yang memberi khidmat penjagaan dan bimbingan rohani Muslim – mereka yang bukan sahaja berilmu agama, bahkan memahami seni mendengar, menyantuni dan menenangkan jiwa dengan rahmah.

Nilai Ri’ayah dan Rahmah

Dalam Islam, khidmat penjagaan dan bimbingan rohani berteraskan nilai ri’ayah dan rahmah – tanggungjawab memelihara, mengasihi dan menuntun jiwa agar kembali kepada Allah swt.

Rasulullah saw sendiri merupakan contoh terbaik dalam menampilkan ciri-ciri tersebut.

Baginda bukan sahaja menyampaikan ilmu dan hukum, bahkan hadir dengan hati yang empati, menenangkan yang berduka, menguatkan yang lemah, dan menyentuh hati dengan kasih yang menenangkan.

Oleh itu, khidmat penjagaan dan bimbingan rohani Muslim bukan sekadar memberi nasihat agama, tetapi menjadi pendamping rohani yang hadir dengan ihsan, mendengar dengan hati, dan membimbing dengan hikmah.

Dalam dunia moden yang penuh tekanan, pendekatan ini menjadi jambatan antara ilmu dengan kemanusiaan – membina ruang selamat bagi manusia untuk kembali kepada fitrah dan ketenangan.

Latihan khidmat penjagaan dan bimbingan rohani menekankan pendekatan berasaskan rahmah, kaunseling beretika, pemahaman duka dan trauma melalui lensa iman, serta peranan khidmat kerohanian dalam masyarakat.

Ia melahirkan asatizah dan pegawai masjid yang bukan sahaja pendakwah, tetapi juga penyembuh jiwa masyarakat.

Berdasarkan pengalaman saya baru-baru ini sebagai seorang wakil masjid yang terpilih menghadiri Persidangan Muslim Chaplaincy di Switzerland, perspektif saya tentang khidmat penjagaan dan bimbingan rohani telah diperluas.

Perbincangan antarabangsa menekankan piawaian profesional, inovasi dalam pendekatan penjagaan dan bimbingan rohani, serta kepentingan membina rangkaian sokongan global untuk memperkukuh ekosistem khidmat kerohanian di peringkat tempatan.

Pendekatan bimbingan lebih menyeluruh

Sebagai peserta latihan ini, saya merasai sendiri bagaimana ilmu penjagaan dan bimbingan rohani membantu memperdalam kepekaan terhadap keperluan rohani manusia.

Dalam tugasan saya di masjid, pendekatan ini mengubah cara saya mendekati jemaah – bukan hanya sebagai penyampai, bahkan sebagai pendengar dan peneman.

Saya belajar bahawa kadangkala nasihat bukanlah yang paling diperlukan, tetapi kehadiran yang memahami dan doa yang tulus.

Sebagai sukarelawan FITRAH, saya juga menyedari bahawa khidmat penjagaan dan bimbingan rohani sangat penting dalam menyantuni mereka yang sedang mencari peluang dan ruang untuk perubahan dalam kehidupan.

Ramai daripada mereka membawa beban emosi, kehilangan, atau kesepian. Melalui bimbingan penjagaan kerohanian, saya belajar mengiringi mereka dengan sabar dan kasih, bukan dengan penilaian. Pendekatan ini menjadikan dakwah lebih berjiwa dan penuh hikmah.

Melatih generasi baru pemimpin khidmat penjagaan dan bimbingan rohani menuntut keseimbangan antara ilmu syariah dan kemahiran psikososial, antara ketegasan dan kelembutan, serta antara adab dan inovasi.

Namun, setiap langkah kecil ini membina ekosistem khidmat penjagaan dan bimbingan rohani Muslim tempatan yang berakar pada ilmu, tumbuh dengan rahmah, dan berbuah dengan perubahan sosial.

Membangunkan kepakaran tempatan bukan sekadar melahirkan tenaga kerja agama, tetapi juga membina penyantun hati manusia – insan yang hadir dengan kasih, mendengar dengan ihsan, dan menuntun jiwa kembali kepada Allah dengan lembut dan yakin.

“Dan jadilah kamu penyeru ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.” (Surah an-Nahl, 16:125).

Semoga usaha kecil ini menjadi sebahagian daripada warisan ilmu dan kasih untuk generasi yang bakal datang – generasi pemimpin yang bukan hanya petah berbicara di hadapan, tetapi mampu duduk di sisi mereka yang berduka.

Kerana pada akhirnya, kekuatan khidmat penjagaan dan bimbingan rohani bukan diukur pada berapa ramai yang mendengar kita, tetapi pada berapa banyak hati yang kita mampu sentuh.

Ustazah Maria Mohd, Pegawai Kanan - Pegawai Agama Masjid Assyakirin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg