Kes penderaan seksual terhadap dua beradik lelaki yang melibatkan seorang individu yang menampilkan dirinya sebagai tokoh agama telah mengundang rasa marah, sedih dan kecewa dalam masyarakat.

Lebih-lebih lagi apabila sebahagian interaksi antara pesalah dengan mangsa berlaku di sebuah masjid – tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat bagi keluarga dan anak untuk beribadah, belajar dan membina hubungan dengan masyarakat.

Dalam mencari jawapan, ada yang segera menumpukan perhatian kepada satu persoalan: adakah pesalah itu asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS)?

Persoalan itu wajar dijawab.

Dan jawapannya jelas: dia bukan kakitangan atau sukarelawan masjid, bukan asatizah yang diiktiraf ARS, dan tidak mengendalikan kelas agama rasmi yang dianjurkan atau diluluskan masjid.

Namun, jika perbincangan berhenti di situ, kita sebenarnya telah tersasar daripada isu yang jauh lebih besar.

Jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak memerlukan sijil, tauliah atau jawatan rasmi untuk berlaku.

Ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja – guru, jurulatih, saudara-mara, jiran, pemimpin masyarakat atau individu yang berjaya membina kepercayaan mangsa dan keluarganya.

ARS ialah satu mekanisme penting untuk memastikan mereka yang mengajar agama secara rasmi memenuhi piawaian tertentu.

Ia harus terus diperkukuh.

Tetapi ARS bukan, dan tidak pernah dimaksudkan sebagai, sistem yang boleh menjamin bahawa setiap individu yang bercakap tentang agama adalah selamat.

Dalam kes ini, yang lebih membimbangkan ialah bagaimana pesalah berjaya memupuk kepercayaan dua beradik itu sehingga menjadi figura seperti bapa dan mentor agama dalam kehidupan mereka.

Hubungan sedemikian tidak terbina dalam sehari.

Ia lazimnya bermula dengan perhatian, bantuan, hadiah, nasihat dan kehadiran yang konsisten – proses yang kini semakin difahami sebagai grooming atau pemangsaan.

Sebab itu keluarga dan masyarakat perlu menjadi lebih celik terhadap tanda-tanda awal pemangsaan.

Kita perlu melengkapi ibu bapa dan penjaga anak-anak dengan keupayaan supaya tidak hanya bertanya sama ada seseorang itu “orang yang baik”, tetapi juga memerhatikan sama ada individu tersebut cuba mendapatkan akses eksklusif kepada anak, meminta rahsia disimpan, memisahkan anak daripada keluarga atau menjadikan dirinya satu-satunya orang dewasa yang kononnya paling memahami mereka.

Anak-anak pula mesti dididik bahawa tiada orang dewasa – walau setinggi mana pun kedudukan atau pengetahuan agamanya – berhak meminta mereka menyimpan rahsia yang membuat mereka tidak selesa atau melanggar batas tubuh dan keselesaan mereka.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, menyampaikan mesej yang tepat apabila mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengetahui dengan siapa anak mereka berinteraksi, sama ada dalam talian atau di dunia nyata.

Beliau juga menegaskan bahawa masyarakat tidak seharusnya melonggarkan sikap kewaspadaan hanya kerana seseorang kelihatan alim atau bercakap dengan penuh keyakinan tentang agama.

Jika seseorang membuat kanak-kanak tidak selesa, meminta rahsia disimpan atau melanggar batas, mereka mesti tahu bahawa mereka boleh memberitahu orang dewasa yang dipercayai dan bahawa mereka akan didengari.

Ini bukan bermakna masyarakat mencurigai asatizah atau mereka yang aktif dalam agama.

Sebaliknya, ia adalah peringatan bahawa keimanan tidak menuntut kita mematikan daya fikir.

Agama mengajar amanah, tetapi amanah juga menuntut kita menjaga mereka yang paling lemah.

Menghormati seseorang kerana ilmu agamanya tidak bermaksud menyerahkan pertimbangan kritis kita kepadanya.

Pada masa yang sama, institusi agama juga perlu bertanya soalan yang sukar.

Namun seperti yang ditegaskan Encik Zaqy, terbuka dan mesra juga mesti bermakna selamat.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengumumkan langkah seperti memperkukuh rondaan dan pemantauan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sementara semakan lanjut sedang dijalankan khususnya terhadap kegiatan tidak formal dan perhimpunan yang melibatkan kanak-kanak dan belia.

Langkah itu penting, tetapi keselamatan tidak boleh bergantung kepada kamera dan pemantauan semata-mata.

Kita memerlukan sistem perlindungan kanak-kanak yang jelas di semua institusi agama: garis panduan untuk kegiatan tidak formal, latihan mengenal pasti tanda pemangsaan, saluran pelaporan yang mudah dan dipercayai, serta budaya di mana kebimbangan tidak dianggap sebagai tuduhan atau gangguan, tetapi sebagai tanggungjawab bersama.

Kes ini memang menyayatkan.

Ia telah mencederakan mangsa dan menggoncang rasa aman masyarakat terhadap sebuah ruang yang sangat suci lagi dihormati.

Tetapi tindak balas kita akan menentukan sama ada kita benar-benar belajar daripada kejadian ini.

Kes ini adalah peringatan bahawa perlindungan kanak-kanak memerlukan kewaspadaan seluruh masyarakat.

Masjid mesti kekal sebagai ruang yang selamat.

Guru agama wajar terus dihormati.

Institusi agama mesti terus diyakini.

Tetapi kepercayaan tidak boleh wujud tanpa akauntabiliti.

Dan keselamatan anak-anak tidak boleh bergantung kepada andaian bahawa “perkara seperti ini tidak mungkin berlaku di sini”.

Kerana hakikat yang paling sukar diterima ialah pelaku tidak memilih tempat berdasarkan kesuciannya. Mereka memilih tempat yang memberi mereka akses, kepercayaan dan peluang.

Tugas kita ialah memastikan peluang itu tidak wujud lagi.