Topik diikuti
Pergi ke BHkuMengapa kesinambungan khidmat akar umbi penting, meski persoalan perwakilan kekal
Kehadiran Firdaus Daud wajar serlahkan persoalan antara khidmat di lapangan dengan perwakilan politik, namun lebih mendesak ialah keperluan penduduk terus terjaga
Apabila mantan Anggota Parlimen (AP), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berundur daripada politik pada Julai lalu, pemergiannya meninggalkan dua kekosongan di Kembangan.
Yang pertama bersifat segera dan praktikal: siapakah yang akan meneruskan kerja harian mendampingi penduduk, memahami keprihatinan mereka dan memastikan mereka yang memerlukan bantuan menerimanya?
Yang kedua pula bersifat politik: apakah yang berlaku kepada perwakilan sesebuah kawasan undi apabila AP yang dipilih tidak lagi memegang jawatan?
Pelantikan peguam, Encik Ahmad Firdaus Daud sebagai Penasihat Kedua Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marine Parade-Braddell Heights dan dikerahkan ke kawasanundi Kembangan mulai 1 September memberi jawapan kepada persoalan pertama.
Namun, tidak semestinya kepada persoalan kedua.
Perbezaan ini penting untuk memahami makna pengerahan Encik Firdaus – dan juga batas peranannya.
Mengisi keperluan segera di lapangan
Encik Firdaus, 42 tahun, merupakan antara calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang telah bersiap sedia untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), tetapi akhirnya tidak diturunkan sebagai calon.
Namun, beliau bukan orang baru dalam kerja akar umbi.
Anggota parti pemerintah, PAP, sejak 2016, Encik Firdaus telah berkhidmat sebagai penasihat kedua akar umbi di Punggol bersama Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.
Kehadirannya juga tidak bermakna tanggungjawab menjaga Kembangan akan dipikul beliau seorang.
Empat AP GRC Marine Parade-Braddell Heights yang lain – Encik Seah Kian Peng, Encik Goh Pei Ming, Cik Tin Pei Ling dan Cik Diana Pang – telah berkongsi tanggungjawab menjaga kawasan itu sejak pengunduran Dr Faishal dan akan terus menyokong usaha di Kembangan.
Kembangan merupakan salah sebuah kawasan undi di GRC tersebut.
Dari sudut penduduk, kesinambungan seperti ini penting.
Politik tidak hanya dirasakan menerusi ucapan di Parlimen atau pilihan raya setiap beberapa tahun.
Bagi ramai penduduk, khususnya mereka yang menghadapi masalah kewangan, cabaran keluarga atau kesulitan lain yang memerlukan perhatian segera, hubungan mereka dengan wakil politik dan akar umbi adalah jauh lebih langsung.
Ia berlaku apabila mereka mendapatkan bantuan, menghadiri acara masyarakat, mengetengahkan masalah perbandaran atau memerlukan bantuan untuk memahami dan memanfaatkan skim pemerintah.
Di sinilah rangkaian akar umbi memainkan peranan penting.
Penasihat akar umbi bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat dalam usaha mendampingi dan mendekati penduduk. Dalam segi amalan di lapangan, kehadiran akar umbi yang kukuh juga boleh membantu wakil memahami isu dan keprihatinan yang mula timbul sebelum ia berkembang menjadi masalah lebih besar.
Dalam konteks ini, langkah mengisi dengan segera kekosongan yang ditinggalkan Dr Faishal adalah penting.
Peranan khusus dalam masyarakat Melayu/Islam
Pelantikan Encik Firdaus turut mempunyai satu lagi dimensi.
Encik Seah, yang juga menerajui pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights, berkata Encik Firdaus akan memainkan peranan penting dalam perkara berkaitan masyarakat Melayu/Islam di Kembangan.
Beliau, yang juga Speaker Parlimen, sebelum ini berkata ketiadaan penasihat akar umbi Melayu/Islam di GRC tersebut merupakan sesuatu yang “tidak diingini”.
Ini tidak bermakna hanya wakil Melayu/Islam sahaja boleh berkhidmat kepada penduduk Melayu/Islam.
Namun, perwakilan di peringkat akar umbi boleh membawa nilai praktikal – khususnya dalam memahami rangkaian masyarakat, institusi, konteks budaya dan isu yang mungkin memerlukan penduduk itu didampingi secara berterusan.
Kehadiran Encik Firdaus, justeru, memperkukuh keupayaan pasukan sedia ada, bukan sekadar menggantikan seorang individu dengan individu lain.
Keadaan ini juga boleh memainkan peranan penting dalam memastikan pengunduran Dr Faishal secara tiba-tiba tidak menyebabkan gangguan berpanjangan kepada khidmat untuk penduduk.
Buat masa ini, perkara itu wajar menjadi keutamaan segera: memastikan penduduk Kembangan terus mendapat khidmat yang berkesan.
“
“Mungkin cara yang lebih tepat untuk melihat keadaan di Kembangan ialah bukan sebagai pilihan antara khidmat akar umbi dengan perwakilan politik. Kedua-duanya penting, tetapi memenuhi tujuan yang berbeza. Keutamaan segera ialah memastikan penduduk terus mendapat perhatian dan bantuan yang mereka perlukan. Pelantikan Encik Firdaus memperkukuh pasukan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan perkara itu terlaksana.”Khidmat akar umbi dan perwakilan politik
Namun, di sinilah satu perbezaan penting perlu dibuat.
Seorang penasihat akar umbi bukan AP yang dipilih.
Encik Firdaus boleh bertemu penduduk, bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat dan membantu menangani masalah di lapangan.
Bersama empat AP yang masih berkhidmat, beliau boleh membantu memastikan penduduk terus menerima bantuan yang diperlukan.
Namun, beliau tidak mengisi kerusi Dr Faishal di Parlimen.
Pelantikannya juga tidak membawa mandat pilihan raya daripada penduduk Kembangan.
Di bawah kerangka sedia ada di Singapura, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan semata-mata kerana satu kerusi dalam sebuah Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) menjadi kosong.
Model GRC antara lain berteraskan konsep perwakilan secara kolektif: penduduk memilih sebuah pasukan dan apabila seorang anggotanya meninggalkan jawatan, AP yang lain terus berkhidmat kepada kawasan tersebut.
Justeru, terdapat alasan munasabah untuk mengutamakan kesinambungan khidmat daripada secara automatik mengadakan pilihan raya setiap kali satu kerusi AP dalam GRC dikosongkan.
Dari sudut penduduk, perkara paling penting dalam tempoh segera mungkin ialah sama ada bantuan masih tersedia, masalah terus ditangani dan ada pihak yang hadir serta bertanggungjawab di lapangan.
Pelantikan Encik Firdaus, ditambah dengan penglibatan berterusan empat AP yang dipilih, membantu memberi jaminan tersebut.
Konteks pilihan raya kali ini berbeza
Bagaimanapun, Kembangan – dan GRC Marine Parade-Braddell Heights secara keseluruhannya – mempunyai satu lagi pertimbangan.
Pasukan PAP menang tanpa bertanding dalam GE2025.
Ini bermakna penduduk tidak membuang undi dalam pilihan raya tersebut.
Keadaan ini memberi dimensi politik yang agak berbeza kepada situasi sekarang.
Persoalannya bukan lagi semata-mata sama ada penduduk Kembangan terus mendapat khidmat sewajarnya. Susunan akar umbi yang dilaksanakan jelas bertujuan memastikan perkara itu terus berlaku.
Sebaliknya, persoalan jangka panjang ialah sama ada perwakilan akar umbi yang berkesan sudah memadai apabila satu kerusi AP yang dipilih di Parlimen kekal kosong.
Kedua-duanya tidak harus disamakan.
Khidmat akar umbi yang baik amat penting kerana keperluan penduduk tidak terhenti sementara persoalan politik dibahaskan.
Ada keluarga yang memerlukan bantuan, program masyarakat yang perlu diselaraskan dan isu setempat yang perlu diberi perhatian sekarang.
Dalam pengertian itu, mengerahkan Encik Firdaus merupakan langkah praktikal dan perlu.
Namun, perwakilan demokratik berlandaskan prinsip yang berbeza.
Seorang penasihat boleh dilantik. Tanggungjawab boleh diagihkan semula. Kerja kemasyarakatan boleh diteruskan.
Tetapi mandat pilihan raya hanya boleh diberikan oleh pengundi.
Namun, ini tidak semestinya bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan.
Terdapat pertimbangan lain, termasuk sifat perwakilan kolektif dalam sistem GRC serta hakikat bahawa empat AP yang dipilih masih bertanggungjawab terhadap GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Namun, ini juga bermakna persoalan mengenai perwakilan politik tidak harus dianggap selesai hanya kerana kekosongan di peringkat akar umbi telah diisi.
Mungkin cara yang lebih tepat untuk melihat keadaan di Kembangan ialah bukan sebagai pilihan antara khidmat akar umbi dengan perwakilan politik.
Kedua-duanya penting, tetapi memenuhi tujuan yang berbeza.
Keutamaan segera ialah memastikan penduduk terus mendapat perhatian dan bantuan yang mereka perlukan.
Pelantikan Encik Firdaus memperkukuh pasukan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan perkara itu terlaksana.
