Dua insiden melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang akademik menarik perhatian ramai di media massa dengan cara yang tidak diingini baru-baru ini.
Insiden pertama yang dilaporkan media setempat pada Jun, melibatkan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), di mana tiga mahasiswa diiberikan markah gagal selepas mereka disyaki menyerahkan kertas kerja yang disiapkan dengan bantuan AI yang melanggar syarat yang ditetapkan.
Buat masa ini, NTU telah membentuk panel pakar untuk meneliti kes tersebut selepas salah seorang pelajar mengemukakan rayuan dan mendakwa beliau tidak melanggar sebarang syarat.
Kes melibatkan dua lagi pelajar tidak akan diteliti panel khas yang sebahagiannya dianggotai pakar AI itu.
Seorang pelajar tidak mengemukakan rayuan dan seorang lagi didapati tidak mempunyai sebab atau bukti kukuh untuk mengemukakan rayuan yang harus diteliti.
Dalam insiden kedua, yang berlaku beberapa hari lalu, sekumpulan enam penyelidik daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) cuba mempengaruh penilaian antara rakan seangkatan yang dijana menggunakan AI secara tersembunyi.
Dalam laporannya, CNA berkata kumpulan tersebut dibentuk seorang penolong profesor, tiga calon Doktor Falsafah (PhD), dan seorang penolong penyelidikan dari NUS serta seorang penyelidik dari Universiti Yale, yang juga calon PhD.
Mereka telah cuba menapis jenis penilaian yang diterima bagi kertas penyelidikan yang dihasilkan bersama bertajuk: Meta-Reasoner: Dynamic Guidance for Optimized Inference-time Reasoning in Large Language Models – dengan cara membubuh arahan tambahan dalam dokumen untuk memastikan penilaian AI yang berbaur lebih negatif ditapis keluar.
Menurut CNA, ada dua versi yang diserahkan untuk penerbitan di Arvix – wadah penerbitan kertas penyelidikan akademik – yang dihoskan oleh Universiti Cornell di New York, Amerika Syarikat.
Versi pertama diserahkan pada 27 Februari, disusuli versi kedua pada 22 Mei yang ditambah dengan ayat mengandungi arahan tersebut yang mengarahkan supaya sebarang reviu negatif tidak ditimbulkan.
Versi ketiga, pada 24 Jun, tidak lagi mengandungi arahan susulan tersebut.
NUS, dalam kenyataannya berkata, ia telah menarik balik kertas penyelidikan itu daripada semakan rakan seangkatan atau peer review dan versi dalam talian di Arxiv telah diperbetulkan.
Ia juga sedang menyiasat insiden tersebut.
Melebihi faktor penyebab seperti kelemahan atau kesilapan manusia – dua insiden ini menekankan lagi peri pentingnya peraturan atau syarat kukuh mengenai penggunaan AI dibentuk dengan segera dan bagaimana set peraturan ini perlu diperuntuk supaya boleh diubah dengan pantas, tetapi dengan cara berpandukan prinsip berkekalan yang ditentukan – supaya ia lebih selaras dengan teknologi yang berubah pesat.
Namun, peredaran teknologi yang pesat ini juga bermakna proses membentuk peraturan ini rumit.
Anda boleh menetapkan beberapa prinsip asas bernada umum, tetapi cara AI diamalkan – yang berbeza-beza mengikut penggunaan atau keperluan – perlu ditakluk peraturan lebih khusus dan tersendiri.
Ada juga pertimbangan sesuatu peraturan menjadi lapuk atau basi selepas ia dilaksana kerana kepesatan jenis teknologi ini berubah.
AI atau lebih tepat lagi Generative AI atau Gen AI – iaitu kecerdasan buatan yang boleh mencipta kandungan baru dalam bentuk teks, imej, audio dan video berdasarkan arahan tertentu.
Berbeza daripada versi asal AI yang melakukan analisis data, alat Gen AI menggunakan data yang sedia ada untuk menghasilkan kandungan ‘asli’.
Keupayaan ini membuka banyak peluang baru – dalam menyiapkan kandungan pemasaran tersendiri, menghasilkan karya seni, malah, menulis kod komputer.
Namun, ia juga diiringi perkara yang kurang disenangi, seperti yang berlaku di NUS dan NTU baru-baru ini.
Menidakkan atau melarang penggunaan Gen AI secara sepenuhnya bukan huraian yang membina dalam konteks penularan Gen AI dalam bidang ekonomi, yang buat masa ini, adalah mustahil untuk dihentikan.
Pekerjaan, sistem pekerjaan yang kita kenali mungkin telah terjejas sebelum kita benar-benar sedari kesan penularan AI dan Gen AI.
Namun pada masa yang sama, AI dan Gen AI juga membolehkan kita menambah produktiviti dan menjimatkan masa yang kini boleh diperuntuk untuk tugasan lain.
Namun bagaimanakah kita boleh menyesuaikan sistem dan tugasan yang ada di sekolah dan tempat kerja, misalnya supaya Gen AI menjadi alat yang membina dan bukan sekadar alat untuk ‘curi tulang’ atau mempermudah urusan tanpa memperkasa diri kita sendiri?
Mungkin, komponen penggunaan AI kini boleh diterapkan dalam aspek pemarkahan dan penilaian di sekolah dan tempat kerja.
Berikan insentif berbeza kepada kededua pelajar atau pekerja yang menggunakan atau tidak menggunakan AI.
Anda gunakan AI untuk menghasilkan kertas kerja?
Isytiharkan dan markah yang diterima anda akan mengambil kira keupayaan anda memberi arahan optimum kepada alat Gen AI.
Tetapi anda juga perlu terima rakan seangkatan yang menghasilkan kertas kerja lain dan tidak menggunakan AI boleh diberikan markah yang mengambil kira aspek ini dalam proses beliau menyiapkan kertas kerja.
Di tempat kerja – seorang penulis pegawai pemasaran mungkin boleh menggunakan Gen AI untuk menghasilkan slaid bagi klien.
Masa yang dijimatkan dalam bentuk ini mungkin boleh digunakan untuk membuat penyelidikan lebih terperinci mengenai produk yang ingin dipasarkan, menambah produktiviti.
Cara-cara ini, saya jangka bukan baru, dan besar kemungkinan telah pun diamalkan di sesetengah institusi dan tempat kerja.
Namun cabarannya adalah untuk menambah kesedaran dalam kalangan pengguna dan bakal pengguna AI mengenai impak menggunakan AI – buruk baiknya – seawal mungkin.
Melentur buluh biarlah dari rebung.
Dalam hal ini, sekolah dan ibu bapa perlu mengorak langkah pertama – selain menerapkan ilmu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains dan Matematik dalam anak kita, ibu bapa juga boleh memulakan perbincangan mengenai penggunaan Gen AI di rumah.
Untuk berbuat demikian, kita sendiri perlu memperkukuh pengetahuan mengenai perkara ini – saya jangka sebahagian ibu bapa, termasuk diri saya sendiri, masih kurang memahami atau mendalami sepenuhnya teknologi yang bergelar AI ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg