Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengajaran dari Fail Albatross dan perpisahan S’pura dari M’sia

Pengajaran kekal relevan ialah kemakmuran S’pura bergantung bukan pada pertikaian sejarah, sebaliknya pada tadbir urus baik, institusi kukuh, keupayaan tolak politik identiti
Dec 21, 2025 | 5:00 AM
fail abatross
Fail Albatross mungkin menambah lapisan baru kepada pemahaman kita mengenai sejarah dan rentetan kemerdekaan Singapura. Tetapi pengajaran terbesarnya kekal sama: masa depan negara ini tidak ditentukan oleh siapa yang “menang” dalam perdebatan sejarah, tetapi oleh keupayaan kita mempertahankan prinsip yang telah membawa kita sejauh ini – kesederhanaan, inklusiviti dan keadilan. - Foto fail

Perbahasan yang tercetus susulan pendedahan fail rahsia Albatross – termasuk soal sama ada Singapura “disingkirkan” dari Persekutuan Malaysia atau berpisah melalui persetujuan yang dirunding – menghidupkan emosi lama dalam wacana sejarah negara.

Namun, enam dekad selepas perpisahan 1965, persoalan siapa ‘menyingkirkan’ siapa semakin kurang relevan.

Apa yang lebih penting ialah mengapa Singapura memilih laluan yang akhirnya membentuk keperibadian negara ini, dan apakah pengajaran yang harus kita terus pegang hari ini.

Hanya dengan kelebihan tempoh masa dan kebijaksanaan selepas peristiwa berlaku, kita tidak dapat nafikan bahawa perpisahan tersebut akhirnya membuka laluan kepada pembangunan sebuah negara yang stabil, makmur dan umumnya aman harmoni.

Bagi sebahagian warga, termasuk masyarakat Melayu Singapura yang tidak lagi terikat kepada nostalgia institusi diraja, dominasi kaum atau pemerintahan berteraskan agama, laluan ini bukan sekadar sesuatu yang berlaku secara kebetulan dalam sejarah, tetapi satu pilihan politik yang jelas, tegas dan disengajakan.

Pilihan itu ialah penolakan prinsip nasionalisme etno-agama – iaitu ideologi dominan yang mentakrifkan negara melalui lensa satu etnik dan agama tertentu – sebagai asas kenegaraan dan menggantikannya dengan prinsip sekularisme serta berbilang budaya atau multiculturalism sebagai tonggak ideologi negara.

Dalam konteks Asia Tenggara yang ketika itu bergelut dengan politik perkauman dan identiti sempit, keputusan ini bukan sahaja berani, malah berisiko.

Bagaimanapun, ia terbukti sebagai satu keputusan yang berwawasan.

Fail Albatross, seperti mana-mana dokumen sejarah yang status rahsianya digugurkan, harus dibaca dan dihayati dengan teliti.

Ia memberi gambaran lebih bernuansa tentang ketegangan politik, rundingan kuasa dan kebimbangan keselamatan yang wujud pada awal 1960-an.

Namun, bahaya terbesar ialah apabila dokumen sedemikian digunakan untuk mengiyakan semula naratif lama yang menterjemah sejarah dengan cara yang terlalu ringkas atau simplistik – dengan meletakkan satu pihak sebagai mangsa, dan pihak lain sebagai penindas.

Sejarah Singapura bukanlah sesuatu yang teratur atau kemas. Ia dibentuk oleh kompromi yang sukar, kebimbangan yang nyata dan pilihan yang dibuat dalam keadaan terdesak.

Yang membezakan Singapura ialah kesediaannya untuk membina masa depan tanpa terikat kepada sentimen etnik dan agama sebagai alat mobilisasi politik.

Dalam dunia hari ini, di mana populisme berteraskan identiti semakin menular, pengajaran ini menjadi lebih mendesak.

Namun, berbangga dan mengakui kebijaksanaan pilihan masa lalu tidak bermakna kita boleh berasa selesa atau angkuh.

Singapura kekal sebuah negara kecil tanpa sumber semula jadi, bergantung sepenuhnya kepada kestabilan serantau dan sistem perdagangan global. Kelangsungan negara ini bukan sesuatu yang terjamin secara automatik.

Ia memerlukan kesedaran dan pemahaman mendalam tentang keterbatasan kita, serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan geopolitik dan ekonomi.

Di sinilah pentingnya diplomasi yang berhemah, khususnya dalam hubungan Singapura dengan negara jiran di rantau ini.

Asia Tenggara bukan sekadar ruang geopolitik, tetapi satu rantau yang terikat oleh sejarah panjang interaksi budaya, bahasa, perdagangan dan jaringan kekeluargaan yang wujud jauh sebelum lahirnya sempadan politik moden.

Kesedaran ini menuntut kita untuk sentiasa mendekati hubungan serantau dengan sikap rendah hati dan realisme, memahami sensitiviti sejarah serta perbezaan sistem politik yang membentuk setiap negara.

Walaupun pendekatan tadbir urus dan ideologi politik kita mungkin berbeza, hubungan antara rakyat dengan rakyat tidak seharusnya terheret oleh retorik nasionalis sempit atau sentimen lama yang diwarisi daripada konflik masa silam.

Hubungan serantau yang sihat tidak dibina melalui perbandingan siapa lebih berjaya atau lebih “maju”, tetapi melalui saling menghormati, empati dan kesediaan untuk bekerjasama dalam menangani cabaran bersama.

Dalam hal ini, Singapura boleh memainkan peranan sebagai rakan yang konstruktif, stabil dan boleh dipercayai dalam menyumbang kepada kemakmuran bersama rantau ini.

Dalam konteks ini, kemajuan yang dicapai Singapura melalui tadbir urus yang baik, institusi yang kukuh dan undang-undang yang adil boleh dikongsi melalui kerjasama ekonomi, pendidikan dan pembangunan rakyat.

Kerjasama ini tidak seharusnya merupakan satu manifestasi keangkuhan atau rasa unggul, tetapi satu tanggungjawab moral dan strategik. Ini selari dengan realiti bahawa keamanan dan kemakmuran Singapura berkait rapat dengan kestabilan serantau.

Namun, peringatan paling penting daripada sejarah 60 tahun lalu bagi saya ialah bahaya politik perkauman.

Era itu menyaksikan bagaimana sentimen sedemikian dieksploitasi untuk meraih kuasa, dengan akibat yang memecahbelahkan masyarakat.

Hari ini, godaan itu masih wujud – sama ada dalam bentuk nostalgia terhadap “ketuanan”, dinasti politik sekular, atau tuntutan agar agama mencampuri hak dan kebebasan warga.

Sejarah mengajar kita bahawa sedang Singapura tidak sempurna, namun negara ini dan rakyatnya tidak memerlukan semua itu.

Apa yang diperlukan ialah pemerintahan yang cekap, sistem yang telus dan adil serta undang-undang yang melindungi semua tanpa mengira latar belakang.

Fail Albatross mungkin menambah lapisan baru kepada pemahaman kita mengenai sejarah dan rentetan kemerdekaan Singapura.

Tetapi pengajaran terbesarnya kekal sama: masa depan negara ini tidak ditentukan oleh siapa yang “menang” dalam perdebatan sejarah, tetapi oleh keupayaan kita untuk mempertahankan prinsip yang telah membawa kita sejauh ini.

Pameran Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura yang Bukan Rahsia kini berlangsung di Bangunan Perpustakaan Negara. Orang ramai boleh menempah tiket di https://thealbatrossfile.nlb.gov.sg/.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg