Dengan hanya beberapa sentuhan di skrin telefon bijak dan dalam hanya sebahagian masa yang anda gunakan untuk membaca artikel ini, saya berjaya menebus Baucar CDC baru-baru ini.
Menggunakan baucar ini juga mudah. Saya hanya perlu tunjukkan kod QR yang selaras dengan jumlah wang diperlukan; kepada pekedai. Menyusuli itu, pekedai tersebut akan menggunakan telefon bijak sendiri untuk mengimbas kod QR tersebut.
Urus niaga antara pembeli dengan pekedai itu, termasuk proses pengesan kod QR, mengambil masa beberapa saat sahaja.
Proses ini amat berbeza bagi golongan yang bukan pengguna telefon bijak, seperti golongan warga emas, atau orang berkeperluan khas.
Jika mereka tiada saudara atau rakan dipercayai yang boleh membantu secara langsung, biasanya mereka perlu pergi ke kelab masyarakat untuk menebus baucar yang dicetak dan baucar versi cetak ini - yang dibahagi-bahagikan mengikut jumlah $2, $5 dan $10 - perlu diberikan kepada pekedai apabila berbelanja.
Sebab itu, saya tertarik pada pengumuman pengagihan baucar CDC kali ini yang turut memperuntuk lebih banyak bantuan sokongan untuk berbuat demikian sempena pengagihan baucar terbaru ini.
Pada minggu pertama ia dilancarkan, lebih 200 sukarelawan dari institusi pendidikan, seperti ITE Kolej Central, Politeknik Nanyang dan Institusi Hwa Chong ‘dikerah’ ke kelab masyarakat tertentu untuk membantu penduduk yang memerlukan sokongan.
Selain pelajar itu, kakitangan agensi awam juga menghulurkan sokongan secara sukarela.
Usaha relawan ini penting, kerana ia menambah kepada usaha Duta CDC yang keluar mendekati penduduk bagi tujuan yang sama.
Sehingga 26 Mei ini, Duta Digital Pejabat Digital SG (SDO) dan duta kesejahteraan Silver Infocomm juga akan berada di beberapa kelab masyarakat serata negara untuk membantu penduduk menebus baucar CDC masing-masing.
Malah, melebihi tempoh itu, warga Singapura yang memerlukan juga boleh terus menambah kemahiran digital yang boleh digunakan dalam hidup harian daripada duta digital SDO. Selain belajar cara-cara menebus baucar CDC, mereka boleh belajar pelbagai kemahiran digital asas lain, seperti memulakan akaun media sosial dan melungsur Internet secara selamat di 36 Hab Masyarakat Digital dan lebih 200 kaunter digital bergerak di serata negara.
Kaedah sebegini untuk membantu warga yang kurang mesra teknologi atau tidak mempunyai akses kepada teknologi memerlukan tenaga kerja yang banyak untuk diamalkan, tetapi bimbingan peribadi seperti ini, bagi saya, lebih berkesan daripada sekadar mengeluarkan risalah bimbingan.
Dari sudut pandang lebih besar, ia juga memberi isyarat penting kepada semua warga, bahawa peredaran teknologi pesat mungkin menjejas cara kita menjalani hidup, tetapi sesiapa yang rela dan berminda terbuka untuk mencuba tidak akan disesiakan dan akan diberi sokongan yang sewajarnya untuk turut menikmati perubahan ini.
Hakikat ini turut dirasakan oleh pembaca Berita Harian (BH), iaitu penerima langsung perubahan yang dianjak akhbar ini sejak ia menjalani transformasi sekitar dua tahun lalu.
Sebagaimana yang disampaikan akhbar ini sepanjang tempoh itu, dan yang ketara dilihat pada tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), berita disampaikan kepada pembaca dalam pelbagai bentuk yang boleh dipilih pembaca mengikut citarasa masing-masing.
Sebagai contoh, kumpulan yang lebih gemar menerima berita dalam bentuk tradisional, boleh terus membaca atau melanggan versi cetak akhbar ini.
Mereka yang mahu paparan lebih visual boleh membaca berita melalui wadah web dan pelbagai media, termasuk menerusi laman rasmi dan aplikasi khusus.
Jika wadah-wadah berikut tidak selaras dengan citarasa, pembaca juga boleh mendapatkan tajuk berita dan rumusan berita dan isu-isu penting melalui video dan rumusan berita atau isu oleh akhbar ini media sosial.
Berpandukan hasrat menjadi lebih inklusif, BH turut berusaha mendekatkan laporan kami kepada pembaca.
Sebagai contoh, pembaca yang kurang mesra dengan Bahasa Melayu boleh membaca artikel yang sama dalam bahasa Melayu juga di laman web. Ini dibolehkan dengan menggunakan alat alih bahasa yang kami terapkan dalam laman web rasmi.
Isyarat yang ingin kami sampaikan kepada masyarakat ialah kami mahu anda membaca dan menikmati kandungan berita kami menerusi cara yang paling selesa untuk anda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg