Topik diikuti
Pergi ke BHkuPindaan Amla cerminkan institusi Islam terus berkembang seiring perubahan keluarga
Reformasi perundangan mesti dilengkapi dengan sistem sokongan keluarga lebih kukuh, intervensi awal, dan bantuan pasca-perceraian supaya keluarga dan kanak-kanak rentan dapat sokongan mencukupi
Pindaan Amla cerminkan institusi Islam terus berkembang seiring perubahan keluarga
Undang-undang bukan sesuatu yang wujud dalam ruang vakum.
Ia perlu berkembang apabila masyarakat berubah, bentuk keluarga menjadi semakin rencam dan cabaran kehidupan menjadi lebih rumit.
Atas sebab itu, pindaan yang dicadangkan kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) wajar dilihat bukan sekadar sebagai usaha mempermudah proses perceraian.
Lebih penting, ia mencerminkan bagaimana institusi Islam Singapura terus menyesuaikan diri dengan keperluan masyarakat – sambil kekal berpaksikan prinsip hukum Islam.
Antara pindaan yang paling ketara ialah kuasa yang bakal diberikan kepada Mahkamah Syariah (SYC) untuk mengetepikan pelantikan hakam dalam kes talak tafwidh tertentu - yang merujuk kepada tindakan suami menyerahkan hak atau kuasa melepaskan talak kepada isteri - apabila kedua-dua pihak telah bersetuju untuk berpisah.
Pasangan yang telah menyelesaikan semua isu berkaitan perceraian mereka boleh menamatkan proses perceraian sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.
Keperluan dua saksi dalam kes fasakh tertentu juga boleh diketepikan apabila alasan perceraian dapat dibuktikan melalui cara lain seperti dokumen.
Ini penting kerana proses undang-undang tidak seharusnya menambah penderitaan kepada keluarga apabila sesuatu perkahwinan sememangnya tidak lagi dapat diselamatkan.
Dalam undang-undang keluarga Islam, fasakh ialah pembatalan atau pembubaran perkahwinan melalui keputusan Mahkamah Syariah berdasarkan sebab-sebab tertentu yang dibenarkan oleh hukum Syarak.
Usaha mendamaikan pasangan tetap penting.
Malah sejak 2018, pasangan perlu menjalani Program Kaunseling Perkahwinan sebelum memfailkan perceraian.
Namun, terdapat perbezaan antara memberi ruang kepada perdamaian dengan mengekalkan prosedur yang tidak lagi mempunyai tujuan praktikal dalam sesuatu kes.
Prinsip yang harus menjadi panduan ialah mudah: prosedur mesti berkhidmat kepada keadilan, bukan sebaliknya.
Anak bukan sekadar isu sampingan
Satu lagi langkah penting ialah meletakkan kebajikan anak secara jelas sebagai pertimbangan utama SYC.
Meskipun ini sekadar memberi pengesahan kepada amalan sedia ada sekarang, menyertakannya secara jelas dalam Amla menghantar isyarat penting bahawa dalam pertikaian antara dua orang dewasa, kepentingan anak adalah keutamaan.
SYC juga bakal diberi kuasa jelas untuk membenarkan atau menghalang seseorang anak daripada dibawa berpindah ke luar negara. Ia mencerminkan realiti keluarga hari ini - termasuk perkahwinan rentas negara dan ibu bapa yang berpindah kerana pekerjaan.
Perubahan ini tidak berlaku secara bersendirian.
SYC telah memperkenalkan Khidmat Pakar Terapeutik, Skim Wakil Kanak-Kanak dan pendekatan mediasi.
Inisiatif-inisiatif ini menekankan pendekatan penjagaan bersama yang berpaksikan kanak-kanak bagi keluarga Muslim dalam kes perceraian.
Skim Wakil Kanak-Kanak, misalnya, membolehkan pandangan anak disampaikan secara bebas kepada mahkamah. Panel skim itu diperluas daripada dua kepada empat anggota pada April 2026.
Ini menandakan evolusi penting dalam pemikiran tentang perceraian.
Kejayaan sistem tidak boleh diukur hanya daripada seberapa cepat sesuatu kes ditutup. Ia juga harus dinilai daripada keadaan keluarga selepas kes selesai: Adakah anak berasa selamat? Bolehkah ibu bapa bekerjasama? Adakah konflik berterusan? Adakah keluarga mampu membina semula kehidupan mereka?
Institusi yang responsif
Pindaan Amla juga harus dilihat dalam konteks lebih luas mengenai kekuatan institusi Islam Singapura.
Memberi SYC kuasa menangani isu kewangan dan anak selepas perceraian Islam yang diperoleh di luar negara, misalnya, mengurangkan keperluan keluarga berurusan dengan mahkamah-mahkamah berbeza bagi isu yang saling berkait.
Pada masa sama, pindaan Amla turut menyediakan kerangka bagi Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), termasuk meletakkan pengawasan institusi itu sebagai sebahagian daripada fungsi berkanun Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Kedua-duanya mungkin kelihatan seperti perkara berbeza. Tetapi asasnya sama: institusi Islam tidak boleh statik.
Masyarakat kini lebih berpendidikan, lebih global dan berdepan persoalan keluarga, agama dan identiti yang jauh lebih kompleks.
Institusi yang kukuh bukan institusi yang enggan berubah.
Sebaliknya, ia mempunyai keyakinan untuk berubah tanpa kehilangan prinsip asasnya.
Undang-undang sahaja tidak memadai
Di sinilah pindaan terbaru ini juga perlu menjadi titik permulaan kepada perbincangan seterusnya.
Semasa konsultasi awam yang dilaksanakan sebagai persiapan bagi pindaan Amla ini, antara isu yang dibangkitkan ialah bagaimana kebajikan anak dinilai dalam perceraian berkonflik tinggi, keperluan laluan lebih fleksibel kepada perlindungan dan kaunseling dalam kes keganasan keluarga atau kawalan paksaan, serta perlunya koordinasi lebih kukuh antara agensi.
Ini penting.
Mempercepat proses bagi pasangan yang telah mencapai persetujuan adalah satu aspek.
Mengendalikan perceraian yang melibatkan penderaan, masalah kesihatan mental, kesulitan kewangan, pengasingan anak daripada salah seorang ibu bapa atau konflik berpanjangan adalah cabaran yang sama sekali berbeza.
Malah, SYC sendiri telah mengenal pasti perceraian berkonflik tinggi dan sokongan kepada individu yang mewakili diri sendiri sebagai antara cabaran penting sistem keadilan keluarga.
Sokongan juga tidak seharusnya berakhir apabila hakim mengeluarkan perintah.
Program seperti Children-in-Between kendalian Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), kaunseling keluarga serta khidmat lawatan dan pertukaran anak di bawah pengawasan sudah pun tersedia.
Namun persoalannya ialah sama ada keluarga yang paling memerlukannya benar-benar mendapat akses secara mudah, awal dan berterusan.
Kita juga harus meneliti dengan lebih dekat isu pematuhan selepas perceraian - daripada nafkah dan aturan akses kepada pelaksanaan tanggungjawab keibubapaan.
Perintah mahkamah hanya benar-benar bermakna jika ia dapat diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih stabil bagi anak dan penjaganya.
Daripada mengurus perceraian kepada membina daya tahan keluarga
Matlamat lebih besar tidak seharusnya hanya untuk mewujudkan proses perceraian yang lebih baik.
Ia harus merangkumi ekosistem sokongan keluarga yang lebih menyeluruh - daripada persediaan sebelum perkahwinan, intervensi awal apabila rumah tangga menghadapi masalah, hinggalah sokongan kepada keluarga selepas perceraian.
Angka terkini menunjukkan perceraian pasangan Islam meningkat daripada 1,440 pada 2024 kepada 1,658 pada 2025, sementara jumlah perkahwinan turun daripada 5,184 kepada 5,006.
Angka ini tidak harus dibaca secara simplistik sebagai tanda institusi perkahwinan semakin lemah. Tetapi ia cukup untuk mengingatkan kita bahawa realiti keluarga sedang berubah.
Pindaan Amla menunjukkan institusi Islam Singapura mampu bergerak bersama perubahan itu.
Cabaran seterusnya ialah memastikan sistem bukan sahaja lebih cekap apabila sebuah perkahwinan berakhir, tetapi lebih berupaya menjaga mereka yang paling terkesan, membantu keluarga membina semula kehidupan dan, seberapa mungkin, menguatkan perkahwinan sebelum ia sampai ke ambang perpisahan.