Kepulan asap yang menyelubungi Singapura sejak beberapa minggu lalu bukan sekadar menjejas mutu udara.

Ia turut menguji hubungan diplomatik antara Singapura dengan Indonesia, dua negara jiran yang mempunyai hubungan ekonomi, politik dan sejarah yang erat.

Isu jerebu rentas sempadan, disusuli pengurangan bekalan gas asli dari Indonesia ke Singapura, mencetuskan pertikaian hangat.

Kenyataan beberapa pemimpin politik Indonesia, termasuk tokoh yang pernah memegang jawatan tinggi, menambahkan lagi ketegangan.

Namun, di sebalik pertikaman lidah dan kebimbangan awam, episod ini memberikan gambaran penting tentang seni diplomasi Singapura – bagaimana sebuah negara kecil mempertahankan kepentingannya tanpa membiarkan perbezaan pandangan merosakkan hubungan dengan jiran yang jauh lebih besar, dan yang hubungannya kita hargai.

Tegas tanpa perlu bermusuhan

Lawatan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, ke Jakarta pada 27 hingga 29 Oktober memperlihatkan pendekatan tersebut.

Beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Encik Arrmanatha Christiawan Nasir, sebelum menemui Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.

Kedua-dua negara bersetuju menubuhkan pasukan petugas bersama bagi menangani masalah jerebu, termasuk memperkukuh perkongsian maklumat dan kerjasama penguatkuasaan.

Lebih penting, Dr Balakrishnan menjelaskan bahawa komunikasi pada peringkat tertinggi antara Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dengan Presiden Prabowo, telah menghasilkan komitmen politik untuk menangani sebarang perbezaan pendirian.

Inilah pendekatan diplomasi Singapura.

Singapura tidak bertindak secara keterlaluan terhadap kenyataan provokatif, tetapi pada masa yang sama tidak memandang ringan implikasi perkembangan tersebut.

Kita tidak perlu membalas setiap kenyataan keras dengan kenyataan yang lebih keras.

Diplomasi bukan pertandingan menentukan siapakah paling lantang bersuara.

Namun, sikap tenang juga tidak bermakna kita harus berdiam diri apabila kepentingan negara terjejas.

Indonesia merupakan jiran dan rakan penting Singapura.

Hubungan ekonomi kedua-dua negara saling bergantung, manakala kerjasama dalam bidang keselamatan, pelaburan dan tenaga membawa manfaat bersama.

Tetapi persahabatan antara negara tidak bermakna kepentingan nasional mereka sentiasa sehaluan.

Indonesia berhak mengutamakan pembangunan dan keperluan rakyatnya.

Singapura pula mempunyai tanggungjawab memastikan keselamatan bekalan tenaga, melindungi kesihatan rakyat dan mempertahankan kepentingan ekonominya.

Perbezaan sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa.

Yang menentukan kematangan hubungan dua negara adalah keupayaan menguruskan perbezaan tersebut tanpa mengorbankan prinsip atau merosakkan kepercayaan.

Dunia berbeza bagi kepimpinan 4G

Episod ini juga harus dilihat dalam konteks dunia yang sedang berubah.

Dunia yang dihadapi Encik Wong dan barisan kepimpinan generasi keempat (4G) bukan lagi dunia yang diwarisi para pendahulu mereka.

Persaingan antara Amerika Syarikat dengan China semakin melangkaui soal ketenteraan dan perdagangan.

Kedua-dua kuasa besar itu turut bersaing dalam bidang teknologi, rantaian bekalan, pelaburan dan pengaruh strategik.

Di rantau kita, Indonesia semakin tegas menentukan keutamaan pembangunan dan sumber negaranya.

Malaysia juga mempunyai kepentingan ekonomi dan politik tersendiri yang perlu diuruskan dalam hubungan dua hala.

Semakin sukar untuk memisahkan ekonomi daripada geopolitik.

Bekalan tenaga, misalnya, bukan lagi semata-mata urusan perdagangan.

Ia turut berkait dengan keselamatan negara, pertimbangan politik domestik dan hubungan antara pemerintah.

Bagi Singapura, yang bergantung pada dunia luar untuk mendapatkan pelbagai keperluan asas, perubahan ini membawa cabaran besar.

Saiz ekonomi, kemajuan teknologi dan reputasi sebagai negara yang cekap tidak dengan sendirinya melindungi kita daripada tekanan luar.

Sebab itulah Singapura memerlukan pemimpin yang bukan sahaja mampu menguruskan negara dengan baik, bahkan berupaya berunding dengan negara lebih besar dan berkuasa tanpa menjejas kedaulatan serta kepentingan nasional.

Kelayakan akademik, kebolehan pentadbiran dan kecekapan teknokratik tetap penting.

Namun, semua itu sahaja tidak mencukupi.

Kepimpinan dalam dunia yang semakin rumit memerlukan pertimbangan politik yang matang, pandangan strategik yang jauh, kewibawaan diplomatik dan keupayaan memahami individu di seberang meja rundingan.

Ia menuntut kebijaksanaan menentukan bila perlu bertegas, bila perlu bertolak ansur dan bila lebih baik menyelesaikan sesuatu isu melalui perbincangan tertutup daripada perdebatan terbuka.

Keputusan sedemikian tidak boleh dibuat berdasarkan formula pentadbiran semata-mata.

Pendidikan Nasional daripada episod diplomatik

Bagi rakyat Singapura, perkembangan ini juga merupakan satu bentuk Pendidikan Nasional yang amat nyata.

Kita sudah terlalu biasa dengan kehidupan yang stabil, bekalan elektrik yang berterusan, udara yang bersih dan perkhidmatan awam yang cekap.

Segala-galanya seolah-olah berjalan dengan sendirinya.

Namun, episod jerebu dan bekalan gas ini mengingatkan kita bahawa kestabilan yang dinikmati bukan sesuatu yang terjamin.

Ia hasil perancangan jangka panjang, kepelbagaian sumber bekalan, hubungan diplomatik yang dibina selama puluhan tahun serta keputusan sukar yang mungkin tidak sentiasa dapat dilihat dengan mata kasar.

Kita tidak boleh menganggap bahawa negara lain akan sentiasa memenuhi keperluan Singapura hanya kerana kita mampu membayar, mempunyai perjanjian atau menjalin hubungan baik.

Kita juga tidak boleh mempunyai sikap seolah-olah Singapura berhak mendapat layanan istimewa daripada negara jiran.

Dalam hubungan antarabangsa, setiap negara mempunyai rakyat, tekanan politik dan kepentingan sendiri.

Kesedaran ini tidak bermakna rakyat harus menerima segala tindakan negara lain tanpa persoalan.

Sebaliknya, ia menuntut pemahaman lebih matang tentang batas pengaruh sebuah negara kecil dan pentingnya membina daya tahan sendiri.

Rakyat juga perlu memahami diplomasi yang berkesan tidak semestinya menghasilkan kemenangan yang segera atau dapat dipamerkan kepada umum.

Adakalanya, kejayaan terbesar adalah mengelakkan pertikaian daripada menjadi krisis yang lebih buruk.

Kekuatan negara kecil

Singapura tidak mampu mengubah hakikat geografinya.

Kita akan terus hidup berjiran dengan negara yang jauh lebih besar, dengan keutamaan dan kepentingan yang mungkin berbeza.

Namun, kita boleh menentukan bagaimana menghadapi hakikat tersebut.

Kekuatan Singapura bukan terletak pada kemampuan memaksa negara lain mengikut kehendak kita, tetapi pada kebolehan membina kepercayaan, mempertahankan prinsip, mempelbagaikan pilihan dan mencari penyelesaian melalui diplomasi yang bijaksana.

Episod dengan Indonesia ini tampak akhirnya dapat diselesaikan melalui rundingan dan kerjasama.

Tetapi pengajaran yang ditinggalkannya jauh lebih besar.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, Singapura memerlukan kepimpinan yang bukan sekadar cekap menguruskan apa yang berlaku di dalam negara, malah, bijak mengharungi pergolakan di luar sempadannya.

Dan rakyat Singapura pula harus sedar bahawa keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang kita nikmati bukan hak yang datang secara automatik.

Semuanya perlu terus diusahakan, dipertahankan dan dipelihara.

SALING BERGANTUNG

“

Indonesia merupakan jiran dan rakan penting Singapura. Hubungan ekonomi kedua-dua negara saling bergantung, manakala kerjasama dalam bidang keselamatan, pelaburan dan tenaga membawa manfaat bersama. Tetapi persahabatan antara negara tidak bermakna kepentingan nasional mereka sentiasa sehaluan. Indonesia berhak mengutamakan pembangunan dan keperluan rakyatnya. Singapura pula mempunyai tanggungjawab memastikan keselamatan bekalan tenaga, melindungi kesihatan rakyat dan mempertahankan kepentingan ekonominya.
PUCUK PIMPINAN DALAM DUNIA BERUBAH

“

Bagi Singapura, yang bergantung pada dunia luar untuk mendapatkan pelbagai keperluan asas, perubahan ini membawa cabaran besar. Saiz ekonomi, kemajuan teknologi dan reputasi sebagai negara yang cekap tidak dengan sendirinya melindungi kita daripada tekanan luar. Sebab itulah Singapura memerlukan pemimpin yang bukan sahaja mampu menguruskan negara dengan baik, bahkan berupaya berunding dengan negara lebih besar dan berkuasa tanpa menjejas kedaulatan serta kepentingan nasional.
KEPENTINGAN SENDIRI DALAM HUBUNGAN ANTARABANGSA

“

Kita tidak boleh menganggap bahawa negara lain akan sentiasa memenuhi keperluan Singapura hanya kerana kita mampu membayar, mempunyai perjanjian atau menjalin hubungan baik. Kita juga tidak boleh mempunyai sikap seolah-olah Singapura berhak mendapat layanan istimewa daripada negara jiran. Dalam hubungan antarabangsa, setiap negara mempunyai rakyat, tekanan politik dan kepentingan sendiri. Kesedaran ini tidak bermakna rakyat harus menerima segala tindakan negara lain tanpa persoalan. Sebaliknya, ia menuntut pemahaman lebih matang tentang batas pengaruh sebuah negara kecil dan pentingnya membina daya tahan sendiri.
Penulis.