Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan utama bagi masyarakat Melayu Singapura.
Ia menandakan berakhirnya Ramadan dan disambut dengan penuh kegembiraan serta kesyukuran.
Salah satu amalan yang menjadi tunjang dalam perayaan ini ialah tradisi ziarah-menziarahi, yang memperkukuh jalinan sosial dan kekeluargaan dalam masyarakat Melayu.
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad, atau MAS, dalam karyanya, Bicara tentang adat dan tradisi (1993), menekankan betapa pentingnya tradisi ini dalam membentuk identiti dan keharmonian masyarakat Melayu.
Tradisi ziarah Aidilfitri telah lama diamalkan oleh masyarakat Melayu.
Menurut Allahyarham Dr Muhammad Ariff, sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi masyarakat Melayu dahulu bermula sebaik sahaja terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadan, menandakan permulaan 1 Syawal.
Pada waktu ini, umat Islam akan mengumandangkan takbir di rumah, surau, dan masjid sebagai tanda kesyukuran dan pengagungan kepada Allah swt.
Di kampung-kampung, selepas solat maghrib dan takbir, setiap keluarga akan mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat secara bergilir-gilir dari satu rumah ke rumah yang lain sepanjang malam.
Jemaah kenduri akan berpindah dari rumah ke rumah hingga dinihari, dan di setiap rumah, mereka akan dijamu dengan hidangan istimewa Hari Raya.
Setiap doa yang dibacakan di rumah-rumah tersebut akan dimulakan dengan takbir, mencerminkan rasa syukur dan kebersamaan.
Amalan ini bukan sahaja mempererat hubungan kekeluargaan bahkan mengukuhkan semangat kejiranan.
Kemudian, pada pagi Hari Raya, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, orang Melayu dahulu akan segera menziarahi kubur ahli keluarga yang telah meninggal dunia sebagai tanda ingatan dan penghormatan.
Seterusnya, mereka akan mengunjungi rumah ibu bapa, sanak saudara, guru-guru, dan jiran tetangga untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim.
Dahulu, ketika berziarah, pakaian yang diharuskan ialah, “pakaian kebangsaan atau pakaian yang senonoh menurut nilai Islam” (Ahmad, 1993, m.s 70) kerana selain menjunjung tinggi nilai kebudayaan, pakaian Hari Raya juga melambangkan peribadi dan nilai si pemakai.
Seandainya seseorang berpakaian santai sahaja ketika kunjung-mengunjung, ia boleh dikira sebagai kurang sopan.
Pemberian ‘duit raya’ kepada kanak-kanak juga menjadi sebahagian daripada tradisi, melambangkan kemurahan hati dan kegembiraan dalam meraikan Aidilfitri.
Salah satu ciri penting dalam tradisi ziarah Aidilfitri masyarakat Melayu Singapura ialah amalan bermaaf-maafan.
Dalam penulisannya, Dr Muhammad Ariff (1993) turut merujuk kepada konsep halal-bilhalal dalam bermaaf-maafan ketika ziarah Aidilfitri.
Istilah halal-bilhalal ini dapat difahami dari aspek bahasa sebagai usaha menguraikan kekusutan hubungan persaudaraan dengan saling memaafkan, sehingga hubungan yang sebelumnya tegang atau renggang dapat kembali harmonis (Shihab,1992).
Dalam usahanya menekankan kepentingan amalan bermaaf-maafan ini dalam adat Melayu, Dr Muhammad Ariff, malah merakamkan bukan sahaja urutan proses meminta maaf ketika Aidilfitri, malah lafaz-lafaz tertentu yang sebaiknya diungkapkan.
Menurut beliau, proses bermaaf-maafan, atau ‘menyembah’, dimulai dengan menemui ibu terlebih dahulu (sejajar dengan kata-kata hikmah bahawa (syurga terletak di bawah kaki ibu), diikuti oleh bapa, kemudian datuk dan nenek (jika masih ada), dan seterusnya kepada anggota keluarga lain yang lebih tua, sebelum beralih kepada yang lebih muda.
Dalam konteks ini, ‘menyembah’ merujuk kepada tindakan duduk bersimpuh di hadapan orang tua, menjabat tangan kanan mereka dengan kedua-dua tangan sambil mencium tangan tersebut, dan mengucapkan permohonan maaf secara formal.
Tangan kiri orang tua biasanya diletakkan di bahu kanan anak yang memohon maaf, sambil memberikan nasihat dan doa restu.
Proses ini menunjukkan penghormatan mendalam kepada orang tua dan penekanan terhadap nilai kekeluargaan serta adab sopan dalam masyarakat Melayu tradisional.
Dalam upacara ‘menyembah’, terdapat lafaz tertentu yang Dr Muhammad Ariff catatkan sebagai molek untuk diucapkan oleh seorang anak kepada ibu bapa sebagai permohonan maaf.
Menurutnya, anak akan memulakan dengan membaca:
“A’udzubillahi minasy-syaitanir rajim. Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma rabbana atina fid-dunya hasanah, wa fil-akhirati hasanah, wa qina ‘azab an-nar.”
Setelah itu, anak mengucapkan: “Pada hari baik bulan baik ini, saya (sebutkan nama) mohon ampun dan maaf atas segala salah silap yang zahir dan batin yang telah saya lakukan sepanjang tahun ini, serta mohon dihalalkan dan diredai segala yang termakan dan terminum daripada makan minum ibu/bapa.”
Ibu atau bapa kemudian menjawab sambil membelai lembut bahu anak: “Emak/bapa terima permohonanmu. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa kita dan memberkati kehidupan kita semua.”
Lafaz ini mencerminkan kedalaman adat bermaaf-maafan dalam budaya Melayu, menekankan keikhlasan dan penghormatan antara anggota keluarga.
Seiring dengan perubahan zaman dan pembandaran, amalan ziarah Aidilfitri dalam masyarakat Melayu Singapura telah melalui beberapa transformasi.
Kehidupan kita di pangsapuri dan jadual kerja yang sibuk menyebabkan tradisi kenduri malam Raya secara bergilir-gilir dari rumah ke rumah sukar diteruskan.
Sebagai alternatif, masyarakat kini cenderung mengadakan rumah terbuka pada hari tertentu dalam Syawal, apabila keluarga dan rakan-rakan dijemput untuk berkumpul dan meraikan bersama.
Amalan ini masih mengekalkan semangat keterbukaan dan silaturahim, walaupun dalam bentuk berbeza.
Tradisi pemakaian pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju Melayu semasa Hari Raya Aidilfitri terus diamalkan oleh masyarakat Melayu Singapura.
Walaupun reka bentuknya telah mengalami evolusi dengan sentuhan moden, inti pati dan nilai budaya dalam pemakaiannya tetap terpelihara.
Busana pilihan ini bukan melambangkan penghormatan terhadap warisan budaya sahaja, bahkan juga menzahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan sempena hari mulia.
Rekaan moden yang disesuaikan dengan cita rasa semasa telah menjadikan pakaian tradisional ini terus relevan dan diminati oleh pelbagai generasi.
Bagaimanapun, amalan bermaaf-maafan semasa Aidilfitri telah melalui perubahan ketara.
Ungkapan tradisional yang panjang dan formal kini sering digantikan dengan frasa ringkas seperti: “Selamat Hari Raya, maaf zahir batin, halalkan makan minum, kalau tergurau, maafkan.”
Selain itu, istilah seperti, “kosong-kosong ya?” digunakan untuk melambangkan permulaan baru tanpa sebarang kesalahan lampau.
Ucapan memohon maaf yang dahulunya disampaikan secara bersemuka kini sering digantikan dengan mesej teks, panggilan video, atau hantaran di wadah media sosial sahaja.
Frasa-frasa yang sudahpun ringkas, malah diringkaskan lagi dengan ungkapan seperti, “SHRMZB” atau “Mat Hari Raye!” sahaja.
Dalam era moden kini, terdapat beberapa cabaran dalam memulihara tradisi ziarah Aidilfitri.
Kesibukan kerja dan sekolah, komitmen peribadi, dan jarak geografi (ramai juga saudara-mara yang bermastautin di luar negara) sering menjadi halangan untuk menziarahi semua sanak saudara dan sahabat handai.
Tradisi ziarah Aidilfitri dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura pastinya telah melalui transformasi seiring perubahan zaman dan pengaruh budaya sejagat.
Namun, walaupun cara pelaksanaannya mungkin berbeza daripada generasi terdahulu, inti pati dan niat di sebalik amalan ini tetap relevan dan bermakna.
Walaupun bentuk ziarah telah berubah, niat utama di sebalik amalan ini – iaitu mempererat hubungan kekeluargaan, memohon maaf, dan memperbaharui ikatan persaudaraan – masih kekal utuh.
Generasi muda mungkin menggunakan ungkapan lebih ringkas atau santai, namun tujuan asasnya tetap sama, untuk membersihkan hati dan memulakan lembaran baru dalam hubungan sesama manusia.
Ekspresi semangat Aidilfitri kita pada masa ini mungkin terserlah melalui cara lebih kontemporari, seperti merakam video kreatif atau berkongsi gambar perayaan di media sosial.
Kegiatan seperti merakam cabaran tarian TikTok bersama ketika berziarah atau sesi fotografi dengan tema dan gaya tertentu menjadi pilihan bagi masyarakat Melayu moden mencipta kenangan unik dan bersifat peribadi ketika merai Aidilfitri.
Walaupun pendekatan ini berbeza daripada tradisi lama, ia tetap merupakan usaha untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan meraikan Aidilfitri dengan cara yang bermakna.
Walaupun terdapat perubahan dan cabaran, adalah penting masyarakat Melayu Singapura terus mempertahankan tradisi ziarah Aidilfitri.
Dr Muhammad Ariff turut membincangkan konsep hari baik bulan baik, yang merujuk kepada keistimewaan Hari Raya Aidilfitri dan hari-hari dalam Syawal mulia sebagai masa sesuai memperbaiki hubungan dan mempererat silaturahim.
Semangat berziarah dan bermaaf-maafan di hari baik bulan baik ini harus dipertahankan.
Amalan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan kekeluargaan dan sosial, bahkan memelihara identiti budaya dan nilai murni yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Dengan menyesuaikan tradisi ini mengikut konteks semasa tanpa mengorbankan inti patinya, masyarakat dapat memastikan semangat Aidilfitri dan nilai yang dibawanya tetap subur dalam kehidupan moden.
Ziarah Aidilfitri merupakan tradisi yang kaya dengan makna dan nilai dalam masyarakat Melayu Singapura.
Walaupun bentuk dan pelaksanaannya telah berubah seiring perkembangan zaman, semangat dan tujuan utamanya tetap relevan.
Dengan memahami sejarah, makna, dan kepentingan tradisi ini, serta menyesuaikannya dengan realiti kehidupan moden, masyarakat Melayu Singapura dapat terus memelihara dan menghidupkan amalan ziarah Aidilfitri sebagai warisan budaya yang berharga.
Semoga tradisi ini terus mekar, seperti jambak-jambak bunga mawar yang menghiasi rumah pada pagi Syawal, mengharumkan silaturahim dan memperkukuh ukhuwah.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin.
Rujukan:
Ahmad, Muhammad Ariff (1993). Bicara tentang adat dan tradisi. Pustaka Nasional, Singapura. Boleh diakses di: https://repository.nie.edu.sg/bitstreams/fce267f0-d8ba-4874-abc3-187e76fc8f7d/download
Shihab, M. Q. (1992). Membumikan Al-Qur’an: Fungsi dan Peran Wahyu dalam Kehidupan Masyarakat. Bandung: Mizan.
Penulis pensyarah di Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, di Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg