Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Banci Penduduk 2020: Keutamaan basmi kemiskinan, jurang pendapatan

Jun 27, 2021 | 05:30 AM



BARU-BARU ini, Jabatan Perangkaan Singapura telah mengeluarkan laporan banci penduduk 2020. Banci penduduk yang diterbitkan sekali dalam sedekad itu mengandungi maklumat penting mengenai demografi penduduk, tahap pendidikan, sosial, ekonomi, keluarga, bahasa dan agama.



Walaupun data-data ini memberikan perangkaan secara umum, kita boleh menilai kedudukan kemajuan kita sebagai sebuah masyarakat, tanpa terlalu keterlaluan dalam membandingkan kedudukan kita dengan kaum-kaum lain.



Kita perlukan pendekatan lebih kontekstual apabila menilai pencapaian berdasarkan kaum kerana titik permulaan bagi setiap masyarakat adalah berbeza.



Khusus berkenaan masyarakat Melayu, ada beberapa perangkaan dalam banci kali ini yang kita harus mendalami dengan teliti. Data yang harus kita banggakan adalah kemajuan masyarakat Melayu dalam bidang pendidikan.



Peratusan orang Melayu yang berpendidikan universiti melonjak dua kali ganda - ia meningkat daripada 5.5 peratus pada tahun 2010 kepada 10.8 peratus pada tahun 2020.



Lebih ramai yang meraih diploma atau kelayakan profesional dan pos menengah, manakala mereka yang status pendidikan tertinggi hanya sekadar sekolah menengah dan pra-menengah semakin berkurangan. Kita boleh menarik nafas lega dengan dapatan ini, kerana ia menunjukkan trend yang positif.



Malah, kemajuan dalam taraf pendidikan dirasai sama oleh masyarakat Cina dan India. Ini mungkin disebabkan kesedaran di kalangan semua kaum terhadap pentingnya pendidikan tinggi.



Peluang-peluang baru yang tersedia buat rakyat Singapura secara umumnya, misalnya dengan pembukaan universiti-universiti baru sepanjang dua dekad yang lalu, atau bertambahnya kursus-kursus peningkatan kemahiran menyumbang kepada lebih ramai graduan di peringkat nasional.



Namun, jika kita teliti perincian lain dalam banci kali ini, pendapatan keluarga pula kekal rendah berbanding masyarakat lain, manakala kadar kemiskinan kekal tinggi dalam masyarakat Melayu. Persoalannya, mengapa paradoks ini berlaku meskipun taraf pendidikan masyarakat Melayu telah meningkat?



Pertama, kenaikan kadar mereka yang berpendidikan diploma atau universiti tidak menjamin pekerjaan yang bergaji besar.



Ia juga tidak bermakna pendapatan keluarga akan meningkat. Apa yang perlu kita fahami ialah sama ada segenggam ijazah yang kita miliki itu memenuhi keperluan semasa.



Banci penduduk hanya merangkumkan perangkaan secara harfiah: misalnya, mereka yang mendapat ijazah kedoktoran, kejuruteraan, sains masyarakat, seni, dan agama juga disenaraikan dalam kategori yang sama, tetapi ini tidak bermakna setiap individu yang memiliki ijazah mendapat peluang pekerjaan dan pendapatan yang serupa.



Kedua, lebih banyak usaha perlu dipertingkatkan untuk mengatasi kadar kemiskinan yang masih membelenggu masyarakat Melayu. Ini kerana kemiskinan mungkin menjadi pemangkin bagi masalah-masalah sosial lain: seperti masalah dalaman keluarga, pemilihan pekerjaan, dan juga jenayah.



Banci 2020 menunjukan bahawa pendapatan keluarga masyarakat Melayu masih rendah jika dibandingkan dengan purata nasional. Masyarakat kita juga masih di belakang masyarakat lain dalam banyak aspek lain.



Sebagai contoh, pendapatan isi rumah (household income) masyarakat Melayu pada tahun 2020 adalah $6,851 berbanding masyarakat Cina ($10,812) dan India ($11,688).



Jika kita lihat dari sudut perumahan, hampir 61,000 daripada 154, 000 yang tinggal di rumah satu atau dua bilik (termasuk pangsapuri studio) - atau lebih kurang 40 peratus - adalah beragama Islam.



Jumlah ini amat tinggi walaupun hakikatnya ramai dalam masyarakat kita yang sudah mendiami rumah 5 bilik dan rumah privet.



Selagi kadar kemiskinan atau jurang pendapatan dalam masyarakat kekal tinggi, kita belum boleh katakan bahawa kita adalah sebuah masyarakat gemilang.



Pada masa yang sama, kita tidak boleh nafikan bahawa banyak yang telah atau sedang dilakukan oleh badan-badan bukan pemerintah, sama ada secara kolektif atau individu, untuk membantu golongan yang lebih memerlukan dalam masyarakat kita. Tetapi sebelum kita membahas masalah keluarga pincang, jenayah, atau pendidikan dalam masyarakat Melayu, yang utama adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan dahulu.



Ini juga bermakna para pemimpin kita perlu menyemak semula usaha untuk mempercepatkan bantuan, dan kurangkan proses birokrasi, kepada mereka yang memerlukan, agar mereka dapat meneruskan kehidupan seharian mereka.



Ini demi memastikan bahawa mereka tidak perlu risau tentang "putting food on the table", dan dapat memenuhi keperluan asas keluarga.



Hal ini penting agar mereka kemudiannya dapat berikan tumpuan untuk mempertingkatkan diri dan pelajaran anak-anak. Dalam hal membasmi kemiskinan dalam masyarakat, kita tidak boleh menyalahkan budaya atau sikap masyarakat.



Masalah kemiskinan bukanlah masalah sifat "malas" orang Melayu, atau mereka tidak mahu mengubah nasib mereka.



Kemungkinan besar mereka hidup dalam lingkaran musibah, yang mungkin menghambat mobiliti sosial, atau terpaksa bergantung kepada ekonomi "gig" atau perniagaan dari rumah yang tidak menjamin pendapatan yang baik dan stabil. Malangnya, sedang golongan berpendidikan meningkat, jika kemiskinan tidak dibasmi, jurang antara kaya dan miskin akan melebar.



Visi sebuah masyarakat yang gemilang memerlukan pelan yang rapi dan mengambil kira setiap keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.



Dari sudut pandang masyarakat, pendidikan anak-anak harus diberi keutamaan. Kita perlu mengarahkan mereka kepada bidang-bidang yang relevan buat masa akan datang, terutama sekali dalam era digital, sains dan teknologi.



Bagi mereka yang cenderung dalam bidang masyarakat pula, tenaga harus digembleng untuk menjana pemikiran kritikal, yang sentiasa bersedia untuk memikir-ulang idea-idea sedia ada.



Dalam hal ini, pelajaran sains masyarakat dan sastera penting untuk memahami situasi rakyat, terutama golongan berpendidikan rendah. Bagi masyarakat Melayu, nilai-nilai agama juga penting demi memacu masyarakat ke hadapan, tetapi pembelajaran agama bukan sekadar ritual dan hukum halal dan haram, tetapi nilai dan prinsip kemanusiaan.



Saya fikir pemahaman agama masih belum kukuh jika masyarakat tidak sensitif terhadap golongan memerlukan.



Malangnya, masih ada yang merasakan bahawa memperkaya diri sendiri adalah matlamat utama dalam beragama, walaupun nasib golongan kurang bernasib baik kurang dipedulikan.



Semoga prestasi masyarakat kita dalam membasmi kemiskinan dapat dipertingkatkan dalam masa sepuluh tahun akan datang. Harapan saya adalah kadar kemiskinan dapat diturunkan sebelum penerbitan banci 2030 nanti.




  • Penulis adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau Penyelaras Program Masyarakat dan Budaya Serantau (RSCS) di institut tersebut.


PARADOKS KEMAJUAN PENDIDIKAN DENGAN KADAR KEMISKINAN 



"...jika kita teliti perincian lain dalam banci kali ini, pendapatan keluarga pula kekal rendah berbanding masyarakat lain, manakala kadar kemiskinan kekal tinggi dalam masyarakat Melayu. Persoalannya, mengapa paradoks ini berlaku meskipun taraf pendidikan masyarakat Melayu telah meningkat?

Pertama, kenaikan kadar mereka yang berpendidikan diploma atau universiti tidak menjamin pekerjaan yang bergaji besar.

Ia juga tidak bermakna pendapatan keluarga akan meningkat. Apa yang perlu kita fahami ialah sama ada segenggam ijazah yang kita miliki itu memenuhi keperluan semasa.''




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >