Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang, cabaran firma SG manfaat pertumbuhan ekonomi Indonesia

Feb 19, 2023 | 5:30 AM
PERTUMBUHAN EKONOMI: Seorang jurujual memberi penerangan tentang kereta elektrik Wuling Air EV kepada pengunjung di pusat beli-belah di Jakarta, Indonesia.- Foto REUTERS
PERTUMBUHAN EKONOMI: Seorang jurujual memberi penerangan tentang kereta elektrik Wuling Air EV kepada pengunjung di pusat beli-belah di Jakarta, Indonesia.- Foto REUTERS -

INDONESIA merupakan ekonomi terbesar di Asia Tenggara, dan ketujuh terbesar di dunia berdasarkan hasil dalam negara kasar berdasarkan pariti kuasa beli (GDP PPP).

Pada 2022, ekonomi Indonesia telah berkembang pada tahap paling kukuh dalam tempoh sembilan tahun, didorong perbelanjaan rancak ekoran kelonggaran sekatan pandemik.

Perang Russia-Ukraine membantu mata wang rupiah dan meningkat akaun semasa negara itu akibat kenaikan harga komoditi global yang menyebabkan jumlah eksport Indonesia naik ke paras tertinggi.

Ekonomi berkembang 5.31 peratus pada 2022, kadar pertumbuhan tahunan terbaik sejak 2013, dan lebih baik daripada 5.29 peratus yang diramalkan tinjauan Reuters.

Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan Indonesia dan meletakkannya dalam kedudukan baik untuk mengembangkan ekonomi dan menarik pelabur baru.

Demikian menurut beberapa pakar, peniaga dan penduduk yang dihubungi Berita Minggu yang rata-rata optimis tentang potensi negara itu pada masa depan.

Menurut Encik Margo Yuwono, ketua Statistik Indonesia, perbelanjaan isi rumah, yang menyumbang lebih separuh daripada GDP Indonesia, meningkat pada 2022, disokong oleh perbelanjaan berkaitan pelancongan apabila sekatan pandemik ditarik balik.

Encik Erlangga Witoyo, Ketua Pegawai Eksekutif wadah pendanaan awam Kapital Boost berkata:

"Saya rasa pertumbuhan yang lebih tinggi adalah gabungan peningkatan daripada asas yang lebih rendah semasa pandemik dan pemulihan umum dalam kegiatan ekonomi, yang jelas di Jakarta apabila anda melihat trafik di jalan raya semakin sesak dan daerah perniagaan/komersial semakin sibuk."

Pemerintah Indonesia mempunyai matlamat menarik 1.4 kuadrilion rupiah pelaburan pada 2023 selepas menarik 1.2 kuadrilion rupiah pada 2022 menurut Menteri Pelaburan Indonesia dan Ketua Badan Penyelaras Pelaburan (BKPM) Bahlil Lahadalia.

Perniagaan di Singapura secara optimis boleh melihat ke Indonesia untuk mengembang perniagaan mereka. Kerjasama Pemerintah Dengan Badan Usaha (KBPU) Indonesia, agensi pemerintah yang menyelia projek perkongsian awam-swasta, sedang bersedia untuk membangunkan infrastruktur utama termasuk satelit komunikasi, jalan raya, lapangan terbang, hospital, dan kemudahan penyimpanan sejuk dan pemprosesan ikan.

Dengan pertumbuhan yang tinggi, pasaran penerbangan Indonesia memerlukan prasarana, latihan dan komponen untuk memastikan perniagaan mereka terus maju.

Terdapat juga peluang bagi prasarana telekomunikasi seperti satelit, stesen bumi dan peranti berkaitan.

Menurut laporan Mordor Intelligence, pelaburan dalam pusat data Indonesia berkembang pesat sepanjang 2022, dan trend ini akan berterusan pada 2023 susuli permintaan yang tinggi untuk penggunaan digital, memandangkan ekonomi internet merupakan sumber penting untuk pertumbuhan negara.

Encik Azhar Othman, Pengerusi Eksekutif Enercon Asia, sebuah syarikat huraian tenaga serantau mengalu-alukan peluang ini yang dapat memanfaatkan syarikatnya.

"Pusat data akan berkembang di Indonesia, dan kami percaya ini akan menjadi perniagaan yang baik untuk kami terutamanya dalam pendigitalan di mana automasi turut diperlukan".

"Syarikat Singapura mempunyai jenama dan kelebihan yang baik kerana masyarakat kita boleh bertutur dalam Bahasa Indonesia.

"Keupayaan untuk datang dari Singapura, menyediakan peralatan yang profesional atau berurusan dengan penyelesaian berasaskan kejuruteraan, adalah kelebihan yang hebat untuk syarikat Singapura."

Beberapa syarikat Singapura sudah mula memanfaatkan ledakan ekonomi Indonesia.

Encik Zuraimi Jumaat, Naib Presiden Ever Rich, sebuah syarikat dagangan makanan berkata:

"Indonesia salah satu rakan dagang utama kami untuk import sayur-sayuran dan komoditi lain sejak 10 tahun lalu".

"Kami menjangka pertumbuhan berterusan permintaan bahan makanan dan jualan kepada peningkatan baharu sebanyak 25 peratus menjelang akhir 2023", kata beliau.

Beberapa penduduk Indonesia juga kekal optimis dengan perkembangan ekonomi negara.

"Saya fikir ekonomi akan terus bertambah baik pada masa hadapan kerana pemerintah telah mempelawa syarikat asing untuk melabur di Indonesia", ujar Encik Louis Kevin, 27 tahun, yang tinggal di Jakarta.

"Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baru untuk rakyat Indonesia".

Encik Andras Agung Novianto, 29 tahun, turut optimis bahawa pertumbuhan ekonomi Indonesia akan terus bertambah baik memandangkan komitmen pemerintah yang kukuh terhadap dasar ekonominya.

Sedang negara lain menghadapi kos sara hidup yang lebih tinggi di tengah-tengah peningkatan kadar faedah dan harga minyak yang tinggi, penduduk Indonesia turut menghadapi tekanan serupa.

"Perkara utama yang banyak berubah dari tahun ke tahun ialah harga petrol yang memberi impak besar kepada semua barangan," kata penduduk Jakarta Cik Anggita Dwi Prasanty, 29 tahun.

Seperti penduduk yang lain, perbelanjaan tertinggi Cik Anggita adalah makanan dan pengangkutan.

"Perbelanjaan lain seperti internet, bil air dan elektrik, saya tidak dapat melihat perubahan besar dari tahun ke tahun dan kosnya masih berpatutan."

Penganalisis berkata perkembangan ekonomi Indonesia mungkin bergerak perlahan pada 2023, meramalkan kemerosotan ekonomi global yang akan membawa kepada penurunan selanjutnya dalam harga komoditi dan kelembapan dalam eksport Indonesia.

Namun, terdapat pelbagai cabaran bagi syarikat yang ingin menubuhkan perniagaan di Indonesia.

Banyak penyelidikan harus dibuat untuk memahami landskap perniagaan yang kompleks di negara itu.

Antara cabaran yang dihadapi termasuk gejala rasuah yang masih berleluasa.

Dalam laporan Doing Business 2020 oleh Bank Dunia, Indonesia berada di tangga ke-73 dalam kemudahan menjalankan perniagaan.

Encik Hafiz Kasman, Ketua Pegawai Operasi Kinobi, sebuah syarikat yang menyediakan wadah teknologi pendidikan, berkata:

"Hubungan peribadi memainkan peranan penting dalam perniagaan".

Encik Shamir Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan VersaFleet berkongsi:

"Bagi perniagaan asing, modal berbayar minimum agak tinggi dan kadar cukai pegangan bergantung pada lokasi domisil dan industri, yang boleh meningkat sehingga 30 peratus daripada semua nilai kontrak."

Namun bagi syarikat yang berani, di sebalik setiap cabaran ada peluangnya.

Dan syarikat yang berupaya mengatasi cabaran bakal meraih pulangan yang menarik di Indonesia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg