Banyak usaha telah dilakukan bagi menggalak rakyat Singapura mendakap rancangan negara ini menjadi masyarakat yang kurang gunakan kenderaan atau ‘car-lite’.
Tidak dapat dinafikan Singapura telah mengorak langkah besar untuk menjadikan rancangan ini satu realiti.
Contoh yang agak jelas yang dapat kita lihat ialah dengan pengembangan rangkaian pengangkutan serta prasarana di sekitar kawasan kejiranan seperti laluan pejalan kaki dan berbasikal yang dikongsi bersama.
Di samping itu, untuk menjadikan kegiatan berbasikal di sini lebih menarik, kawasan perumahan baru kini direka bentuk dengan mengutamakan keperluan pengguna – baik pejalan kaki mahupun pengguna berbasikal.
Terdapat juga rancangan untuk meluaskan lagi rangkaian laluan berbasikal di seluruh negara ini daripada 500 kilometer (km) yang sedia ada kepada sekitar 1,300 kilometer menjelang 2030.
Peluasan itu akan menghubungkan pengguna dari rumah mereka ke stesen MRT, persimpangan bas, pusat beli-belah serta sekolah berhampiran.
Fasa pertama projek laluan Bishan ke kawasan pusat bandar yang dibuka secara rasmi pada Khamis, sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menggiatkan semula kawasan di sepanjang Sungai Kallang, menerima banyak pujian pengguna.
Kerja-kerja pembinaan yang siap di bawah fasa projek ini termasuk penambahan dan penambahbaikan laluan jabanah dan lalu lintas di kawasan itu, kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan.
Kawasan Sungai Kallang merupakan sebuah kawasan yang menyimpan banyak kisah sejarah negara kita dan saya secara peribadi berasa dengan pembukaan laluan baru ini, ia memberi peluang kepada rakyat Singapura meneroka tempat-tempat ini dan mengenali negara kita dari perspektif berbeza.
Banyak mercu tanda terkenal, dahulu dan sekarang, ada di kawasan Kallang.
Antara yang paling ikonik termasuk Bangunan Lapangan Terbang Kallang, Jambatan Merdeka dan Stadium Negara, yang kini telah digantikan dengan Presint Kallang Alive, yang menempatkan Hab Sukan, Stadium Tertutup, Teater Kallang serta Kallang Wave Mall.
Yang pasti, Laluan Bishan ke Bandar, yang merangkumi laluan sepanjang 10 kilometer, akan menawarkan salah satu pemandangan terindah yang boleh pengguna nikmati di Singapura.
Meskipun saya tidak sering berbasikal, setelah mengunjungi beberapa tempat di sepanjang laluan ini seperti jabanah yang telah dinaik taraf dan yang baru dibina sewaktu pelancarannya, ia membuatkan saya terdorong untuk membawa isteri dan anak kecil saya ke tempat ini.
Hampir setiap hujung minggu, saya dan isteri merancang tempat yang ingin kami kunjungi dan kami biasanya ke tempat yang dipilih dengan memandu.
Namun, sekali-sekala mungkin kami ingin cuba meneroka Singapura tanpa menggunakan kereta dan hanya mengayuh basikal yang disewa.
Apabila saya bertanya kepada rakan-rakan saya yang suka berbasikal, ramai yang berkongsi bahawa mereka tidak sabar untuk mencuba Laluan Bishan ke Bandar ini bersama kumpulan berbasikal mereka.
Mereka amat berterima kasih kepada pihak berkuasa dan mereka yang terlibat dalam projek ini kerana mengambil berat pengalaman dan keselamatan pengguna.
Dengan laluan yang lebih luas, mereka berasa bahawa ia akan menjadikan perkongsian laluan antara pejalan kaki dengan penunggang basikal lebih selamat kerana terdapat banyak ruang yang boleh digunakan.
Mereka mengalu-alukan permulaan fasa kedua projek Laluan Bishan ke Bandar ini, yang akan melibatkan pembinaan jambatan pejalan kaki dan berbasikal bertingkat sepanjang 682 meter, merentasi 14 lorong Ekspreswe Rentas Pulau (PIE).
Apabila siap dibina menjelang 2027, jambatan tersebut akan menjadi yang terpanjang di Singapura.
Seorang rakan rakan berkongsi: “Kita mempunyai semua kemudahan dan prasarana yang hebat. Ia menjadi satu pembaziran jika rakyat Singapura tidak menghargai dan menggunakannya dengan kerap.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg