Dalam kesibukan kehidupan seharian, kita sering terlepas pandang terhadap insan-insan yang telah banyak berkorban untuk kita.
Bagi saya, insan itu ialah Along, mak cik saya.
Pada Januari, Along telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, meninggalkan kekosongan dalam diri... kekosongan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Along pergi setelah setahun bertarung dengan barah buah dada tahap empat – satu perjuangan yang beliau hadapi dengan ketabahan luar biasa, walaupun dalam diam.
Sejak kecil, saya membesar di bawah jagaan dan kasih sayang Along kerana kedua ibu bapa saya bekerja.
Saya masih ingat betapa beliau sering mendahulukan orang lain, sentiasa memastikan semua orang makan terlebih dahulu sebelum dirinya sendiri.
Kata-kata lembutnya, usikan manjanya dan doa-doanya yang tidak pernah putus kini hanya tinggal kenangan.
Semasa beliau sakit, saya cuba hadir sedaya mungkin, tetapi dalam hati saya masih terpalit rasa bersalah – kerana tidak lebih banyak meluangkan masa, kerana terlalu leka dengan urusan sendiri.
Ada banyak perkara yang saya ingin katakan, banyak pelukan yang saya ingin berikan, tetapi masa tidak mengizinkan.
Sepanjang tempoh beliau menghidap barah, Along tidak pernah merungut tentang kesakitannya, walaupun jelas tubuhnya semakin lemah.
Beliau tetap teguh, sentiasa kelihatan tenang dan reda, malah tidak pernah meninggalkan solat walau dalam keadaan paling lemah.
Melihat ketabahan Along dalam menghadapi ujian itu membuat saya benar-benar tersentuh.
Saya juga menyaksikan sendiri bagaimana ibu bapa saya, mak cik pak cik dan sepupu bergilir-gilir menjaganya, menemaninya ke janji temu doktor dan melakukan segala yang terdaya bagi meringankan penderitaannya.
Cinta dan pengorbanan yang mengelilingi Along ketika itu adalah bukti bahawa beliau benar-benar disayangi.
Tahun ini, sambutan Hari Raya terasa sangat berbeza.
Tiada lagi senyuman mesra Along di pagi Syawal, tiada lagi suaranya menyambut kedatangan kami di muka pintu.
Sebaliknya, seluruh keluarga kami memulakan hari mulia itu dengan menziarahi pusaranya.
Hari Raya 2025 bukan sekadar perayaan, sebaliknya, ia hari yang penuh penghayatan tentang makna kehilangan dan kasih yang abadi.
Pemergian Along menyedarkan saya betapa kita sering menangguhkan kasih sayang.
Kita fikir esok masih ada, kita sangka mereka akan sentiasa menunggu.
Hakikatnya, hidup ini terlalu singkat untuk menangguhkan penghargaan.
Kita perlu belajar untuk lebih hadir – secara fizikal, emosi dan rohani – dalam hidup mereka yang menyayangi kita tanpa syarat.
Bagi saya, kasih sayang seorang mak cik seperti Along adalah bentuk cinta yang paling murni.
Mereka menjaga, menyokong dan mendoakan dari jauh, walaupun kita jarang membalas dengan sewajarnya.
Kini, saya hanya mampu mengenang kembali detik-detik bersama Along.
Gambar-gambar lama, suara rakaman pendek dan memori yang datang silih berganti menjadi penawar rindu.
Saya hanya mampu berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Kehilangan ini mengajar saya agar lebih menghargai orang sekeliling.
Jika anda masih mempunyai mak cik, ibu saudara, atau sesiapa sahaja yang pernah menjadi tempat berteduh dalam hidup anda, peluklah mereka, telefonlah mereka, tanyakan khabar walau sesibuk mana sekali pun anda.
Ini kerana suatu hari nanti, mungkin hanya suara dalam ingatan yang akan tinggal.
Buat Along, terima kasih atas segalanya. Kasihmu tidak akan pernah saya lupakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg