CABARAN getir pandemik Covid-19 tidak sedikit pun menghambat pelajar Melayu/Islam mencatatkan kejayaan cemerlang, meskipun mereka terpaksa mengharungi tempoh sukar akibat daripada penularan virus tersebut.

Ini dibuktikan oleh hampir 500 pelajar yang berjaya menerima anugerah bagi pencapaian mereka dalam kededua bidang akademik dan bukan akademik daripada Yayasan Mendaki baru-baru ini.

Bahkan, penerima Anugerah Cemerlang Mendaki yang lulus dengan ijazah kepujian kelas pertama bertambah.

Seramai 71 menerima anugerah tersebut tahun ini, berbanding 66 tahun lalu dan 63 pada 2019.

Ini memaparkan ketekalan prestasi pelajar kita sejak beberapa tahun lalu.

Justeru ketabahan dan daya tahan mereka, lebih-lebih lagi dalam kepayahan yang ditempuhi sekarang ini harus dipuji.

Peluang yang diberikan kepada anak-anak Melayu kita ini tidak disia-siakan, bahkan mereka memanfaatkan ia sebaik-baiknya.

Kejayaan mereka membuktikan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Sokongan ibu bapa dan keluarga serta masyarakat juga membantu menyediakan sekitaran sesuai bagi pencapaian tersebut.

Dalam lain perkataan, pencapaian tersebut amat bermakna dalam kita berusaha untuk menuju ke arah mencapai sebuah masyarakat cemerlang dan gemilang.

Ia menunjukkan sebagai sebuah masyarakat kita mampu mengatasi rintangan dan berupaya menempuh badai bergelora.

Hakikatnya sejak beberapa tahun lalu pencapaian pendidikan pelajar kita telah membanggakan masyarakat.

Menurut Banci 2020, sekitar 53 peratus belia Melayu telah berjaya meraih ijazah atau diploma, berbanding 35 peratus sedekad lalu.

Taraf pendidikan yang lebih tinggi ini memungkinkan masyarakat kita meniti kerjaya lebih baik, sekali gus membolehkan mereka menerima pendapatan lebih tinggi.

Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan lagi taraf kehidupan keluarga.

Dan dengan mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat, kita akan sentiasa menjadi relevan dalam ekonomi pesat berubah, lebih-lebih lagi semasa pascapandemik.

Namun usaha untuk memperbaiki lagi kedudukan masyarakat masih belum berakhir. Ia sebenarnya usaha tidak bernoktah.

Kerana sedang kita sudah berjaya mengukir banyak kejayaan, masih terdapat mereka yang perlu dibantu dan dibelenggu dengan masalah.

Mereka tidak harus dibiarkan dan ditinggalkan di belakang, sebaliknya usaha bersepadu harus terus dihulurkan dan digembleng demi menarik mereka keluar daripada lingkaran kesulitan.

Dalam hal ini, pelbagai pertubuhan sosial Melayu dan rangkaian M kuasa tiga (M3) sudah pun mengorak langkah dengan pelbagai skim bantuan dan sokongan.

Namun mereka yang sudah berjaya juga boleh digalak sama menyumbang kembali kepada masyarakat dan menjadi mentor serta inspirasi kepada golongan memerlukan, lebih-lebih lagi bagi generasi muda.

Dengan kita bergotong-royong memajukan lagi masyarakat, tugas yang ringan dapat sama kita jinjing, yang berat juga dapat sama dipikul.

Ini akan memudahkan lagi kerjasama demi memajukan segenap lapisan masyarakat.

Justeru kita harus terus menyemai dan memupuk setiap generasi baru kita dengan ilmu supaya mereka dapat mengecapi taraf kecemerlangan lebih tinggi di masa depan.

Sempena kita kini meraikan Bulan Raikan Ilmu anjuran Mendaki, marilah kita lahirkan komitmen untuk terus menimba ilmu, tidak kira kita muda atau tua.

Jadikan pembelajaran sepanjang hayat ini sebagai sebahagian budaya kita kerana ilmu kunci kepada kejayaan masa depan.

"Kejayaan mereka membuktikan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sokongan ibu bapa dan keluarga serta masyarakat juga membantu menyediakan sekitaran sesuai bagi pencapaian tersebut. Dalam lain perkataan, pencapaian tersebut amat bermakna dalam kita berusaha untuk menuju ke arah mencapai sebuah masyarakat cemerlang dan gemilang. Ia menunjukkan sebagai sebuah masyarakat kita mampu mengatasi rintangan dan berupaya menempuh badai bergelora. Hakikatnya sejak beberapa tahun lalu pencapaian pendidikan pelajar kita telah membanggakan masyarakat. "