Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendidikan kunci basmi penyalahgunaan dadah

Perlu tekankan penyalahgunaan dadah musnahkan kehidupan, keluarga dan masyarakat
Jan 31, 2021 | 5:30 AM
BANYAK CARA SEBAR MESEJ: Salah satu kegiatan kempen Dadah Itu Haram ialah acara berbasikal yang dikendalikan bersama masjid setempat bagi mendekati belia sambil menyebarkan mesej tentang bahayanya dadah. - Foto MHA
BANYAK CARA SEBAR MESEJ: Salah satu kegiatan kempen Dadah Itu Haram ialah acara berbasikal yang dikendalikan bersama masjid setempat bagi mendekati belia sambil menyebarkan mesej tentang bahayanya dadah. - Foto MHA -

DI Singapura, kita mengambil pendirian tegas terhadap dadah dan ini amat penting jika kita mahu terus menikmati keamanan dan keselamatan di negara ini.

Setiap individu memainkan peranan penting demi memastikan keadaan ini dapat dicapai. Kita harus bertegas menolak dadah, dan mengambil sikap peduli terhadap anggota keluarga kita.

Dengan mengeratkan hubungan kita dengan mereka yang disayangi, kita boleh membantu menjauhkan mereka daripada pergaulan negatif dan pengambilan dadah yang sering digunakan sebagai jalan keluar daripada masalah atau tekanan.

Kita harus memberikan tumpuan khusus kepada anak-anak kita kerana kehidupan mereka boleh dimusnahkan jika mereka terjerumus ke kancah dadah. Kita harus mengambil peduli terhadap pembangunan mereka dan memberikan mereka bimbingan dan sokongan yang positif.

Sebagai masyarakat Melayu/Islam Singapura, kita harus memberi peringatan kepada ahli keluarga kita, rakan-rakan rapat dan ahli masyarakat supaya menjauhkan diri daripada terjebak dalam kancah dadah. Pengedaran dan penyalahgunaan dadah adalah haram dari segi undang-undang dan agama. Kita bertanggungjawab menyebarkan kebaikan, bukan kemudaratan.

PERKONGSIAN PESALAH DAN KELUARGA

Saya telah diberi peluang baru-baru ini melawat pusat pemulihan dadah, beberapa rumah peralihan dan badan-badan masyarakat yang memberi bantuan kepada pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka.

Semasa lawatan tersebut, saya diberi peluang berinteraksi dengan pesalah dan mereka mengongsi kisah mereka kepada saya. Ramai antara mereka berasal daripada keluarga pincang atau kurang prihatin mengenai kegiatan harian mereka sehinggakan mereka terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Tanpa keprihatinan ibu bapa, ramai yang memilih rakan-rakan yang berpengaruh negatif sebagai tempat mengadu dan menghabiskan masa lapang bersama. Rakan-rakan ini yang mendedahkan mereka kepada gejala-gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah.

Ramai yang meluahkan perasaan kesal dan akur bahawa kehidupan mereka mula rosak setelah berjinak-jinak dengan dadah. Oleh itu, sebagai masyarakat Melayu/Islam Singapura yang rapat, kita harus mengambil berat tentang ahli keluarga, jiran tetangga dan terutama keluarga kurang bernasib baik.

Saya juga dapat berinteraksi bersama keluarga-keluraga pesalah.

Kebanyakan daripada mereka telah ditinggalkan oleh ketua keluarga buat tempoh yang lama kerana terjebak dalam kancah dadah.

Saya mahu berkongsi tentang apa yang dipelajari daripada Siti (bukan nama sebenar).

Walaupun ayah Siti sering keluar masuk penjara kerana ketagihan dadah dan ini menghampakannya, Siti tetap tidak putus asa dan sentiasa mendoakan ayahnya itu supaya kembali pulih dan menjadi ayah yang bertanggungjawab.

Semasa ayahnya di penjara, Siti ditugaskan memainkan peranan sebagai 'ayah' atau ketua keluarga, dan harus bertungkus lumus bekerja sambilan untuk menampung ibu dan adik-adiknya. Dia juga tetap belajar sepenuh masa demi memberikan dirinya masa depan yang lebih cerah.

Ada banyak lagi cerita seperti cerita Siti dengan sesebuah keluarga terpaksa berdikari dan menyara diri sendiri tanpa adanya ketua keluarga akibat ketagihan dadah. Daripada perkongsian mereka itu, amat jelas bahawa dadah bukan sahaja memudaratkan dan memusnahkan diri seseorang penagih bahkan kehidupan keluarga mereka.

KADAR PESALAH DADAH YANG MUDA AMAT MEMBIMBANGKAN

Pada 2019, lebih kurang 41 peratus pesalah dadah yang diberkas adalah pesalah baru. Antara mereka yang diberkas, 62 peratus pesalah di bawah usia 30 tahun.

Ini sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan lebih ramai anak muda kita telah mula berjinak-jinak dengan dadah pada usia muda. Ia akan merosakkan masa depan mereka dan memberi rintangan yang amat mencabar secara fizikal dan mental, bagi melalui perjalanan hidup mereka sebagai penagih. Oleh itu, kami telah menumpukan lebih banyak keperhatian kepada pendidikan pencegahan dadah terhadap golongan belia supaya dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus dalam kancah dadah.

KEADAAN PESALAH DADAH MELAYU

Kadar pesalah dadah Melayu yang diberkas semula dalam tempoh dua tahun telah berkurangan daripada 42 peratus bagi kohort yang dibebaskan pada 2011 kepada bawah 30 peratus bagi kohort yang dibebaskan pada 2017.

Ini amat menggalakkan dan boleh dikaitkan dengan hasil usaha masyarakat dan keluarga yang memberi sokongan dan bantuan kepada bekas pesalah agar tidak putus asa dan bersabar melalui segala cabaran.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh bersikap leka kerana kadar pesalah dadah Melayu masih membentuk 49 peratus. Banyak lagi yang harus dilakukan dalam masa beberapa tahun akan datang untuk menurunkan jumlah ini dengan lebih ketara.

SOKONGAN MASYARAKAT AMAT PENTING

Sokongan masyarakat amat penting bagi membanteras gejala dadah ini. Sejak beberapa tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (MHA) telah menggembleng tenaga beberapa badan masyarakat agar menyebarkan dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Salah satu usaha dalam mendekati masyarakat dan menyebarkan mesej antidadah ini adalah melalui kempen Dadah Itu Haram (DIH), yang dilancarkan pada 2017. Kempen ini mendapatkan sokongan gerai-gerai makanan, kedai-kedai gunting rambut, masjid-masjid dan sukarelawan dengan membantu menyebarkan mesej antidadah.

Mereka mempamerkan pelekat DIH di kedai-kedai mereka dan mengedarkan risalah DIH kepada pelanggan sebagai wadah menyampaikan dan meningkatkan kesedaran mengenai kesan buruk penyalahgunaan dadah.

Mesej antidadah juga turut disebarkan kepada golongan pelajar melalui wadah ini melalui pertandingan antara sekolah seperti pertandingan dikir barat- Piala Suara Serumpun.

Sejak ditubuhkan, lebih 200 sukarelawan dan 300 badan masyarakat dan perniagaan telah menyokong kempen ini dan kempen ini telah mendekati lebih daripada 250,000 orang.

PERKEMBANGAN ANTARABANGSA MENGENAI DADAH

Sementara kita meneruskan usaha antidadah dalam kalangan masyarakat, terdapat perkembangan antarabangsa baru-baru ini yang merisaukan. Pada Disember lalu, negara anggota daripada suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah Narkotik telah mengundi untuk mengeluarkan ganja dan resin ganja daripada senarai dadah paling berbahaya di bawah Single Convention on Narcotic Drugs of 1961, pembetulan pada 1972 Protocol (the 1961 Convention).

Keputusan itu dicapai dengan sokongan yang tipis dan ini menunjukkan bahawa tiada kata sepakat antarabangsa. Singapura, bersama negara-negara lain yang mempunyai pendirian yang sama, amat kecewa terhadap keputusan ini. Ini kerana keputusan telah diambil tanpa bukti yang kukuh. Keputusan ini boleh mencetus fahaman salah dalam masyarakat, terutama dalam kalangan belia, bahawa ganja tidak lagi bahaya seperti dahulu, walaupun bukti yang kukuh menunjukkan sebaliknya.

Namun, ini tidak akan mengubah pendirian Singapura terhadap bahayanya ganja dan bahan-bahan berkaitan dengannya. Konvensyen antarabangsa pengawalan dadah membenarkan negara-negara memilih langkah kawalan negara masing-masing yang lebih ketat daripada yang dituntut konvensyen itu. Langkah kawalan antarabangsa untuk penggunaan ganja dan resin ganja tidak berubah dan tetap disenaraikan dalam Schedule I pada Konvensyen 1961, yang mengandungi bahan-bahan yang sangat mengagihkan dan disalahgunakan.

Sungguhpun beberapa negara telah menggalakkan penggunaan ganja mentah sebagai perubatan alternatif dan telah membenarkan penggunaannya, namun tidak ada kajian yang membuktikan ia dapat merawat penyakit.

Sebaliknya, terdapat kajian sahih yang menunjukkan beberapa kesan negatif pada jangka pendek dan panjang terhadap penggunaan ganja mentah seperti kerosakan otak yang tidak dapat dipulihkan, pengecutan otak dan penyakit mental yang serius.

PENDEKATAN SINGAPURA

Singapura akan tetap tegas dalam pendirian tentang bahayanya dadah, termasuk ganja. Kita akan meneruskan pendekatan yang tegas menerusi pendidikan pencegah dadah, undang-undang yang ketat dan program pemulihan bagi memastikan keadaan dadah di negara ini terkawal.

Kita akan terus mendekati masyarakat kita terutama sekali golongan muda dan memastikan bahawa mereka diberitahu tentang bahayanya dadah. Semua orang akan terjejas sekiranya kita membiarkan penyalahgunaan dadah memburuk dalam masyarakat kita. Kos kepada masyarakat, dari segi jenayah yang berkaitan dadah, kehilangan daya pengeluaran dan usaha pemulihan yang diperlukan, juga amat tinggi.

Pihak pemerintah akan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan masyarakat serta badan-badan untuk menyebarkan mesej antidadah dan juga membantu membangunkan program pemulihan bagi pesalah dadah ketika mereka berada di penjara dan setelah mereka dibebaskan bagi mengelakkan mereka daripada terjerumus kembali ke kancah jenayah.

Mari kita terus bekerjasama untuk membanteras gejala dadah di negara kita ini.

  1. Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).

"Sokongan masyarakat amat penting bagi membanteras gejala dadah ini. Sejak beberapa tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (MHA) telah menggembleng tenaga beberapa badan masyarakat agar menyebarkan dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah. Salah satu usaha dalam mendekati masyarakat dan menyebarkan mesej antidadah ini adalah melalui kempen Dadah Itu Haram (DIH), yang dilancarkan pada 2017. Kempen ini mendapatkan sokongan gerai-gerai makanan, kedai-kedai gunting rambut, masjid-masjid dan sukarelawan dengan membantu menyebarkan mesej antidadah." - Penulis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg