Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

WACANA

Penglibatan masyarakat, ibu bapa genting dalam usaha cegah dadah

Jun 24, 2023 | 05:30 AM



Institut Kesihatan Mental (IMH) baru-baru ini telah mengadakan satu tinjauan ‘Kesihatan dan Gaya Hidup 2022’ yang merangkumi pelbagai soalan mengenai penyalahgunaan dadah terlarang. 

Tinjauan tanpa nama ini, yang dijalankan antara April 2021 dengan Julai 2022, mendapati empat daripada lima responden menganggap pengambilan dadah terlarang adalah sangat berbahaya. Tiga daripada lima responden berkata kesan buruk penyalahgunaan dadah terhadap kesihatan menjauhkan mereka daripada penyalahgunaan dadah.

Di kalangan mereka yang menjauhi dadah, sebab utama yang diberikan adalah tindakan undang-undang, kemungkinan ditangkap dan kesedaran bahawa penyalahgunaan dadah adalah berbahaya.

Tinjauan tersebut menunjukkan betapa penyalahgunaan dadah boleh dibasmi melalui undang-undang yang ketat, tindakan penguatkuasaan yang tegas dan pendidikan awam yang berterusan mengenai bahaya dadah.

Tetapi mengapa sesetengah warga Singapura masih tetap menyalahgunakan dadah walaupun mereka tahu kemudaratannya terhadap tubuh dan minda?

Pencegahan Mesti Bermula Dari Muda

Saya berpeluang bertemu dengan ramai bekas penagih dadah serta pegawai-pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), pekerja kes dan sukarelawan, yang bekerja rapat dengan bekas pesalah dalam proses pemulihan dan integrasi semula mereka dalam masyarakat.

Melalui kisah-kisah mereka, saya mendapati bahawa ramai penyalahguna dadah telah diperkenalkan dengan dadah ketika mereka masih muda lagi. Selalunya, lingkungan kawan-kawan mereka juga memainkan peranan besar dalam tabiat penyalahgunaan dadah mereka.

Tinjauan IMH mendapati, secara purata, mereka yang menyalahgunakan dadah bermula seawal usia 16 tahun dan hampir separuh daripada mereka yang menyalahgunakan dadah pada 2022 berbuat demikian sebelum mereka mencapai umur 18 tahun. Lebih separuh daripada penyalahguna dadah ini bermula dengan ganja. Ini menimbulkan kebimbangan.

Kita tahu bahawa dadah berbahaya kepada penagih, tetapi mereka juga harus sedar bahawa penyalahgunaan dadah juga memberi kesan kepada orang-orang yang mereka sayangi.

Saya telah bertemu Puan M baru-baru ini di acara yang dianjurkan oleh salah sebuah Pusat Khidmat Keluarga untuk keluarga yang terjejas akibat pemenjaraan. Puan M kelihatan sangat bermasalah, jadi saya bercakap dengannya selepas acara itu. Puan M berkata anaknya baru-baru ini dipenjarakan kerana penyalahgunaan dadah. Anaknya adalah seorang yang cerdas dan telah diberi peluang untuk belajar di luar negara. 

Bagaimanapun, anak Puan M mula mengambil dadah ketika berada di luar negara, kerana dia ingin menyesuaikan diri dengan rakan sebayanya yang lain. Dia berfikir bahawa mencuba sekali atau dua kali tidak akan membuatnya ketagih, tetapi dia silap. 

Dia terus mengambil dadah sepanjang berada di luar negara dan cuba menghentikan tabiat itu apabila kembali ke Singapura tetapi tidak dapat berbuat demikian.

Dia sambung mengambil dadah di Singapura dan mula mengasingkan diri daripada orang lain. Dia mengelak daripada berbual dengan ibu bapanya dan banyak menghabiskan masa bersendirian di dalam biliknya. Ibu bapanya juga melihat anaknya mula berhalusinasi. Anak Puan M akhirnya diberkas. Puan M berasa sangat sedih kerana sebelum anaknya mula mengambil dadah, dia seorang yang amat berjaya. Ini amat memilukan.

Keluarga Puan M hanyalah salah satu daripada banyak keluarga yang terjejas akibat penyalahgunaan dadah dan inilah sebabnya kita mesti meneruskan usaha kita. Kita perlu memupuk minda bebas dadah sejak dari muda, supaya kita dapat mengelakkan lebih banyak kehidupan dan keluarga muda daripada dimusnahkan oleh dadah.

Pendidikan Pencegahan Dadah

Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan tahun ini, saya berkongsi bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk meningkatkan usaha pendidikan pencegahan dadah di sekolah. Mulai tahun ini, semua sekolah rendah dan menengah akan mengadakan sekurang-kurangnya satu program pendidikan pencegahan dadah setiap tahun. Tetapi lebih banyak lagi perlu dilakukan.

Pemerintah telah menubuhkan Jawatankuasa Antara Kementerian (IMC)  mengenai Pencegahan Dadah untuk Belia yang dipengerusikan oleh Encik K Shanmugam, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang.

Bersama dengan rakan-rakan sekerja kami dari MOE, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia; Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Keluarga; Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Perhubungan dan Penerangan, kami akan melaksanakan pendekatan nasional untuk menguatkan mesej bebas dadah.

Tetapi Pemerintah tidak boleh melakukan ini sendirian.

Tindakan Masyarakat

Penglibatan dan sokongan masyarakat juga penting.

Dalam satu Forum Rangkaian Pemulihan badan Melayu/Islam (MMO) pada 23 Mei lalu, para pemimpin masyarakat daripada pelbagai MMO telah berkumpul untuk membincangkan isu-isu berkaitan masyarakat dan bagaimana masyarakat boleh memberikan sokongan yang lebih terselaras dan holistik kepada pesalah Melayu, bekas pesalah Melayu dan keluarga mereka. 

Kami juga membincangkan bagaimana MMO boleh menyumbang kepada kempen Dadah Itu Haram dan mendidik masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Saya terharu melihat MMO terlibat dalam perbualan yang mendalam antara satu sama lain dan dengan pegawai-pegawai kami, untuk berkongsi wawasan masyarakat bebas dadah.

Kami akan terus bekerjasama dengan para pemimpin masyarakat kita dan meningkatkan usaha untuk mendidik masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah serta peri pentingnya menjalani kehidupan bebas dadah.

Seruan Bertindak Untuk Ibu Bapa

Ibu bapa adalah satu lagi rakan kongsi utama dalam usaha ini.

Majlis Kebangsaan Menentang Penyalahgunaan Dadah telah menjalankan tinjauan di kalangan belia berumur 13 hingga 30 tahun pada 2016. Mereka ditanya sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan bahawa “Pengambilan dadah tidak apa-apa selagi ia tidak menjejas orang lain”.

Sebanyak 88.8% daripada golongan belia berkenaan tidak bersetuju dengan kenyataan ini ketika itu. 

Tinjauan serupa telah dijalankan pada 2019/2020, tetapi kali ini, hanya 80.5% tidak bersetuju. Perubahan ini menunjukkan bahawa lebih ramai belia kita kini mempunyai sikap yang lebih permisif terhadap dadah.

Kaji Selidik 2019 yang sama juga mendapati bahawa hampir 40% daripada responden belia berumur 13 hingga 30 tahun berbual dengan ibu bapa mereka mengenai dadah dan penyalahgunaan dadah dan lebih 90% yang berbuat demikian telah terhalang daripada menyalahgunakan dadah. 

Pengaruh ibu bapa boleh berkesan dalam mencegah penyalahgunaan dadah. Oleh itu adalah penting bagi ibu bapa untuk mencari peluang mengadakan perbualan yang bermakna dengan anak-anak mereka demi menjauhkan mereka daripada dadah.

Kesimpulan

26 Jun adalah Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Haram. Sempena majlis ini, CNB akan menganjurkan Kempen BebasDadah 2023 yang akan terdiri daripada beberapa acara, termasuk Karnival BebasDadahSG, gerai ‘pop-up’ dan Penyalaan Lampu BebasDadahSG untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan bahaya penyalahgunaan dadah. Kami berharap anda akan memanfaatkan peluang ini dan mengetahui lebih lanjut dengan menyertai pelbagai kegiatan yang dianjurkan.

Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >