KETIKA di sekolah rendah, jika beliau terlebih makan aiskrim atau meminum air sejuk, beliau akan diserang semput.
"Ia bermula dengan susah untuk tidur kerana mula berdehit... apabila baring kita rasa ada seakan bunyi.
"Bila bernafas. Ibu saya tahu, itu adalah tanda satu serangan (semput) akan datang," cerita Cik Fee Abdullah, tentang penyakit semput yang dihidapinya sejak berusia empat tahun.
Di dalam keluarga anak sulung empat beradik itu, hanya beliau dan adiknya sahaja yang menghidapi penyakit itu.
Pernah beliau diserang semput yang teruk ketika berumur 11 tahun, kerana terlalu aktif ketika cuti sekolah.
Ia mengakibatkan beliau perlu ke doktor untuk menggunakan penebula (nebuliser).
Sejak itu, beliau lebih berjaga-jaga untuk mengesan tanda-tanda awal agar beliau dan ibu bapanya dapat mengawalnya sebelum serangan menjadi lebih teruk.
Semakin dewasa, beliau semakin memahami reaksi badannya sendiri dan mendapati beberapa lagi pencetus seperti alahan kepada wangian tertentu, minyak pati dan debunga serta apabila ada perubahan suhu yang mendadak.
Setelah beliau mula melancong ke luar negara seperti Australia, beliau dapati beliau mempunyai alahan pada debunga.
Dan ketika umurnya mencecah 20-an tahun, beliau diserang semput yang teruk sehingga perlu menggunakan alat sedut pencegah selain daripada alat sedut pelega biru.
"Ada had untuk menggunakan alat sedut pelega biru. Untuk saya, doktor memberitahu dua atau tiga kali maksimum (dan) setiap kali guna dalam masa enam jam...
"Apa yang buat saya perlu guna alat sedut pencegah, bila setengah jam setelah saya diserang semput, serangan semput itu kembali lagi," singkapnya.
Ketika itu beliau menghadapi serangan semput yang teruk sehingga doktor mengusulkan agar beliau menggunakan alat sedut pencegah.
Lima tahun lalu, beliau diserang semput yang paling teruk kerana habuk dari persekitarannya ketika urutan refleksologi.
"Selepas itu saya tidak boleh bernafas. Ia agak menakutkan. Kawan saya bawa saya ke hospital dan saya perlu gunakan penebula...
"Ia teruk kerana saya tidak jangkakannya kerana saya tidak sakit. Saya tiada tanda-tanda semput.
"Sudah beberapa bulan saya tidak diserang semput," ceritanya tentang detik cemas itu.
Apatah lagi beliau tidak membawa alat sedut pelega mahupun alat sedut pencegah pada waktu itu kerana sudah lama tidak diserang penyakit ini.
Ketika bergegas ke hospital pada waktu itu, beliau sudah tidak boleh berbual kerana dalam masa sejam, keadaannya semakin teruk.
"Saat itu memang mencemaskan. Di dalam teksi saya tidak berbual langsung," tambah Cik Fee yang mengakui pernafasannya begitu terganggu ketika itu.
Di hospital beliau perlu mengambil ubat steroid untuk merawat serangan semputnya.
Dengan itu Cik Fee berkata adalah penting untuk mengenali dan memahami pencetus serangan semput pada diri sendiri.
Beliau turut menggunakan alat sedut Symbicort yang merupakan pelega dan pencegah sekali gus. Ia didapati lebih berkesan dalam mengawal penyakit semputnya.