Pentingnya menjejak kontak bagi setiap kelompok, Berita Wacana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:32
Syuruk
6:56
Zuhur
12:58
Asar
4:22
Maghrib
6:59
Isyak
8:13
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Wacana3

KORONAVIRUS

Pentingnya menjejak kontak bagi setiap kelompok

Apr 10, 2020 | 05:30 AM

KENAL pasti kelompok dengan segera, cepat melakukan langkah pembersihan, jejak mereka yang mungkin terjangkit dan melaksanakan langkah membendung dengan ketat.

Ini adalah antara beberapa perkara yang dapat membendung kelompok Covid-19 daripada terus merebak.

Demikian menurut dua orang doktor yang dihubungi berhubung bagaimana membendung tempat yang dikenal pasti sebagai kelompok Covid-19.

Sejak wabak itu menular di Singapura, beberapa tempat termasuk gereja, masjid dan dormitori dikesan menjadi kelompok koronavirus.

Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio dikenal pasti sebagai satu kelompok jangkitan Covid-19. Tiga kes dikaitkan dengan masjid itu apabila seorang lelaki berusia 58 tahun, kenalan dua kes koronavirus sebelum ini, disahkan positif.

Masjid Al-Muttaqin bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam menjejak kenalan, menjalankan pembersihan dan melalui proses penyahjangkit secara menyeluruh pada pertengahan bulan lalu.

Berkongsi prinsip umum dalam menangani kelompok jangkitan, Pengarah Perubatan Paliatif dan Sokongan di Hospital Besar Ng Teng Fong, Dr Norhisham Main; dan Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, berkata antara langkah yang perlu diambil ialah mengenal pasti kelompok awal, memberitahu dan menjejak mereka yang mungkin terlibat, memberi nasihat kepada mereka yang terdedah dan tidak sihat supaya segera mendapatkan rawatan perubatan, dan menasihatkan mereka yang mungkin terdedah tetapi masih sihat supaya memantau kesihatan mereka sendiri di samping mengekalkan jarak sosial.

"Prinsip mengurangkan kelompok baru jangkitan adalah DID (singkatan bagi Duration atau tempoh; Intensiti dan Density atau kepadatan) yang melibatkan mengurangkan saiz kumpulan berkumpul, mengurangkan intensiti pendedahan dan jumlah masa yang dihabiskan bersama.

"Langkah-langkah ini hanya berkesan selagi setiap orang memainkan peranan dan bertanggungjawab," jelas Dr Norhisham.

Anggota keluarga yang terdekat, terutama sekali isteri pesakit, perlu menjalani kuarantin, kata Dr Zuraimi.

Di samping itu, perjalanan pesakit perlu dijejak dan memberitahu mereka yang dekat dengannya semasa di tempat berkenaan tentang risiko mereka terkena Covid-19 jika mereka berada di tempat dan masa yang sama.

"Tempat yang dikunjungi pesakit terutama rumah beliau, tempat kerja beliau dan tempat beliau menyebarkan virus tersebut perlu dibersihkan.

"Orang ramai perlu diberitahu tentang kes tersebut supaya mereka lebih peka dan prihatin tentang langkah-langkah yang diambil MOH," kata Dr Zuraimi.

Dr Norhisham berkata seseorang yang telah terdedah kepada kes yang disahkan atau telah kembara ke kawasan yang terjejas dan menyembunyikan gejala dengan ubat-ubatan tanpa mendapatkan rawatan perubatan boleh menyebarkannya dengan mudah jika bersin atau batuk di ruang terkurung yang ramai orang.

"Tanggungjawab peribadi lebih daripada setakat mencuci tangan dan jarak sosial. Ia juga bermakna jujur mengisytiharkan perjalanan dan sejarah kontak, rawatan perubatan apabila tidak sihat, mematuhi cuti perubatan, cuti tanpa kehadiran, notis duduk di rumah dan arahan kuarantin.

"Tanggungjawab sosial sangat besar kerana kita harus menimbangkan bukan sahaja diri kita malah keluarga kita, rakan kerja dan masyarakat umum," jelas Dr Norhisham.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map