Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Pentingnya S'pura bina benteng kukuh sekat campur tangan asing

Oct 10, 2021 | 05:30 AM



TEKNOLOGI Internet telah banyak memberi manfaat kepada dunia dan penggunanya tetapi ia juga kini boleh dijadikan satu platform jahat untuk melakukan perbuatan subversif - sama ada terhadap pengguna lain atau terhadap sesebuah negara berdaulat seperti Singapura.



Bahkan, Internet boleh digunakan sebagai 'angkatan tentera keempat' - selepas angkatan darat, laut dan udara - memandangkan ia mempunyai potensi dan keupayaan untuk 'menyerang' dan 'bertahan'.



Dengan memperalatkan kaedah-kaedah seperti akaun palsu, bot dan iklan digital dalam talian atau menerusi media sosial, pihak asing yang mempunyai niat jahat ke atas negara lain boleh memperdaya dan menghasut pengguna sesebuah negara, atau proksinya, bagi menyebarkan mesej palsu atau maklumat bahaya.



Tujuannya ialah mengganggu ehwal dalaman negara mangsa.



Proksi dalam hal ini juga boleh ditujukan kepada Individu Penting Dari Segi Politik (PSP).



Batu api dalam talian itu mudah 'menyerapi' pengguna tulen dengan kempen dan campur tangan jahat dengan niat yang terselindung.



Pengguna tidak menyedari mereka diperdaya dan dipengaruhi.



Sering kali kempen seperti itu dilakukan secara tersembunyi dan sulit dengan taktik tersusun.



Mereka mempromosikan kepentingan sesebuah negara asing atau ejen asing terhadap negara lain dalam isu seperti politik dan sosial.



Pengguna yang termakan dengan helah ini menyangka ia satu perkara biasa dan sesuatu yang boleh dipercayai - membahaskan pandangan atau memberi kritikan terhadap sesuatu isu yang tampak sah dan benar.



Namun Kempen Maklumat Berniat Jahat (HIC) itu sebenarnya satu perbuatan musuh dalam selimut.



Tersorok dan seperti gunting dalam lipatan, ia boleh memanipulasikan ehwal dalaman sesebuah negara hingga suasana boleh menjadi huru-hara dan rakyat berpecah belah.



Lebih membahayakan, ia boleh merosakkan keharmonian kaum dan meretakkan fabrik sosial, sekali gus mengancam kedaulatan negara.



Banyak negara telah menjadi sasaran kempen dan campur tangan asing seperti itu, dan Singapura tidak terkecuali daripada menjadi mangsa.



Seperti kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam, kita sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, bahkan mudah dieksplotasikan oleh HIC serupa itu.



Ini, katanya, merupakan ancaman amat serius tetapi kebanyakan kita tidak menyedarinya.



Bahkan ia sudah pun berlaku.



Encik Shanmugam menyebut beberapa kes serangan dalam bentuk manipulasi siber itu, seperti semasa tempoh ketegangan dua hala dengan sebuah negara pada 2018.



Dalam kes tersebut terdapat banyak komen dalam talian yang mengkritik Singapura, kebanyakannya datang daripada akaun yang namanya tidak diketahui.



Kritikan itu bertujuan memberi gambaran palsu tentang bantahan meluas terhadap kedudukan Singapura.



Kes-kes negara lain termasuk dakwaan campur tangan asing dalam proses pilihan raya presiden Amerika dan pengalaman Australia memerangi kempen maklumat palsu asing.



Hakikatnya benteng sempadan sesebuah negara sekarang poros dan mudah dibolosi, lebih-lebih dengan adanya jangkauan Internet yang tidak bertepian.



Justeru pemerintah memperkenalkan Undang-Undang Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas), atau Fica, yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini selepas 10 jam dibahaskan di Dewan.



Fica mempunyai matlamat untuk mencegah, mengesan dan membanteras campur tangan asing dalam ehwal domestik negara, seperti dalam isu politik dan sosial, yang dilakukan menerusi HIC dan proksi.



Ia satu lagi langkah undang-undang untuk memastikan warga Singapura sahaja yang berhak menentukan arah tuju politik domestik negara ini - bukannya orang asing.



Memberi perincian mengenainya, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri dan Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Fica tidak menambah kuasa hakiki undang-undang sedia ada seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Kod Prosedur Jenayah, Akta Penyiaran dan Akta Telekomunikasi secara signifikan.



Bahkan sebahagian besar Fica merupakan Akta Sumbangan Politik yang dipindahkan.



Ia juga memberi pemerintah kuasa kawalan lebih tertumpu dan khusus untuk menangani ancaman tersebut dan digubal sesuai dengan zaman Internet yang merangkumi platform dalam talian yang sering digunakan bagi HIC.



Keperluan untuk menangani HIC sudah pun diketengah dan dibahaskan sejak tiga tahun lalu oleh jawatankuasa pilihan mengenai kepalsuan dalam talian.



Yang jelas Fica tidak menyasarkan warga Singapura atau pihak setempat yang melahirkan pandangan secara jujur, terbuka, telus dan bertanggungjawab.



Melainkan jika pandangan itu dipergunakan oleh ejen asing sebagai proksi untuk tujuan campur tangan.



Oleh itu pakar akademik, kumpulan sivik, peniaga dan individu yang mempunyai urusan dan interaksi secara bebas di luar negara tidak perlu bimbang, selagi mereka menjalankannya secara sah dan tidak menjadi saluran bagi pihak asing.



Sasaran Fica ialah entiti asing yang menjalankan HIC.



Proses undang-undang Fica pula antara lain melibatkan pengesanan HIC yang berasal dari luar; dan menentukan sama ada kempen mereka disasarkan terhadap politik domestik.



Jika ia mempunyai potensi merosakkan kepentingan awam, tindakan akan diambil untuk mengekang maklumat palsu tersebut.



Pihak ketiga seperti platform dalam talian, penyedia khidmat Internet dan pengendali laman web juga boleh diarah untuk menutup akaun disyaki atau menyekat kandungan palsu itu di Singapura.



Pesalah kemudian boleh ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan tetapi tidak boleh ditahan tanpa perbicaraan.



Dalam dunia siber hari ini, ancaman campur tangan asing sentiasa bersembunyi di sebalik tirai dan pelbagai bentuk teknologi yang sering berubah.



Justeru perlu kita sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan wajar demi memastikan negara ini bebas daripada manipulasi dan pengaruh asing.



Mentelah Singapura sebuah negara berbilang kaum dan agama yang mudah terdedah kepada eksploitasi.



Bersama kita lindungi Singapura daripada dijadikan alat asing tidak diundang dan bersama kita sendiri menentukan arah politik dan kehidupan kita, sesuai dengan kehendak negara dan anak watannya.




"Dalam dunia siber hari ini, ancaman campur tangan asing sentiasa bersembunyi di sebalik tirai dan pelbagai bentuk teknologi yang sering berubah.

Justeru perlu kita sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan wajar demi memastikan negara ini bebas daripada manipulasi dan pengaruh asing.

Mentelah Singapura sebuah negara berbilang kaum dan agama yang mudah terdedah kepada eksploitasi.

Bersama kita lindungi Singapura daripada dijadikan alat asing tidak diundang dan bersama kita sendiri menentukan arah politik dan kehidupan kita, sesuai dengan kehendak negara dan anak watannya."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >