Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:25
Wacana

BHALAL: RUANG INFO HALAL

Penuhi selera tetamu Muslim sempena CNY

- Peniaga tidak lepaskan peluang dengan tawarkan menu khas sempena CNY - Jumlah tempahan korporat turut bertambah tahun ini
Jan 19, 2020 | 05:30 AM

PERMINTAAN untuk menjamu selera di kafe dan restoran halal serta tempahan makanan daripada syarikat katering yang menyediakan makanan halal meningkat sehingga 20 peratus menjelang Tahun Baru Cina (CNY) minggu depan berbanding hari-hari biasa.

Bahkan untuk memeriahkan lagi suasana, beberapa peniaga turut menawarkan menu khas sempena Tahun Baru Cina.

Menurut tinjauan Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM), permintaan yang meningkat ini antara lain disebabkan jumlah tempahan korporat yang bertambah serta lebih ramai anggota masyarakat Cina yang ingin menyambut perayaan ini bersama teman dan rakan kerja mereka yang bukan Cina, termasuk masyarakat Islam yang memerlukan hidangan halal.

Restoran 21 On Rajah di Days Hotel di 1 Jalan Rajah (dekat Balestier) misalnya menjangkakan lebih banyak tempahan sepanjang hujung minggu depan sempena CNY, berdasarkan trend yang dilihat pada tahun-tahun sebelum ini.

Malah, jumlah tempahan yang diterima sejauh ini bagi hujung minggu depan juga sekitar 10 peratus lebih banyak berbanding biasa, menurut pengurus restoran itu, Cik Nan Philips.

"Lagipun, banyak kedai makan biasanya ditutup pada hari pertama dan kedua Tahun Baru Cina. Oleh itu, kami menjangkakan lebih banyak tempahan dalam tempoh ini," katanya.

Selain 21 On Rajah, sesetengah restoran lain yang menyajikan bufet halal pula berkata tempahan yang diterima sempena CNY akan datang lebih popular di kalangan pelanggan korporat.

Antaranya termasuk restoran Carousel di Hotel Royal Plaza on Scotts yang menerima sekitar 20 peratus lebih banyak tempahan sempena Tahun Baru Cina berbanding tahun lalu sejauh ini.

"Kami menerima lebih banyak tempahan daripada kumpulan tahun ini, khususnya tempahan korporat.

"Ini mungkin disebabkan keadaan ekonomi yang kelihatan bertambah baik," kata jurucakap restoran tersebut.

Restoran Aquamarine di Hotel Marina Mandarin pula berkata sajian bufetnya yang halal antara sebab yang mendorong tempahan daripada kumpulan korporat dengan kakitangan Muslim yang memerlukan hidangan halal.

Dengan permintaan yang lebih tinggi, restoran itu juga telah mengambil beberapa langkah bagi menangani tempoh lebih sibuk itu.

"Kami merancang mengerahkan beberapa kakitangan kami daripada jabatan bankuet untuk membantu di restoran kami.

"Ini juga memberi mereka peluang untuk mendapatkan latihan dalam jabatan lain dan membolehkan kakitangan kami yang menyambut Tahun Baru Cina untuk meluangkan masa bersama keluarga masing-masing," ujar jurucakap restoran itu.

Pemilik Restoran The Malayan Council, Encik Mohamad Hafiz Salim Al-Khatib, berkata lebih ramai orang suka menjamu selera di kedai makan kini kerana menganggapnya lebih mudah dan sesuai dengan jadual mereka yang sibuk.

Restoran itu turut menawarkan pakej khas sempena Tahun Baru Cina.

"Alhamdulillah kami mendapat sambutan baik termasuk daripada pelanggan yang ingin adakan 'reunion dinner' di restoran kami. Kami menjangkakan lebih ramai pelanggan tahun ini berbanding tahun lalu," ujar Encik Hafiz.

Meskipun sambutan dari segi tempahan di beberapa restoran dan kafe tidak begitu rancak sejauh ini, pemiliknya tetap menjangkakan permintaan akan bertambah pada hujung minggu akan datang berbanding hujung minggu biasa.

Pemilik restoran Rasa Rasa, Encik Steven Pang, berkata kebanyakan pelanggannya biasanya tidak membuat tempahan tetapi terus datang langsung ke restoran tersebut.

"Sejak beberapa tahun lalu, kami memerhatikan bahawa permintaan lebih tinggi semasa tempoh Tahun Baru Cina.

"Restoran kami sibuk dan kadangkala pelanggan terpaksa menunggu untuk mendapatkan tempat duduk," kata Encik Pang sambil menambah, mereka menjangkakan perkara sama tahun ini.

Restoran Steak Me milik Cef Amri Abdul Azim pula akan mengerahkan lebih ramai pekerja sempena hujung minggu CNY.

"Kami juga akan menawarkan ganjaran kepada pekerja kami, khususnya pekerja sepenuh masa kami yang perlu bekerja lebih masa, supaya operasi kami semasa waktu sibuk yang dijangkakan nanti tidak terganggu," ujar Cef Amri.

Bersetuju, pemilik restoran Kucina, Cef Gero Di Maria Mohammed Omar, juga berkata beliau akan menyediakan lebih ramai pekerja kerana menjangkakan ramai pelanggan pada hujung minggu panjang akan datang.

Sementara itu, beberapa syarikat khidmat katering yang menyediakan makanan halal di sini turut mendapat lebih banyak tempahan berbanding biasa sempena peryaraan CNY yang menjelang.

Rumah Makan Minang misalnya sudah mendapat 20 tempahan sejak bulan lalu daripada pelanggan bukan Islam bagi CNY ini - 25 dan 26 Januari tahun depan - walaupun restoran itu belum melancarkan menu perayaan mereka waktu itu.

Bukan restoran dan syarikat katering sahaja, bahkan kedai kek halal di sini juga menikmati permintaan lebih tinggi dengan orang ramai yang lebih suka mendapatkan kek dan kuih-muih halal kerana lebih mudah untuk dihidangkan buat tetamu berbilang agama yang diundang ke rumah mereka untuk menyambut perayaan itu bersama.

Antara mereka termasuk ejen hartanah, Encik Kenneth Woo, 37 tahun, yang sering menempah kek dan kuih daripada kedai kek halal Butter Studio sejak lima tahun lalu.

Kali ini, beliau antara lain mendapatkan kuih tat nanas dan kuih badam garam laut daripada kedai itu untuk diberikan kepada suadara-mara sebagai hadiah dan juga untuk dihidangkan kepada keluarga dan temannya yang datang ke rumahnya nanti.

"Saya biasanya menjemput kawan yang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan isteri saya selalunya mengundang kawan sekolahnya, dan terdapat Muslim dalam kalangan mereka.

"Jadi dengan mendapatkan kuih halal ini, mereka boleh makan dengan selesa tanpa ragu-ragu. Saya pun tak perlu susah-susah nak fikirkan untuk mendapatkan hidangan yang berbeza untuk teman saya itu," ujar Encik Woo.

Menurut pengarah Butter Studio, Cik Shannon Lua, mereka ingin mewujudkan jenama yang inklusif yang boleh dinikmati segenap lapisan masyarakat.

Oleh itu, mereka gembira kek dan kuih yang ditawarkan mereka dapat dikongsi dengan masyarakat berbilang budaya dan latar belakang.

"Sebagai masyarakat berbilang kaum, tindakan memberi hadiah kepada kenalan ini boleh membantu meningkatkan pemahaman budaya satu sama lain dan mengeratkan hubungan semasa sambutan pelbagai perayaan.

"Kami yakin ini memainkan peranan dalam usaha memelihara keharmonian kaum dan fabrik sosial kita yang unik," ujar Cik Lua.


Saya biasanya menjemput kawan yang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan isteri saya selalunya mengundang kawan sekolahnya, dan terdapat Muslim dalam kalangan mereka. Jadi dengan mendapatkan kuih halal ini, mereka boleh makan dengan selesa tanpa ragu-ragu. Saya pun tak perlu susah-susah nak fikirkan untuk mendapatkan hidangan yang berbeza untuk teman saya itu.
- Ejen hartanah, Encik Kenneth Woo.

Sebagai masyarakat berbilang kaum, tindakan memberi hadiah kepada kenalan ini boleh membantu meningkatkan pemahaman budaya satu sama lain dan mengeratkan hubungan semasa sambutan pelbagai perayaan. Kami yakin ini memainkan peranan dalam usaha memelihara keharmonian kaum dan fabrik sosial kita yang unik.
- Pengarah kedai kek halal, Butter Studio, Cik Shannon Lua.