Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Peralihan pucuk pimpinan bakal warnai rantau Asean

Jun 21, 2022 | 05:30 AM



LANDSKAP politik Asia Tenggara akan mengalami peralihan dalam dekad ini. Tahun 2023/25 menjadi tahun pertaruhan politik dengan sekurang-kurangnya empat negara sudah mula rancak dan hangat melalui pelbagai perkembangan ke arah persiapan peralihan pucuk pimpinan.



Proses peralihan ini berjalan secara demokratik dengan sebahagian besar penentunya, yakni pengundi, terdiri daripada generasi milenial.



Rata-rata mereka bukan ingin melihat tokoh baru memegang tampuk pemerintahan sahaja, bahkan sangat mengharapkan wujudnya pentadbiran cekap untuk menangani pelbagai kemungkinan dalam masa mendatang.



Cabaran-cabaran pascapandemik Covid-19 dan perang di Ukraine, yang membawa banyak kesan ekoran disebabkan langkah-langkah sekatan yang dikuatkuasakan, memicu kepada gangguan ekonomi.



Kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan serta tenaga semakin dirasakan dan ini memerlukan inisiatif terbaik dalam menangani keadaan tersebut



Indonesia, misalnya, sudah mula rancak membahaskan tentang calon yang bakal mengambil alih pucuk pimpinan apabila tempoh jawatan penggal kedua Presiden Joko Widodo tamat.



Namun, tumpuan lebih diberikan pada keserasian calon dengan tokoh berpengaruh dalam politik Indonesia.



Sudah banyak nama yang disebut-sebut sebagai bakal calon presiden. Antara mereka ialah tokoh muda seperti Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, 53 tahun; Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, 53 tahun; dan Gabenor Jawa Tengah, Cik Puan Maharani, 48 tahun, yang juga Speaker Parlimen serta anak mantan presiden Cik Megawati Sukarnoputri.



Namun, ada juga masih kuat mahukan tokoh lama terus diangkat, seperti Presiden Joko Widodo sendiri dan Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto. Malah ada juga pihak yang mahu Cik Megawati, yang menjadi menjadi presiden 2001-2004, menjadi calon presiden lagi.



Juga disebut-sebut ialah ketua Partai NasDem, Encik Surya Paloh.



Tokoh muda dalam lingkungan usia 50-an tahun disenangi pengundi muda.



Namun pengaruh politik di negeri itu masih ditangan "orang-orang lama" dan mereka itu menguasai arena politik Indonesia yang sangat kompleks.



Di Malaysia, apa yang berlaku di Kuala Lumpur sudah mula hangat walaupun pilihan raya umum di negeri itu harus diadakan selewat-lewatnya September 2023.



Sudah terdapat desakan agar pilihan raya umum ke-15 (PRU15) negara itu diadakan segera.



Bagaimanapun, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, cepat menegur agar PRU15 diadakan selepas penggal Parlimen semasa tamat pada 2023.



Beberapa ahli parlimen veteran mahu pilihan raya diadakan tahun ini. Bagaimanapun, ini kurang disenangi pengundi muda kerana mereka belum melihat dan mendengar nama-nama baru selain yang ada sekarang.



Tambahan lagi banyak isu ekonomi, kesihatan dan kesejahteraan rakyat yang perlu diberikan perhatian.



Malah, Parti Islam SeMalaysia (PAS) juga tidak senang dengan desakan itu dan menyifatkan mereka yang mendesak PRU15 diadakan segera pilihan raya umum sebagai kemaruk kuasa dan takut kehilangan kerusi.



Desakan sesetengah pihak itu didorong kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Mereka mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya segera membubarkan Parlimen.



Ketua Pemuda Umno Pahang, Encik Farid Md Nor, lantang membantah dan mengecam tindakan orang Umno semasa menyambut kemenangan PRN Johor dengan melaungkan supaya PRU15 segera diadakan.



"Tindakan sebegini bukanlah budaya Umno. Ia adalah tindakan keterlaluan yang memberi impak negatif kepada BN dan jelas tidak menghormati institusi Perdana Menteri yang ditunjangi Umno.



"Tindakan kumpulan ini juga memberi persepsi seolah-olah Umno merupakan parti yang rakus, bongkak dan terlalu kuat selepas menang besar di PRN Johor," kata Encik Farid dalam satu kenyataan.



Di Singapura, proses peralihan pucuk pimpinan dibuat secara terancang, dengan sedikit perubahan.



Rancangan awal ialah bagi Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengambil alih pucuk pimpinan.



Bagaimanapun, Encik Heng, yang akan berusia pertengahan 60-an tahun jika rancangan pengalihan kuasa itu diteruskan, berpendapat adalah lebih baik menyerahkan tugas itu kepada pemimpin muda yang akan mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persiapan bagi menerajui negara.



Atas dasar musyawarah, suatu persetujuan dicapai dalam kalangan pemimipin pelapis generasi keempat (G4) Parti Tindakan Rakyat memilih Menteri Kewangan Lawrance Wong memikul amanah mengambil alih kuasa daripada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, kelak.



Penentuannya akan dilihat selepas pilihan raya nanti, yang harus diadakan selewat-lewatnya November 2025.



Di Thailand pula, mantan perdana menteri Thaksin Shinawtra, yang melarikan diri ke Dubai, kini sedang menyaksikan seorang lagi anggota keluarganya akan bersaing untuk memimpin negara itu.



Anak bongsunya, Cik Paetongtarn Shinawatra, 35 tahun, dikatakan sedang mempersiapkan diri untuk ke depan apabila negara gajah putih itu mengadakan pilihan raya tahun depan.



Sebelum ini, adik perempuan Encik Thaksin, Ci Yingluck Shinawatra, pernah menjadi perdana menteri selepas memenangi pilihan raya pada 2011.



Bagaimanapun, pada September 2017, Cik Yingluck didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.



Beliau kini dipercayai bermastautin di London.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >