Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Peranan asatizah tangani ancaman ideologi ganas

Jun 18, 2018 | 05:30 AM



Berikut rencana keempat dalam siri yang mengupas tentang amalan hidup yang inklusif dan pengamalan agama yang diterbitkan BERITA HARIAN dengan kerjasama Program Pengajian Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP), di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). Rencana kali ini menyentuh tentang peranan asatizah dalam menangani ideologi ganas.



MENANGANI ancaman ideologi ganas merupakan antara cabaran masyarakat Islam masakini.



Kumpulan pengganas seperti ISIS telah berjaya menarik perhatian sekali gus mempengaruhi anak-anak muda melalui ideologi dan propaganda mereka.



Ini walaupun mereka telah kehilangan beberapa kawasan yang pernah mereka tawan sebelum ini seperti Mosul dan Raqqa.



Walaupun kehilangan beberapa kubu utama mereka, ISIS mampu untuk terus beroperasi.



Kekuatan mereka tidak terletak pada kawasan yang telah mereka takluki serta jumlah pengikutnya.



Namun, kekuatan mereka ialah keupayaan menggunakan agama dalam propaganda mereka.



Agama menjadi nadi yang menghidupkan ISIS.



Bagi menangani ancaman ideologi ganas seperti yang disebarkan ISIS, asatizah memainkan peranan utama.



Mereka perlu tampil dan membidas salah tafsiran agama yang dipelopori ISIS.



Mereka juga berperanan mendidik masyarakat tentang bahayanya ideologi sedemikian.



IDEOLOGI ISIS MELANGGAR DASAR ISLAM



Islam adalah agama rahmat dan tidak sama sekali menganjurkan pengikutnya menggunakan kekerasan serta juga mendukung sifat eksklusif.



Bukti-bukti yang menunjukkan sedemikian terdapat dalam intipati ajaran agama tersebut yang terkandung dalam ayat suci Al-Quran dan sunah Rasulullah saw.



Pendirian Islam terhadap soal peperangan dan menggunakan kekerasan boleh dilihat dalam ajaran Islam itu sendiri.



Terdapat dua ayat Al-Quran yang jelas menyatakan bahawa:



"Peperangan itu dibenci" (Surah Al-Baqarah: 216), dan "menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)" merupakan satu perkara yang terpuji (Surah An-Nur: 55).



Begitu juga yang diajarkan dalam sebuah hadis yang sahih: "Orang yang terbaik di antara kalian adalah mereka yang mempunyai perwatakan yang paling baik.'' - Hadis Riwayat at-Tabarani.



Ayat-ayat Al-Quran dan hadis ini jelas menunjukkan bahawa Islam tidak mengajak kepada keganasan.



Oleh itu, mereka yang telah dipengaruhi dengan ideologi ganas dan menjadi radikal sangat jahil dengan ajaran Islam yang sebenar.



MEDIA SOSIAL SUMBER KEKELIRUAN



Dewasa ini, media sosial merupakan wadah untuk berkongsi dan mendapatkan maklumat dengan cara serta-merta.



Terdapat kebaikan dan keburukannya. Tidak dapat dinafikan, sifat media sosial yang terbuka dan tidak terkawal ini boleh mendatangkan kemudaratan dalam sekelip mata.



Sifat keterbukaan ini menjadikan media sosial satu wadah yang paling berkesan untuk kumpulan pengganas seperti ISIS menyebarkan ideologi ekstremis mereka.



Sebagai pengguna media sosial, kita perlu bertanggungjawab dalam penggunaan wadah ini.



Kita seharusnya peka dan berhati-hati dengan permintaan daripada orang-orang yang ingin menjadi teman kita di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.



Di antara faktor utama seseorang itu mudah dipengaruhi ideologi ganas ialah ketiadaan pengetahuan agama yang mendalam.



Ini disebabkan mereka yang menjadi radikal benar-benar percaya apa yang diajar oleh ISIS adalah ajaran Islam yang benar dan harus dituntut.



Ini satu kekeliruan yang besar. Ramai juga yang dipengaruhi emosi akibat tarikan dari ideologi dan propaganda ISIS.



Oleh sebab itu, amat penting bagi setiap Muslim di sini mendapatkan ajaran agama yang benar dan juga bersifat kontekstual - yakni sesuai dengan konteks Muslim minoriti dan juga masyarakat majmuk.



Bukan itu sahaja. Malah mendapatkan ajaran agama dari asatizah dan pembimbing agama yang bertauliah juga amat penting.



Di Singapura, mereka yang menghadapi kekeliruan dalam fahaman agama boleh merujuk kepada para asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) atau kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Masyarakat perlu sedar peranan mereka dalam menggunakan media sosial dengan bijak.



Hari ini, ramai di kalangan kita tidak boleh hidup tanpa menggunakan media sosial walaupun untuk sehari sahaja.



Pemikiran serta pembentukan fahaman kita sering dipengaruhi dengan aktiviti-aktiviti di media sosial.



Sekiranya membaca posting atau catatan Facebook dari seseorang itu sudah cukup untuk membuat seseorang itu marah atau ingin membuat komen yang negatif, ini adalah sesuatu yang membimbangkan.



Sebagai pengguna media sosial yang bertanggungjawab, kita harus mencegah anggota keluarga dan rakan-rakan kita daripada terkesan dengan pengaruh negatif dan salah fahaman dalam ilmu agama.



Mereka perlu digesa bertanya kepada asatizah setempat untuk mendapatkan kefahaman agama yang tepat.



Bahkan, tindakan seperti ini dijelaskan oleh Allah swt dalam Surah An-Nahl ayat 43: "… maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui".



PERANAN BANGUNKAN MASYARAKAT PROGRESIF



Asatizah berperanan membangunkan masyarakat yang progresif dan harmoni.



Ini dapat dilakukan melalui usaha mendekatkan diri dengan setiap lapisan masyarakat.



Mereka juga digalakkan bekerjasama bukan hanya dalam organisasi Islam sahaja, tetapi juga dengan masyarakat yang lain.



Asatizah juga perlu mendekati mahasiswa di politeknik dan universiti.



Oleh itu, bimbingan dari asatizah merupakan peranan yang amat penting.



Peranan asatizah merangkumi banyak aspek. Antaranya ialah mengelakkan salah tafsiran teks agama di kalangan masyarakat.



Saya pernah menonton persembahan teater di sebuah politeknik di mana berlakunya penyampaian teks agama dengan tafsiran yang salah.



Walaupun mereka mempunyai niat yang baik iaitu menyebarkan dakwah Islam, ramai penonton termasuk yang bukan agama Islam mendapat mesej yang salah dan berasa bingung.



Di samping itu, asatizah juga digesa untuk aktif dan berinteraksi di media sosial. Suara mereka diperlukan.



Maklumat yang ada di media sosial tidak dikawal dan dipantau secara terperinci. Keprihatinan asatizah dalam perkara ini diperlukan.



Mereka juga tidak harus membiarkan sebarang komen yang berpotensi membawa kepada perpecahan dan perbalahan kaum.



Mereka perlu bertindak secara bijak dalam menangani masalah tersebut yang kian berubah mengikut peredaran masa.



KESIMPULAN



Kefahaman agama merupakan suatu perkara yang sangat rumit dan seseorang itu tidak boleh mempelajari agama dengan mempunyai fahaman yang literal.



Intipati dan makna setiap perkataan yang diajari dalam agama perlu dihayati secara teliti.



Seorang murid dari Abu Hassan Asyari, iaitu Abul Hassan Al-Bahili, pernah berkata:



"Saya pernah duduk di samping Syeikh Asyari, saya berasa seolah-olah saya hanya setitis air di lautan yang dalam.''



Maka janganlah kita sekali-kali berfikiran bahawa kita telah mengetahui segala-galanya hanya dengan memahami satu perspektif sahaja.



Kita harus selalu rujuk kepada asatizah dan mereka yang pakar dalam agama untuk mendapatkan kefahaman agama yang benar yang bersifat kontekstual serta inklusif.



Ini amat penting untuk mengekalkan keharmonian dan kedamaian serta mengelakkan keganasan dari berlaku.



Kedamaian tidak boleh diraih melalui keganasan, ia hanya boleh direalisasi melalui pemahaman dan kesefahaman.



Kedamaian adalah nikmat yang patut dihargai kerana ia membawa maksud yang amat mendalam.




BIODATA PENULIS



USTAZAH UNAISAH ADAM



- Baru lulus ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Al-Quran dan Hadis daripada Universiti Malaya.



- Beliau peserta Program Sijil Pemikiran Islam Dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari anjuran Akademi Muis dan Program Pengajian Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP), RSIS pada Julai lalu.



- Antara bidang kajiannya ialah kaedah perbandingan dalam terjemahan Al-Quran dan Hadis, ideologi dan doktrin di Asia Tenggara dan trend belia.




Asatizah setempat telah menjayakan beberapa inisiatif sebagai sebahagian usaha membimbing masyarakat agar memahami dan mengamalkan nilai dan ajaran sewajarnya dalam Islam. BERITA HARIAN berikan beberapa contoh berikut.



KUMPULAN PEMULIHAN KEAGAMAAN (RRG)



KUMPULAN Pemulihan Keagamaan (RRG) yang menyambut ulang tahun ke-15 tahun ini, dibentuk selepas serangan 9/11 ke atas Amerika Syarikat setelah terdapat keperluan mendesak untuk memberikan bimbingan agama kepada tahanan Jemaah Islamiyah (JI).



Ia bekerjasama rapat dengan agensi kebangsaan dan masyarakat dalam perang membanteras pengganasan, menentang ideologi ekstrem dan memulihkan mereka yang terpengaruh.



Selain kerja kaunseling dan pemulihan utama, RRG membantu membina daya tahan sosial masyarakat melalui program jangkauannya.



Sejak 2005, ia menganjurkan persidangan forum, dialog dan taklimat untuk mendidik masyarakat mengenai konsep-konsep utama Islam yang sering disalah tafsir kumpulan pengganas dan ekstremis seperti JI, Al-Qaeda dan ISIS.



RANGKAIAN BELIA ASATIZAH (AYN)



DI Singapura, Rangkaian Belia Asatizah (AYN) dengan seramai 11 asatizah telah dibentuk bagi mendekati belia menerusi wadah dalam talian untuk menangani unsur radikal dan ekstrem.



Mereka telah menjalani beberapa latihan termasuk memahami cabaran naratif radikal, latihan Google serta menghasilkan blog dan video.



Usaha ini penting memandangkan akses kepada maklumat agama semakin mudah diperoleh melalui Internet dan terdapat bahaya unsur ideologi radikal serta ekstrem terserap di bawah penyamaran agama.



Oleh itu, AYN ditubuhkan bagi membolehkan asatizah memainkan peranan lebih proaktif dalam membimbing masyarakat menimba pengetahuan agama yang betul, terutama golongan belia.



SKIM PENGIKTIRAFAN ASATIZAH (ARS)



ANTARA fungsi utama Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) adalah memastikan masyarakat memahami ajaran Islam betul dan mengikut konteks.



Di bawah ARS yang diwajibkan pada Januari 2017, semua guru agama, pusat pendidikan Islam dan pembekal dikehendaki berdaftar dengan Muis.



Langkah ini bertujuan memastikan bahawa hanya guru agama, pusat pendidikan Islam dan penyedia yang memenuhi syarat, diluluskan untuk menawarkan pendidikan Islam yang sesuai untuk konteks pelbagai agama di Singapura.



Dengan memastikan perkembangan agama Islam di sini dapat diteruskan serta dilaksanakan dengan lebih baik oleh asatizah yang bertauliah, pendekatan ini diharap dapat membantu mengatasi penyebaran idea-idea eksklusif.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >