Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Peranan keluarga dalam cegah kemungkaran

May 30, 2021 | 05:30 AM



KETIBAAN Syawal melambangkan kemenangan buat umat Islam kerana telah berjaya melaksanakan ibadah puasa selama sebulan dan menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang.



Syawal juga merupakan permulaan baru untuk kita yang telah melatih diri untuk mengawal nafsu dan memperbaiki diri dengan amalan baik sepanjang bulan Ramadan.



Selain itu, Syawal dapat mengeratkan silaturahim kita bersama ahli keluarga, baik yang dekat mahupun yang berjauhan.



Salah satu amalan yang dapat dilihat di pagi Raya adalah bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga kita.



Ini dapat memperbaruhi dan mengeratkan semula hubungan kita sekeluarga.



Amalan ini juga dapat dilihat semasa berkunjungan ke rumah saudara-mara atau rakan handai.



Hubungan keluarga yang kuat adalah penting bagi menjamin kebahagian sesama kita.



SYAWAL BERJAUHAN KELUARGA



Dalam kita menyambut Syawal bersama keluarga, ada di kalangan kita yang menyambutnya berjauhan daripada keluarga yang dikasihi kerana menjalani hukuman penjara.



Hari Raya amat berbeza untuk mereka.



Sedih lagi bagi anak-anak mereka yang tidak dapat bersama atas sebab ini dan hanya dapat meraikan Raya dengan seadanya.



Pada Ramadan tahun ini dan sebelum permulaan Fasa Kedua (antara 15 April dengan 6 Mei), saya telah berpeluang berbuka dan bertemu bual bersama para pesalah di dalam penjara dan di rumah peralihan Pertapis.



Saya juga telah melawat keluarga-keluarga pesalah bersama badan-badan masayarakat seperti AMP, New Life Stories, Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) dan Rumah Peralihan Jamiyah untuk memberi sokongan dan mengagihkan habuan untuk persiapan menyambut Hari Raya.



Saya sangat terkesan dengan perkongsian para pesalah mengenai pengalaman menyambut Ramadan di penjara dan harapan Hari Raya mereka.



Bersahur dan berbuka berjauhan dari keluarga amat terkesan bagi mereka terutama mereka yang ada anak-anak yang masih kecil.



Ramadan mengingatkan mereka tentang keluarga yang menanti di luar dan imbasan masa-masa lalu yang telah mereka sia-siakan.



Mereka berasa kesal atas kesalahan mereka dan ingin memperbaiki hubungan mereka bersama keluarga. Mereka juga harap untuk kembali ke pangkuan keluarga seawal mungkin.



KISAH RAFI



Salah seorang yang telah saya bertemu semasa lawatan saya ke penjara adalah Rafi (bukan nama sebenar), yang telah dipenjarakan atas kesalahan dadah.



Rafi telah mula berjinak-jinak dengan dadah sejak umur 13 tahun.



Ibu bapanya telah bercerai dan mereka tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kerana penceraian dan terpaksa bekerja hingga lewat untuk menampung hidup mereka.



Tanpa keluarga yang ada untuk membimbing atau mengambil peduli mengenai dirinya, Rafi telah memilih dadah sebagai jalan keluar untuk mengatasi masalahnya. Saya amat kecewa mendengar penglibatannya sejak usia yang muda.



Rafi yang sekarang berumur 25 tahun kesal atas penyalahgunaan dadah dan bertekad untuk berubah. Beliau berikrar untuk menjauhkan diri daripada penyalahgunaan dadah dan harap untuk bersama keluarganya selepas dibebaskan.



Ramai juga seperti Rafi yang telah dikenalkan dadah pada usia yang muda. Ini amat membimbangkan.



Kita harus lebih prihatin, mengambil berat dan peduli tentang anak-anak kita dengan tunjuk ajar atau memberi dorongan yang baik. Ini dapat membendung mereka daripada terlibat dalam penyalahgunaan dadah.



HARAPAN IBU



Saya juga telah melawat Cik Normah (bukan nama sebenar) di rumahnya.



Beliau menantikan kepulangan anak perempuannya yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.



Walaupun usianya yang telah lanjut, Cik Normah tolong menjagakan dua cucunya yang masih di bangku sekolah.



Beliau harap anaknya itu akan berubah dan mulakan hidup baru setelah dibebaskan nanti.



Cik Normah sedih melihat cucu-cucunya hidup tanpa kasih sayang ibu bapa.



Harapan beliau supaya mereka tidak mengikut jejak ibunya yang telah beberapa kali keluar masuk penjara.



Saya harap dengan program-program pemulihan yang dilakarkan pihak penjara dan badan-badan masyarakat, dan sokongan kuat keluarga, anak perempuan Cik Normah dapat berubah.



Harapan saya juga adalah supaya para pesalah dapat mengambil kesempatan bulan Syawal ini untuk meminta maaf daripada keluarga mereka.



Pada masa yang sama, saya berharap supaya ahli keluarga juga dapat mengambil peluang ini untuk memaafkan.



Bermaaf-maafanlah dan mulakan hidup baru pada bulan ini sempena menyambut hari kemenangan.



PROGRAM KELUARGA DALAM MASYARAKAT



Kami amat bersyukur kerana ada pelbagai program keluarga yang disediakan di dalam masyarakat.



Badan masyarakat seperti AMP, Mendaki, Fitrah dan PPIS telah melakarkan program-program yang dapat memperbaiki atau mengeratkan hubungan keluarga, selain daripada memberi bantuan kewangan dan persekolahan untuk anak-anak mereka.



Sebagai contoh, dalam naugan M3, Mendaki telah mengendalikan program Keluarga Akrab (FEC) yang memberi sokongan kepada keluarga para pesalah, terutama pasangan mereka.



Melalui program FEC ini, para peserta dapat meningkatkan keyakinan diri dan lebih berdikari untuk membimbing keluarga mereka semasa pasangan mereka menjalani hukuman penjara.



Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP) dan M3 pula telah mengembleng tenaga untuk menghulurkan bantuan segera untuk keluarga pesalah Melayu/Islam. Mereka sering menghubungi keluarga tersebut untuk memastikan kestabilan dalam keluarga itu supaya dapat mencegah anak-anak mereka daripada terlibat dalam jenayah.



Usaha ini juga memastikan keluarga pesalah tidak keseorangan dalam mengatasi cabaran semasa ahli keluarga menjalani hukuman penjara.



PERANAN KELUARGA



Seperti yang dapat dilihat, keluarga memainkan peranan penting dalam hidup seseorang.



Di situlah kita mendapat kasih sayang, bermanja dan melalui hiruk-pikuk kehidupan bersama.



Semangat bekerjasama dan mengambil peduli harus ada dalam setiap institusi keluarga.



Hubungan keluarga yang teguh dan rapat juga dapat mencegah kemungkaran dan membawa kebahagian.



Keluarga yang meluangkan masa bersama, memberi dorongan, meluahkan perasaan dan mengongsi masalah yang dihadapi di sekolah atau di tempat kerja boleh mengatasi liku-liku kehidupan bersama.



Ini adalah lebih baik daripada memilih dadah sebagai jalan keluar dari masalah atau tekanan stres mereka.



Marilah kita mengeratkan hubungan keluarga kita dan meningkatkan keperihatinan kita tentang kehidupan seharian ahli keluarga kita.



Dengan itu, salam Aidilfitri daripada saya dan semoga berbahagia selalu di samping keluarga tersayang.




  • Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).


Keluarga yang meluangkan masa bersama, memberi dorongan, meluahkan perasaan dan mengongsi masalah yang dihadapi di sekolah atau di tempat kerja boleh mengatasi liku-liku kehidupan bersama.

Ini adalah lebih baik daripada memilih dadah sebagai jalan keluar dari masalah atau tekanan stres mereka. Marilah kita mengeratkan hubungan keluarga kita dan meningkatkan keperihatinan kita tentang kehidupan seharian ahli keluarga kita.

- Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >