Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perbaiki keadaan kerja, gaji dan kualiti hidup pekerja bergaji rendah

Sep 24, 2023 | 5:30 AM
SOKONG PEKERJA: Kesatuan sekerja bekerja keras dalam pembangunan Model Gaji Progresif (PWM) untuk industri seperti pembersihan, landskap dan pengurusan sisa bagi menjadikan industri berkenaan lebih mampan dan menarik untuk semua peringkat pekerja.
SOKONG PEKERJA: Kesatuan sekerja bekerja keras dalam pembangunan Model Gaji Progresif (PWM) untuk industri seperti pembersihan, landskap dan pengurusan sisa bagi menjadikan industri berkenaan lebih mampan dan menarik untuk semua peringkat pekerja. - Foto fail

Noor Irdawaty Jammarudin

Industri Binaan Singapura menghadapi pelbagai cabaran kerana ia kerap dikaitkan sebagai kerjaya yang berbahaya, kotor dan mencabar.

Faktor-faktor ini telah menyumbang kepada kadar pertukaran pekerjaan yang tinggi dan berterusan, dan menjadikannya kebimbangan utama dalam industri ini.

Ramai pekerja menghadapi kadar pendapatan gaji yang rendah, waktu kerja yang panjang, tarikh penyiapan yang singkat, kekurangan masa menyeimbangkan kehidupan dengan pekerjaan, dan tahap tekanan yang tinggi.

Ditubuhkan pada 1982, Kesatuan Pekerja Binaan Bangunan dan Perusahaan Balak (Batu) merupakan kesatuan industri di bawah naungan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang mewakili pekerja dalam sektor pembinaan, pengurusan prasarana, perkhidmatan alam persekitaran, landskap dan perindustrian kayu.

Kesatuan ini mempunyai 46,000 anggota.

Sebagai wakil kesatuan dalam rakan kongsi tiga pihak, Batu bekerja rapat dengan badan-badan industri dan juga kementerian atau lembaga berkanun yang berkaitan untuk menangani isu pertukaran pekerjaan yang tinggi dan kurangnya daya tarikan sektor ini untuk mendapat pekerja lebih muda.

Rakan kongsi tiga pihak menyedari keperluan mendesak untuk memperbaiki cabaran ini dan mewujudkan industri yang lebih mampan dan menarik untuk semua peringkat pekerja.

Satu lagi bidang utama kerjasama Batu dengan rakan kongsi tiga pihak ialah dalam pembangunan Model Gaji Progresif (PWM) untuk industri pembersihan, landskap, pengurusan sisa, dan penyenggaraan lif dan tangga bergerak.

PWM menyasarkan untuk mempunyai pertumbuhan gaji yang mampan dan berterusan, sepadan dengan tahap kemahiran, produktiviti dan tanggungjawab atas pekerjaan pekerja dalam industri binaan dan berkaitan dengannya.

Semasa pembentukan model gaji, Batu turut memainkan peranan penting dalam mendapat maklum balas dan pandangan pekerja-pekerja daripada industri yang terlibat  untuk perbincangan yang lebih terperinci oleh jawatankuasa tiga pihak PWM. 

Di sebalik pelbagai kerumitan, Batu tetap tegas dalam memastikan dapatan terbaik untuk pekerja.

Dan yang lebih memberangsangkan ialah ramai ahli mereka yang telah pun mendapat manfaat daripada saranan PWM.

Satu contoh tepat ialah Encik Azhar Sohor, seorang pekerja pembersihan yang berkhidmat di syarikat LS2. Beliau telah berkongsi dalam temu bual dengan Berita Harian (BH) bahawa beliau telah memanfaatkan PWM untuk meningkatkan kemahirannya dengan menghadiri kursus yang berkaitan dan imbalan akhirnya membawa kepada peningkatan gaji dan pekerjaan.

Pihak Batu juga telah giat bekerjasama dengan banyak syarikat kesatuan mereka menerusi Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) bagi mengenal pasti set kemahiran baharu, proses perniagaan dan teknologi untuk transformasi industri. Disokong dengan geran CTC, firma atau syarikat ini memulakan projek yang membawa kepada kenaikan gaji yang lebih baik dan/atau mempunyai rancangan peningkatan kerjaya untuk pekerja-pekerja mereka.

Salah satu firma yang telah melancarkan satu projek menggunakan Geran CTC ialah PM Link Pte Ltd, sebuah firma pengurusan projek bebas di Singapura. Firma tersebut memulakan Pelan Hala Tuju Operasi dan Teknologi (OTR), dengan membuat perancangan perniagaan masa depan lima tahun untuk firma tersebut.

Fokus utama projek itu ialah perancangan Pembangunan strategi baharu untuk mencapai matlamat kewangan syarikat dan cara mengembangkan pasukan Pengurus Projek mereka.

Semasa perbincangan dalam sesi OTR, PM Link menyedari keperluan untuk meningkatkan kemahiran Pengurus Projek mereka yang sedia ada dari segi penyelarasan dan pelaksanaan untuk mengurangkan risiko projek dan meningkatkan kadar kejayaan projek.

Dengan bantuan Batu, mereka memanfaatkan Geran CTC NTUC untuk melatih satu pasukan 15 Pengurus Projek. Kesemua mereka telah menamatkan ‘Kursus Sijil Penilaian Pengurusan’.

Satu lagi firma penyedia perkhidmatan pembersihan dan sanitasi, Total Cleanz, juga mengunakan kaedah OTR untuk membuat perancangan perniagaan masa depan tiga tahun untuk menumpukan pada pengembangan perniagaan serta peningkatan kemahiran tenaga kerja.

Perbincangan menggunakan kaedah OTR telah membawa kepada idea salutan kaca pembersihan secara sendiri dan ini memudahkan penyelenggaraan untuk pekerja pembersihannya. Dengan bantuan Batu, syarikat itu memohon Geran CTC NTUC dan bekerjasama dengan Politeknik Singapura dalam pembangunan salutan tersebut.

Inisiatif itu akan membawa kepada kenaikan gaji sebanyak sehingga 8 peratus bagi pekerja-pekerja yang terlibat. Di samping peningkatan produktiviti dan tahap keselamatan pekerja, pekerja itu tidak perlu membersihkan kaca dengan lebih kerap dan dapat menumpukan pada perkhidmatan nilai tambah yang lain. 

Usaha-usaha untuk mengubah persepsi industri ini sebagai sektor yang berat, berbahaya dan kotor ini kepada sektor yang produktif, profesional dan progresif  memerlukan masa, Batu tetap optimis ia akan membuahkan hasil. 

Batu juga telah menghantar pemimpin kesatuan ke persidangan di luar negara untuk mempelajari dan juga berkongsi cara menangani cabaran dalam industri persekitaran binaan.

​Pada 2016, saya telah mewakili Batu menghadiri Mesyuarat Serantau Asia-Pasifik (APRM) International Labour Organization (ILO) ke-6 di Bali, Indonesia.

Dalam majlis itu, saya menyarankan agar ILO meningkatkan kesedaran di kalangan pembeli khidmat untuk menggunakan kontrak berasaskan kepada hasil dalam, dalam sektor-sektor di industri persekitaran binaan.

Saya juga mengambil bahagian dalam Persidangan Buruh Antarabangsa ke-111 di Geneva, Switzerland, pada Jun 2023.

Persidangan itu menawarkan platform berharga buat kami berinteraksi dengan peserta dari pelbagai negara dan memberi perspektif global mengenai isu-isu buruh dan pemahaman yang lebih mendalam tentang cabaran yang dihadapi negara lain.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran khusus, ternyata untuk menarik pekerja muda ke industri binaan merupakan perjuangan bersama di banyak negara.

Batu kekal teguh dalam komitmennya untuk mewakili dan menyokong pekerja dalam usaha untuk memperbaiki keadaan kerja, gaji dan kualiti hidup secara keseluruhan.

Dengan menangani cabaran ini secara berterusan, Batu berhasrat memupuk industri ini menjadi lebih mampan dan harmoni untuk semua kepentingan yang terlibat.

Penulis ialah Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Binaan Bangunan dan Perusahaan Balak (Batu) dan Pengerusi-bersama Kelompok Perkhidmatan Pengurusan Bangunan dan Prasarana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg